Monday 22 December 2014

LINTAH BUKIT WANG - BAHAGIAN 1

I
Senak di kepalanya, senak di dadanya, senak di perutnya masih belum mahu hilang. Telah berpuluh klinik dikunjunginya. Telah berpuluh kali itu jugalah doktor membekalkannya dengan beraneka pil dan ubat-ubatan. Namun sakitnya tidak pernah mahu pulih.

Otaknya berputar ligat cuba mencari punca senak yang tak mahu hilang itu. Hinggalah dia diperkenalkan kepada Dr. David Barlow oleh seorang rakan yang simpati.


Tanpa ragu dan tanpa lengah, dia berkunjung ke Pusat Rawatan Pakar tempat sang doktor bertugas. Dia meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada sang doktor yang bakal ditemuinya. Sementelah pula, telah ramai doktor yang gagal memulihkannya.

Dr. David mencadangkan dia melalui beberapa ujian klinikal. Dia perlu menjalani ujian sistem penghadaman, ujian degupan jantung dan ujian ketegangan otot. Lantas Dr. David, merumuskan kepadanya bahawa dia menunjukkan maklum balas positif terhadap simptom stres yang terlampau. Jika tidak dirawat dengan sempurna akan membawa kepada penyakit lain yang lebih kronik seperti strok!

“Maafkan saya tuan. Saya mahu cadangkan tuan beberapa buah buku untuk dibaca. Antaranya buku pengurusan  stres dan paling utama yang ini” Sang doktor memulakan ruang bicara. Sambil menunjukkan kepada sebuah buku tebal di sudut mejanya.

 Kata-kata sang doktor  itu tidak diendahkannya.  Cadangan itu baginya terlalu dangkal. Dia diminta menjadi pembaca buku! Tabiat yang telah sekian lama ditinggalkannya. Lagi pula, senak yang sedang mengetuk tempurung kepalanya, yang berombak di dadanya dan yang menekan-nekan perutnya itu, seakan-akan tiada kaitan langsung dengan tabiat membaca. 

Segala urusannya hanya berfokus kepada aktiviti yang boleh menambahkan lagi wang dan kekayaannya. Bukannya membaca! Baginya membaca hanya membuang masa. Masa yang baginya sangat penting untuk dia mengejar kekayaan. Kekayaan adalah segalanya dalam kitaran hidupnya. 
Laungan “Aku mahu jadi kaya! Aku mahu kaya raya!”  tetiba bergema di layar otaknya. Dia teringat kata-kata isterinya yang dipetik daripada buku autobiografi ahli perniagaan terkenal Lim Goh Tong  “Untuk menjadi kaya kita perlu berjimat cermat dan untuk menjadi kaya-raya, itu adalah anugerah tuhan.”  

Kerana itulah dia menjadi amat berjimat cermat. Sehinggakan keluarganya sendiri terasa tempias jimat cermatnya itu.

Lalu pertemuan dengan sang doktor itu menyebabkan kepalanya bertambah senak. Dadanya makin bergolak senak. Perutnya makin memulas senak.  Apatah lagi wangnya disedut bukan sedikit oleh Pusat Rawatan Pakar itu.

“Selain membaca buku, ada pilihan lain tak doktor?”  Ujarnya penuh harapan. Agar masih ada laluan lebih mudah untuk dia memulihkan penyakitnya itu.

Lantaran itu, sang doktor menyenaraikan segugusan nasihat yang kini beterbangan dalam benaknya. Satu persatu bersilang-silang menarikan rentak yang berbeza.

“Rehat perlu cukup. Urusan hidup perlu teratur, jangan kelam kabut. Buat satu perkara dalam satu masa. Cuba berjalan perlahan dan memandu dengan perlahan. Belajarlah teknik yoga. Tarikh nafas dan hembuslah perlahan-lahan. Bersenamlah selalu. Bergembiralah dengan hobi sendiri. Bersiar-siar dengan keluarga.”  Juga gambaran nasihat-nasihat lain masih berpinar-pinar, berputar-putar, silih ganti mencari rentak penyudah dalam benaknya.

Akhirnya dia akur pada saranan Dr. David. Dia memilih untuk mengambil cuti rehat. Biarlah sehari ini dia berehat dan bersiar-siar dengan keluarga. Cukuplah cuma sehari ini dia bercuti. Moga benarlah nasihat sang doktor, dengan bercuti boleh mengusir segala senak yang bersarang dalam batang tubuhnya.  

Entah sudah berapa lama dia tidak becuti rehat, keluar dari kepompong rutin hariannya. Dia sendiri sudah tidak mampu mengingatinya. Cuma, dia tidak boleh bercuti lama-lama. Dia perlu uruskan perniagaannya. 

No comments:

Post a Comment