Tuesday, 4 October 2011

KBO 7 : Mohon Allah buka mata hati - tiada lagi hijab.

Hari yang segar. "Ya Allah, Ya Rabb, Jauhilah diri ku dari bersikap riak dan takabbur kepada Mu ya Allah." Semoga semua orangmendapat rahmat Allah hari ini. Semoga semua orang mendapat nikmat kesegaran hari ini. 

Dari jauh saya panjatkan doa yang tak putus-putus untuk Along yang akan menduduki peperiksaan PMR hari ini. Pagi ini sempat juga saya hantar pesanan ringkas, sekadar mengingati kepada isteri "Wahai isteriku, jika kelapangan, bacalah ayat-ayat suci al-Quran, semoga anakanda kita dapat menempuhi peperiksaan hari ini dengan cemerlang, dipermudahkan Allah segala usahanya." Kurang seminit selepas itu pesanan ringkas saya berbalas.

"Umi dalam perjalanan ke surau"

Alhamdulillah.
Cepat-cepat pula saya mengapai naskah al Quran. Saya mulakan dengan surah Yassin. Memohon keberkatan, memohon hajat yang sama. Semoga usaha ini bukanlah satu usaha yang melampau. Teringat pesan guru, dalam ibadah tidak boleh dihebohkan kepada orang ramai. Namun ini hanya catatan peribadi - ya, hanya naratif peribadi sebagai perkongsian sepanjang jalan hidup ini. Niatnya hanya satu - proses dakwah kepada diri sendiri dan semoga Allah membuka hati teman-teman yang membacanya agar mendapat manfaat daripadanya. Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas! Subhanallah.

Saya memilih untuk bermohon kepada Allah dalam setiap sesuatu yang saya hajati. Saya memilih untuk menyandarkan segalanya kepada Allah. Itu keyakinan saya. Saya percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku , yang telah terjadi dan yang bakal muncul mendepani kita sepanjang jalan hidup kita di dunia ini adalah semuanya dari tuhan. Lalu pasti ada natijah pada setiap kejadian. Saya mohon Allah membuka mata hati saya untuk terus melihat sesuatu dengan sebaik yang mungkin.  

Bila mata hati kita telah terbuka, dunia ini akan dipenuhi dengan persepsi positif. Ini akan merangsang kita untuk sentiasa bersangka baik. Ini akan mendorong kita untuk berusaha dengan lebih gigih dalam memakmurkan kehidupan ini. Ini akan menjadikan kita lebih berfikir tentang ibadah kita kepada tuhan. Inilah yang dikatakan indahnya hidup sekiranya tiada lagi hijab menghalang mata hati kita. Kita layari hidup dengan senyum yang ramah. Yang penting hidup kita lebih diberkati Allah.

Petang semalam, sewaktu menunggu-nunggu anak keluar dari sekolahnya, saya jumpa sahabat saya, Tuan Azhar Aziz. Memang saya selalu berbual-bual dengan dia untuk mengisi waktu yang terluang. Tuan Azhar adalah ahli ilmuan. Berkelulusan kejuruteraan Awam, tetapi gayanya lebih kepada seorang ustaz. Orang yang tidak mengenalinya pasti menggelarkannya sebagai ustaz. Saya katakan dia sebagai ilmuan kerana dia ibarat buku  bergerak kepada saya. Akan ada sahaja perkara-perkara baru yang akan saya perolehi daripadanya. Allah kurniakan saya sahabat yang sehebat ini. Alhamdulillah.

Kami berkongsi tentang amalan apabila kita mempunyai hajat tertentu. Antaranya ialah solat sunat hajat - menzahirkan keperluan kepada Allah - tuhan yang mencipta kita. Percaya bahawa Allah itu Maha Kaya dan dia adalah Pemurah lagi Pengasihani, kenapa kita lupa untuk meminta kepadaNya? Lebih menerujakan sekiranya solat sunat hajat ini kita mulakan dengan solat sunat tahajud, sunat taubat dan barulah disusuli dengan solat sunat hajat - pada bahagian terakhir malam pada ketika Allah turun ke langit dunia untuk mendengar permintaan hambaNya.

Bagaimana pula dengan puasa hajat? Penah dengar istilah ini? Atau memang sudah amalkannya? Ini adalah amalan yang hebat. Seperti yang kita tahu antara doa yang akan dimakbulkan oleh Allah adalah doa-doa orang yang berpuasa. Lalu bila kita punyai hajat tertentu kenapa tidak kita berpuasa kerana Allah. Bertawassul  dengan ibadah tidak ada salahnya.

Antara amalan lain yang punyai sentuhan yang hebat belaka adalah membaca ayat-ayat suci al Quran Nur Karim - dengan harapan limpahan cahaya - nur - kurniaan Allah, memperbanyakkan zikirullah, kerana sesiapa yang banyak mengingati Allah, Allah akan mengingati diri mereka semula - yakini ini. Banyakkan menolong orang, berzakat hajat, bersedekah, berbuat baik kepada orang, memaafkan kesalahan orang dan amalan-amalan makruf yang lainnya.

Semoga kita terus berada dalam petunjuk Allah. InsyaAllah.




No comments:

Post a Comment