Wednesday, 14 December 2011

November dan Disember

November dan Disember terlalu membelenggu saya dengan kerja luar rutin harian yang menuntut komitment yang bukan sedikit.

AKEPP - Anugerah Kecemerlangan Pelajar Politeknik berlangsung dengan jayanya pada 28 November lalu - terima kasih kepada semua yang menghulurkan  tenaga bantuan menyempurnakan majlis.

Program sukarelawan ke Kemboja 5 - 11 Disember - 1 Nation, 1 Region - Water For Life - baru sahaja berakhir - misi kami ditunaikan Allah.

Saya sedang menunggu gambar-gambar program untuk diabadikan dalam Sepanjang Jalan ini.

November - lebih menerujakan anakanda sulong berjaya khatam dalam program Tahfiz Quran di sekolahnya - rasa syukur yang amat ke hadrat Illahi.

Anak-anak Melayu Champ di Kemboja

Fasilitator bersama penterjemah bahasa Ust. Arifin sedang mengendalikan
kempen kesihatan kepada pelajar sekolah di Kemboja

Cuba lihat kelas mereka ini

Namun mereka ceria selalu

Walau sedaif mana pun 


Namun ini lah kenangan bersama kami

Walau setitis ilmu yang dapat dikongsikan

Demi membangunkan ummah dan silaturahim



Saya cuma berbasikal di jalan utama kampung yang tidak berturap

Merakam ingatan dalam HP!

Rumah kediaman warga kg Croi Menteri

Ini pemandangan pinggir bandar Pnom Phen

Kalau Kg saya, panggil benda ini etak... hasil sungai Mekong yang menjadi pendapatan 



Bersama para Medic staff 

Saya dan anak-anak melayu Champ

Monday, 14 November 2011

Sepanjang ke penghujung jalan itu yang lebih memberi makna.

Selama blog ini tidak berkunjung, selama itu saya sebenarnya berada dalam ujian Allah. Sungguh hebat ujian itu dan sungguh manis bila di penghujung jalan itu saya temui keindahan yang luar biasa. Tetapi bila dikenang balik, rupanya perjalanan menuju penghujung jalan itu yang lebih memberi makna dari keindahan itu. 

Ternyata setelah bungkusan besar yang saya sambut itu ikatannya tidak kuat. Bukan sahaja saya tidak mampu menyambutnya dengan dua belah tangan, tetapi segala isi kandungannya jatuh berselerakan dimana-mana. Namun inilah hebatnya kuasa Allah! DiberikanNya kita kudrat untuk terus mengutip satu-persatu segala apa yang berteraburan itu, untuk disatukan semula dan akhirnya dimasukkan ke dalam bungkusan besar yang terlerai tadi sebelum diikat kemas. Ini analoginya. Terlalu absurb atau kabur. Ini adalah disengajakan. 

Ayat Al-Quran berikut merakamkan kenyataan di atas:
(Surah Al-Ahzab ayat 72) Ertinya:
Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.



“Dunia ini bagai penjara bagi mukmin,sedangkan syurga bagi mua’siy (orang yang cintakan maksiat)”(Al-Hadis)

Monday, 31 October 2011

Tetap Mahu Melangkah

Perjalanan di kehidupan kita, akan banyak hambatan. Asal kita tetap mahu melangkah, tahu arah yang dituju, mahu menerima petunjuk dari orang lain yang bermata hati, kita pasti sampai ke tujuan dengan selamat.InsyaAllah.

Thursday, 13 October 2011

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya

Siapa antara kita yang singgah di kesementaraan hidup ini yang sanggup digelek derita sentiasa? Siapa yang tidak perlukan kebahagiaan memayungi sepanjang jalan kehidupan?

Tiada bukan? 

Setiap orang yang waras memerlukan itu. Ini fitrah manusia. Tetapi kita sebenarnya harus cepat-cepat pula memahami hakikat kehidupan yang tidak akan pernah lekang dengan masalah.

Ramai orang menganalogikan hidup sebagai lautan. Lautan yang sentiasa ada badai yang berhembus. Sentiasa ada ombak yang mendebur. Kadang waktu ombak menjulang tinggi hingga mampu memusnahkan bahtera yang gah agam besarnya. Ada ketika pula ombak menjadi seperti teman sepermainan untuk meluncur laju di atasnya. Kata mereka begitulah seni dan sains kehidupan yang kita tidak boleh lari darinya. Selagi bernama lautan, pasti ada ombak yang mendatang. Selagi bernama manusia, pasti ada ujian yang bertandang.

Sering pula kita diberi ujian oleh yang Maha Pencita Allah SWT.  Melihat sejauh mana kesediaan kita untuk menghadapinya. Sejauh mana kesabaran kita menempuhinya. Sejauh mana usaha kita mengatasinya. Sejauh mana ikatan diri kita denganNya. 

