Wednesday 31 August 2011

Ramadhan 1432H - 29

Aduhai Ramadhan Kareem!!

Demi terbenamnya mentari hari ini
sekali lagi kau pergi
meninggalkan aku Ramadhan!!

Semoga tarbiyah Ramadhan tahun ini cukup memberi perubahan diri kepada kita semua. Semoga segala amalan yang kita lakukan dengan ikhlas mengharapkan keampunan Allah swt akan di terima Allah. Itu harapan setiap orang daripada kita.

Mari kita betulkan niat ibadah kita hanya kepada Allah swt. Kita tinggalkan segala maksiat dan kita kerjakan amal kebajikan hanya kerana Allah, bukan hanya kerana bulan Ramadhan. Ramadan akan pergi. Syawal yang akan menyusul. Kita kena sedar bahawa jika kita beribadah hanya kerana Ramadhan, Ramadhan akan pergi, jika kita beribadah henya kepada Allah, sesungguhnya Allah kekal selamanya. Pun begitu, segala yang kita lakukan samada dalam bulan Ramadhan atau bukan, segalnya hanya berpaksikan kesaksian yang satu - Allah yang esa dan Nabi Muhammad saw itu Rasullulah.

Semoga esok - hari kemenangan kepada kita. Hari yang mengembalikan kita kepada fitrah. Setelah InsyaAllah segala dosa kita diampunkan. mari kita teruskan amalan bulan Ramadhan kita - pada bulan yang berikutnya, hinggalah kita bertemu dengan Ramadhan yang akan datang - jua dengan izinNya.




Tuesday 30 August 2011

Ramadhan 1432h 28

Semoga mendapat keampunan.

Tarbiah ramadhan.
Sepertiga malam yang kudus
Hati di getus rasa
Apakah ini
Rindu juga kesal
Yang menakluk diri
Ramadhan,
Kenapa terlalu singkat
Waktu untuk kita bersama
Aku masih perlukan mu
Meniti detik mengharap anugerahNya
Keampunan!
Ya Allah,
Aku bersyukur dengan nikmatMu

Monday 29 August 2011

Ramadhan 1432H - 27

Salam Ramadhan kareem!



Semangat kakak untuk menyiapkan Video di atas akhirnya terlaksana -tidak semua dipaparkan. Along banyak membantu dalam proses mengeditkan video tersebut. Alhamdulillah wa syukurilah.

Ke bandar Kota Bharu - sekitar kedai  Kedai Jaafar Rawas - objektif mendapatkan sehelai jubah untuk Along. Perjalanan penuh sesak dengan kenderaan. Dipermudahkan Allah segala urusan hari ini. Senangnya untuk mendapatkan parking - walaupun banyak kenderaan berputaran di sana - sini! Alhamdulillah!!

Perjalanan pulang - singgah pula di Bazaar Tok Guru, Kota Bharu - solat asyar dan membeli sehelai baju melayu buat abah. Bazaar Tok Guru  adalah bagunan bazaar yang baru dibangunkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Khabarnya semua peniaga adalah peniaga yang asalnya menjalankan perniagaan di Pasar MPKB - yang telah dirobohkan. Yang hebatnya - semua peniaga diberikan pengecualian sewa selama 2 tahun!! Banyangkan jumlah penjimatan dan keuntungan yang luar biasa bakal diperolehi oleh penjual di sini. Tetapi kenapa lot-lot kedai masih kosong? Bukan masalah sambutan , kerana orang ramai masih lagi berpusu-pusu memenuhi lot-lot gerai yang menawarkan pelbagai jenis pakaian dan produk kain itu. Apa ada isu politik dalam urusan perniagaan bazaar Tok Guru ini? Wallahuaklam.

Ramadhan 1432H - 26

Salam Ramadhan al Mubarak!

Perjalanan pulang ke kampung - cuti sempena Aidilfitri 1432H.  Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami sekeluarga.

Banyak kenderaan di sepanjang jalan hari ini, menuju ke Pantai Timur - meredah banjaran Titiwangsa. Beberapa orang pelajar IPT mengambil kesempatan konvoi bermotorsikal beramai-ramai untuk pulang. Saya sempat berjumpa dengan mereka, ketika singgah sekejap untuk ke tandas. Saya amat terkejut dengan gelagat beberapa orang pelajar tersebut - merokok dalam budaln Ramadhan, di khalayak ramai - saya degur mereka dengan berhemah - jawapan mereka adalah - mereka musafir! 

Saturday 27 August 2011

Ramadhan 1432H - 25

Salam Ramadhan Kareem!!

Sewaktu zaman rasulullah, di penghujung Ramadhan ini, para sahabat akan menitiskan air mata. Air mata kesedihan yang tiada tolok bandingnya. Sukar untuk disamakan dengan lain-lain kesedihan - meratapi Ramadhan yang akan meninggalkan kita. Justeru, marilah kita menoroka hati nurani kita, apa perasaan kita di penghujung perjalanan ramadhan bulan keampunan ini? Sudah terampunkah dosa dan noda?

Thursday 25 August 2011

Ramadhan 1432H - 24

Salam Ramdhan Kareem! - "Selamat Pulang Ke Kampung Asal Usul Fitrah"

Pelajar sudah ada yang balik kampung. Sedari pagi sewaktu saya berada di tempat letak kenderaan pelajar - memantau pematuhan kepada peraturan tempat letak kenderaan - kelihatan beberapa orang pelajar menggalas beg, menuju ke pintu utama kampus Polimas. Dari situ, mereka akan menaiki Van ke Stesen Bas di Tanah Merah atau di Shahab Perdana, Alor Setar. Tentunya petang nanti, semakin ramai yang akan pulang. Begitu juga dengan hari terakhir kuliah besok.

Tuesday 23 August 2011

Ramadhan 1432H - 23

Salam Cinta Kasih kerana Allah dan RasulNya. Salam Ramadhan al-Mubarak!! - Selamat memberi dan menerima.

En. