Thursday, 6 October 2011

KBO 10 : Kisah Bapa Obses

"Allahumma Solli 'ala Sayidina Muhammad Wa'ala alihi wa as-habihi ajma'in" - "Ya Allah, Kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekelian sahabat-sahabat beliau"

Tengahari itu, saya menyambung tugas tetap dan tidak berpencen saya, iaitu mengambil anak di rumah untuk dihantar ke sekolah. Inilah kerja rutin seharian yang perlu saya laksanakan. Inilah juga sumbangan kecil yang boleh saya lakukan tanpa jemu sebagai proses pelaburan mendidik anak. Saya tidak pernah kesal, jauh lagi merungut melakukan kerja-kerja ini. Biarlah semua yang saya lakukan ini menjadi satu memori dalam kamus hidup anak-anak saya. Biarlah suatu hari nanti ia akan mula berfikir apa yang saya lakukan ini semata-mata untuk masa depan mereka. 

Bukan tidak boleh saya meminta mereka menaiki bas ke sekolah seperti anak kawan-kawan yang lain.  Boleh. Cuma saya perlukan masa yang lebih untuk mereka. Dalam perjalanan menuju ke sekolah saya boleh berbual, gelak dan mungkin makan tengahari bersama mereka. Biarlah masa itu menjadi masa yang terlalu berkualiti dalam hidup mereka.

Seronok menjadi bapa yang obses kepada anak-anak. Obses melihat perkembangan mereka dan obses untuk membantu mereka. Kerana saya sedar itulah tanggungjawab saya sebagai bapa. Yang perlu saya tanggung di dunia ini dan saya jawab di akhirat nanti. Termasuklah menanggung dosa dan pahala mereka selama mana mereka dalam tanggungan kita. Ada ketikanya pula menanggung rugi terhadap perbuatan mereka yang pelbagai ragam. Juga menanggung semua keperluan asas mereka yang lain - makan, pakai, seadanya. Kerana saya penuh sedar bahawa perbelanjaan bagi mendidik anak di awal usianya  jauh lebih bermakna daripada perbelanjaan mereka apabila dewasa kelak.

Wednesday, 5 October 2011

KBO 9 : Solat - Menghargai Jawapan Yang Jujur

"Adik dah sembahyang asar?" Saya mengajukan soalan, sebaik sahaja kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Ketika itu jam sudah melebihi 6.30 petang. Waktu rutin saya menjemput dua orang puteri saya pulang dari sekolah. Sebenarnya saya hanya menduga. Bak kata arwah ayah saya, "Banyak tanya anak-anak ni tidak mengapa. Ini tandanya kita ambil berat dan merekapun akan lebih beringat untuk hari-hari esok."

Tuesday, 4 October 2011

KBO 8 : Lafazlah ALHAMDULILLAH dengan hati penuh sedar

"Bos, nak seribu daya bos! Saya dari dulu tak suka sangat beri alasan yang menyalahkan orang lain!" Itu adalah respon pertama saya bila mantan bos saya mengatakan bahawa SESEORANG itu bolehlah pergi menunaikan haji sebab dia ada "cable" yang besar dan punyai pendapatan  yang lumayan pula.

"Itu rezeki dia bos. Rezeki kita, kita yang kena usahakan." Tambah saya lagi. "Rezeki itu hak Allah. Allah dah suratkan dia perolehi hak dia begitu."

Sang mantan masih berkeras. "Selepas saya baca bukunya, saya mula terfikir, kalau orang biasa macam kita macamana nak pergi haji macam dia. Tengok apa yang dia buat. Dia tulis surat kepada menteri, minta 6 orang untuk pergi Mekah, walaupun hanya empat orang yang dapat. Lepas tu, dia dapat lebih 80 ribu ringgit, sebagai bayaran tunggakkan gajinya." Tokok Sang mantan.

KBO 7 : Mohon Allah buka mata hati - tiada lagi hijab.

Hari yang segar. "Ya Allah, Ya Rabb, Jauhilah diri ku dari bersikap riak dan takabbur kepada Mu ya Allah." Semoga semua orangmendapat rahmat Allah hari ini. Semoga semua orang mendapat nikmat kesegaran hari ini. 

Dari jauh saya panjatkan doa yang tak putus-putus untuk Along yang akan menduduki peperiksaan PMR hari ini. Pagi ini sempat juga saya hantar pesanan ringkas, sekadar mengingati kepada isteri "Wahai isteriku, jika kelapangan, bacalah ayat-ayat suci al-Quran, semoga anakanda kita dapat menempuhi peperiksaan hari ini dengan cemerlang, dipermudahkan Allah segala usahanya." Kurang seminit selepas itu pesanan ringkas saya berbalas.

"Umi dalam perjalanan ke surau"

Alhamdulillah.

Monday, 3 October 2011

KBO 6 : Demi anak - satu usaha yang melampau

"Dari Jitra dia ke Kuala Nerang. Dari Kuala Nerang dia ke Sungai Petani, singgah ke Gurun dan petang ini dia akan ke Alor Setar pula. Dia sanggup bergerak ke hulu-ke hilir demi anaknya." 