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya. Kebahagian tidak akan datang begitu sahaja. Sesiapa yang mahukan kebahagiaan perlu pergi kepada kebahagiaan. Kenalilah kebahgiaan dalam kehidupan ini kerana ia ada hanya disebelah anda. Gagal mengenali makna kebahagiaan, bermakna anda tidak akan berupaya untuk berada bersamanya, apatah lagi untuk menikmatinya.

Saya ingin mengajak anda untuk membuka akaun kebahagiaan bersama-sama saya. Ya, akaun untuk kita orang yang sentiasa menghargai nikmat besar Allah ini.

Sebelum itu, saya ingin membawa anda kepada satu senario. Anda membuka satu akaun di sebuah bank. Kini akaun anda ada wang sebanyak RM10.00 misalnya. Anda menyimpan atau menabung dengan hasrat supaya suatu hari nanti anda akan perolehi simpanan yang banyak mungkin target anda adalah RM1 juta. Tidak mengapa, letaklah ia sejumlah angka yang sebesar mana sekalipun. Itu hak anda. 

Bagaimana anda ingin tingkatkan simpanan anda dari RM10.00 itu ke RM1 juta? Sudah tentu anda akan berusaha secara bersungguh-sungguh melakukan kerja, berurus niaga atau apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan kepada anda. Motifnya untuk tingkatkan simpanan mencapai target yang telah ditetapkan.

Anda lakukan tanpa jemu, anda lakukan berterusan. Apa akan jadi sekiranya anda mengeluarkan wang simpanan itu untuk kegunaan lain? Akaun anda akan berkurangan bukan? 

Lalu akaun kebahagiaanpun begitu. Setelah akaun itu dibuka atas nama kita. Kita yang bertanggungjawab untuk memenuhinya. Sentiasalah menambah atau mendepositkan kebahagiaan dalam akaun tersebut sehingga target bahagia yang kita idamkan tercapai. Berusahalah tanpa jemu mencari punca kebahgiaan untuk didepositkan ke dalam akaun anda itu. Apa yang membuatkan kita bahagia? Senaraikan satu persatu. Depositkan ia dalam akaun tersebut. Ia suatu yang pasti milik kita - kebahagiaan.









Tuesday, 11 October 2011

Melakar alam dan kandungannya dengan butir-butir kata.

Sehari lagi yang menerujakan. Banyak terima undangan ceramah akhir-akhir ini. Minggu depan seminggu di Kuala Lumpur mengendalikan kursus di Hotel Regency. Sebelum itu Sahabat saya Tuan Zulkamal minta bantuan menyampaikan ceramah penulisan kreatif kepada para pelajar di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Kuala Nerang. 

Bercerita tentang penulisan kreatif ini, membawa rasa saya kembali ke zaman remaja. Ketika itu semangat untuk menjadi penulis yang hebat begitu berkobar-kobar. Saya mula menulis dalam Majalah Dewan Siswa, terutamanya puisi. Hasilnya saya telah memenangi Hadiah Sastera Siswa pada tahun 1989, sudah lama sangat masa itu kita tinggalkan. 

Kemenangan itu bagai memberi kejutan semangat yang luar biasa untuk saya terus menulis, sementelah pula saya dipilih untuk menyertai Minggu Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka - 1989, yang kini dikenali sebagai Minggu Penulis Remaja. Ilmu penulisan ditimba secara terus dari penulis tersohor tanah air seperti Shahnon Ahmad untuk penulisan kreatif, Habsah Hassan, juga Rahman Saari untuk penulisan puisi. Masih teringat kepada Pak Ali Majod - penyelaras program pada masa itu yang begitu bersungguh-sungguh membantu kami  sepanjang kami berada dalam program tersebut.

Hasilnya adalah antalogi Tidak Sepanas Bara, Salji Masih Berguguran dan Impian Kecilku. Semuanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ilmu secara teorinya senang didapati, tetapi secara alami atau pengalaman itu sukar dicari kecuali melaluinya sendiri. Ia suatu proses yang panjang, menuntut pengamatan yang tajam dan sensitif demi melakar alam dan kandungannya dengan butir-butir kata. 

Semalam Sinar Harian membuat liputan tentang Angkatan Teater POLIMAS. Sebagai penasihat saya turut berbangga 


Monday, 10 October 2011

KBO 12 : Mencari Keberkatan Dalam Ilmu

"Beli buku tak salah kakak. Ayah suka kalau seorang anak sangat berminat untuk membaca buku. Apatah lagi buku pelajaran. Malah ayah tidak kisah untuk berbelanja lebih semata-mata untuk membeli buku untuk adik ataupun untuk kakak." 

Kakak terus diam, membatu. 

"Kakak tanya saja ayah. Kalau tak boleh beli tak apalah" Jawab kakak ringkas. 

"Mari kita carikan di kedai buku. Kita beli yang original!" Tegas saya, setelah mendengar penerangan kakak sejelasnya.

