I
Senak di kepalanya, senak di dadanya, senak
di perutnya masih belum mahu hilang. Telah berpuluh klinik dikunjunginya. Telah
berpuluh kali itu jugalah doktor membekalkannya dengan beraneka pil dan
ubat-ubatan. Namun sakitnya tidak pernah mahu pulih.
Otaknya berputar ligat cuba mencari punca
senak yang tak mahu hilang itu. Hinggalah dia diperkenalkan kepada Dr. David
Barlow oleh seorang rakan yang simpati.
Tanpa ragu dan tanpa lengah, dia berkunjung
ke Pusat Rawatan Pakar tempat sang doktor bertugas. Dia meletakkan harapan yang
sangat tinggi kepada sang doktor yang bakal ditemuinya. Sementelah pula, telah
ramai doktor yang gagal memulihkannya.
Dr. David mencadangkan dia melalui beberapa
ujian klinikal. Dia perlu menjalani ujian sistem penghadaman, ujian degupan
jantung dan ujian ketegangan otot. Lantas Dr. David, merumuskan kepadanya
bahawa dia menunjukkan maklum balas positif terhadap simptom stres yang
terlampau. Jika tidak dirawat dengan sempurna akan membawa kepada penyakit lain
yang lebih kronik seperti strok!
“Maafkan saya tuan. Saya mahu cadangkan
tuan beberapa buah buku untuk dibaca. Antaranya buku pengurusan stres dan paling utama yang ini” Sang doktor
memulakan ruang bicara. Sambil menunjukkan kepada sebuah buku tebal di sudut
mejanya.
Kata-kata
sang doktor itu tidak
diendahkannya. Cadangan itu baginya
terlalu dangkal. Dia diminta menjadi pembaca buku! Tabiat yang telah sekian
lama ditinggalkannya. Lagi pula, senak yang sedang mengetuk tempurung kepalanya,
yang berombak di dadanya dan yang menekan-nekan perutnya itu, seakan-akan tiada
kaitan langsung dengan tabiat membaca.
Segala urusannya hanya berfokus kepada
aktiviti yang boleh menambahkan lagi wang dan kekayaannya. Bukannya membaca! Baginya
membaca hanya membuang masa. Masa yang baginya sangat penting untuk dia
mengejar kekayaan. Kekayaan adalah segalanya dalam kitaran hidupnya.
Laungan “Aku mahu jadi kaya! Aku mahu kaya
raya!” tetiba bergema di layar otaknya. Dia
teringat kata-kata isterinya yang dipetik daripada buku autobiografi ahli
perniagaan terkenal Lim Goh Tong “Untuk
menjadi kaya kita perlu berjimat cermat dan untuk menjadi kaya-raya, itu adalah
anugerah tuhan.”
Kerana itulah dia menjadi amat berjimat
cermat. Sehinggakan keluarganya sendiri terasa tempias jimat cermatnya itu.
Lalu pertemuan dengan sang doktor itu
menyebabkan kepalanya bertambah senak. Dadanya makin bergolak senak. Perutnya
makin memulas senak. Apatah lagi wangnya
disedut bukan sedikit oleh Pusat Rawatan Pakar itu.
“Selain membaca buku, ada pilihan lain tak
doktor?” Ujarnya penuh harapan. Agar
masih ada laluan lebih mudah untuk dia memulihkan penyakitnya itu.
Lantaran itu, sang doktor menyenaraikan segugusan
nasihat yang kini beterbangan dalam benaknya. Satu persatu bersilang-silang
menarikan rentak yang berbeza.
“Rehat perlu cukup. Urusan hidup perlu
teratur, jangan kelam kabut. Buat satu perkara dalam satu masa. Cuba berjalan
perlahan dan memandu dengan perlahan. Belajarlah teknik yoga. Tarikh nafas dan
hembuslah perlahan-lahan. Bersenamlah selalu. Bergembiralah dengan hobi
sendiri. Bersiar-siar dengan keluarga.”
Juga gambaran nasihat-nasihat lain masih berpinar-pinar, berputar-putar,
silih ganti mencari rentak penyudah dalam benaknya.
Akhirnya dia akur pada saranan Dr. David.
Dia memilih untuk mengambil cuti rehat. Biarlah sehari ini dia berehat dan
bersiar-siar dengan keluarga. Cukuplah cuma sehari ini dia bercuti. Moga benarlah
nasihat sang doktor, dengan bercuti boleh mengusir segala senak yang bersarang
dalam batang tubuhnya.
No comments:
Post a Comment