Saya seronok belajar dari pemerhatian terhadap sikap manusia yang unik dan pelbagai. Kenyataan di atas adalah satu frasa yang saya takrifkan sebagai satu usaha yang melampau seorang bapa untuk membantu anaknya.

KBO 5 : Randy Pangalila - Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain

Saya promosikan dia tanpa sengaja
"Ni gambar siapa Na?" Tanya saya penuh gusar, sambil menunjukkan sekeping kad yang tertera gambar seorang lelaki. Saya jumpa kad ini terbiar di atas meja Nurin. Saya percaya ia adalah cetakan komputer dan dileminatekan.

"Randy Pangalila" Jawab Diyana ringkas.

"Siapa dia ni? Mana Na dapat?" Saya memang tidak kenal siapa Randy Pangalila ini dan kenapa gambarnya perlu ada di atas meja kakaknya - Nurin. 

"Na beli di kedai koperasi, sekolah." Jawabnya ringkas. Ada sedikit nada kekesalan bermain di suaranya.

"Kedai koperasi sekolahpun jual gambar-gambar macam ni? " Getus hati kecil saya. "Siapa dia lelaki ini? Erm, berapa harganya?" 

"Lapan Kupang (80 sen). Na tengok kat blog Kak Win (Nurin) ada gambar ni. Sebab tu Na beli. Nak bagi pada Kak Win. Dia pelakon drama Indonesia." Diyana mula merungkaikan setiap persoalan yang terbuku di dalam benak saya sejak tadi lagi.

Wah, hebat niat dan tindakan anak bongsu saya ini. Pandai dia menghargai kakaknya, atau mungkin untuk menarik perhatian kakaknya. Cuma caranya yang perlu diperbetulkan. Tidak salah memberi hadiah atau menghargai seseorang, terutama ahli keluarga sendiri. Di seawal usia 8 tahunnya itu, mungkin dia belum lagi dapat menilai buruk baik yang ada pada sekeping gambar artis sebegitu.

Saya menerangkan padanya, dia telah lakukan satu perkara yang mulia. Saya suka. Semua orang akan merasa dihargai apabila mendapat pemberian sesuatu yang disukai. Itu ciri-ciri yang baik yang ada pada dirinya. Cuma saya nasihatkan dia supaya tidak membazir. Barangkali duit saku yang saya berikan padanya untuk makan dan minum di kantin sekolah terpaksa dibelanjakan untuk membeli gambar itu. Ini satu pembaziran. Alangkah lebih baik kalau dia hadiahkan kakak-kakaknya dengan sesuatu yang lebih bermakna yang boleh digunakan sentiasa - walaupun sebatang pensil yang beharga lebih murah dari itu. 

Saya juga mula keliru dengan dasar kedai koperasi sekolah. Kenapa menjual benda-benda yang tidak bermanfaat langsung kepada pembangunan sahsiah pelajar? Banyak lagi barangan lain yang boleh dijual. Usahlah bermotifkan keuntungan semata-mata. Sebagai waris perkara ini amat perlu untuk diberi perhatian yang sewajarnya.

"Adik, kenapa biarkan gambar ni di sini?" saya menunjukkan gambar Randy Pangalila yang terbiar di sudut meja belajar Adik. " Adik tahu tak, Na beli gambar itu untuk Adik. Dia mahu lihat Adik suka. Dia sebenarnya perlu perhatian Adik. Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain."


Sunday, 2 October 2011

KBO 4 : Mari terjemahkan rasa kasih sayang

Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Along dan kawan-kawan : Target PMR 9A
Alhamdulillah, perjalanan pulang menziarahi anakanda - Along di Maahad Tahfiz Sains, Muhammadi, Bachok, Kelantan dipermudahkan Allah.  

Jam 5.30 petang bertolak dari Jitra, singgah hanya  untuk solat, isi petrol dan makan, kami sampai ke Machang, Kelantan jam 11.50 malam - Alhamdulillah target untuk sampai pada hari yang sama tercapai.

Pagi Jumaat 30 September, kami bertolak ke MTSM untuk berjumpa Along. Dia akan menduduki peperiksaan PMR pada 04 Oktober hingga 11 Oktober ini. Doakan kejayaannya dan rakan-rakannya yang lain. Kehadiran kami sekeluarga adalah untuk memberikan sokongan moral kepada dia untuk terus berusaha mencapai impian dirinya sendiri. Kami hanya membantu, memberi sekadar yang termampu - yang selebihnya terpulang kepada dirinya sendiri. Pada saya, dia telah memasuki fasa terakhir dalam pengajiannya di MTSM - usaha yang perlu diterjemahkan pada lembaran-lembaran kertas peperiksaan. Proses penilaian untuk mengukur sejauh mana penguasaan dirinya terhadap pembelajaran yang ditempuhinya selama hampir tiga tahun beliau berada di MTSM.