Sebenarnya, kakak meminta izin untuk membeli buku latihan pelajaran yang dijual oleh kawannya. Wah, kawannya juga begitu rajin menjadi peniaga yang tidak bertauliah pula. Sekiranya buku yang dijual itu buku fizikal yang sebenar, maksud saya yang dicetak oleh penerbit yang sah, saya tidak kisah. Tetapi ini adalah buku yang di fotostat!. Nak menyebarkan ilmu pengentahuanpun perlu dengan cara yang benar. Matlamat tidak menghalalkan cara. Matlamat kawan kakak untuk membantu menyebarkan ilmu melalui penjualan buku fotostat itu adalah salah. Berdosa. 

"Cuba kakak baca di muka surat ini." Saya menghulurkan buku yang telah dibeli kepada kakak dan meminta dia bacakan satu perenggan di muka surat kedua buku itu.

"Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan diterbitkan atau diulang cetak dengan apa cara sekalipun kecuali dengan kebenaran penerbit dan penulis" Sebut kakak lancar.

"Jadi sekarang macamana? Faham? Cuba kakak bayangkan, kakak beli buku fotostat itu. Kakak gunakan untuk belajar. Agaknya, ilmu yang kakak dapat itu berkat tak? Matlamat kita belajar ialah untuk ilmu yang diredhai tuhan bukan? " Satu persatu persoalan saya lontarkan. Membiarkan anak itu berfikir sendirian secara logiknya. Supaya dia sedar bahawa bila hendak melakukan sesuatu tindakan hendaklah berpandukan ajaran agama yang sempurna. Yang telah terkandung segala sesuatu di dalam nya iaitu al Quran mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. 

Mohon Allah memberikan keberkatan ilmuNya kepada kita, kepada anak-anak kita, kepada rakan-rakan kita di dunia ini. 

Anak-anakku, hanya dengan ilmu yang diberkati hidup kita akan tenang dan aman. Rezeki yang kita perolehi kelak halal di sisi Allah swt dan kita akan terus menerus menyuburkan budaya mencari ilmu yang berkat ini untuk disebarluaskan pula kepada teman-teman yang lain pula. Bila berilmu perlu pula untuk mengamalkannya.

Biar segala apa yang kita lakukan sepanjang jalan kehidupan kita ini, kita lakukan dengan ilmu. Tidur dengan ilmu, bagun tidur dengan ilmu, bersuci dengan ilmu, solat dengan ilmu, makan dengan ilmu, belajar dengan ilmu dan sehingga bermianpun dengan ilmu kemahiran permainan itu.

Saya katakan bahawa dalam setiap apa yang kita lakukan, kita memerlukan ilmu. Setiap ilmu itu tidak dapat berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh ilmu yang lain pula. Ia saling lengkap melengkapi dan saling perlu memerlukan. Contohnya, sebagai pelajar ketika sedang mengulangkaji pelajaran,  perlu ilmu untuk membaca dengan baik, perlu ilmu untuk cepat memahami intipati pelajaran, perlu ilmu untuk mengingat, perlu juga ilmu untuk mencatat isi-isi penting. Dengan menyatu padukan keseluruhan ilmu kemahiran ini, maka setiap pelajar mampu pergi lebih jauh dan lebih cemerlang dalam lapangan akademik dan kehidupan juga.

Seronok sebenarnya bila berilmu. Rugi kalau kita terus-terusan menjadi orang yang hidup tetapi tidak berdasarkan ilmuNya. Jadi, tunggu apa lagi, mulakan mencari ilmu bagi setiap apa yang kita lakukan. Punca segala ilmu adalah al Quran Nur Karim! Baca dan fahamilah ia anak-anakku. Sekurang-kurangnya bacalah buku-buku panduan hidup buat benteng bermujahadah melawan nafsu.

Tetapi awas anak-anakku. Bila sudah berilmu, janganlah kedekut ilmu itu. Semua itu hak Allah. Jadi kongsi-kongsikan bersama teman-teman. Semoga bertambah keberkatan ilmu anak-anak. Ini hadis yang direkodkan oleh Imam al Tabrani dan al Baihaqi : "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya."


Friday, 7 October 2011

KBO 11 : Urus Diri - iktibar untuk ikhtiar membaiki diri.

"Allahumma Solli 'ala Sayidina Muhammad Wa'ala alihi wa as-habihi ajma'in" - "Ya Allah, Kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekelian sahabat-sahabat beliau"

"Mana adik?" Tanya saya, setelah melihat hanya kakak yang masuk ke dalam kereta. 

" Sekejap lagi keluarlah adik tu. Dia sedang cari baju sukan untuk latihan kawad petang nanti." Jawab kakak.

"Bukankah adik pinjam baju kakak?" Tanya saya kehairanan. Seingat saya, khamis lepas adik ada mata pelajaran jasmani. Dia pakai baju sukan kepunyaan sendiri. Kemudian sebaik sahaja waktu pulang dia tertinggal bajunya dalam bilik persalinan di sekolahnya! 

Bila pergi ke sekolah pada hari ahad yang berikutnya, bajunya sudah lesap entah ke mana.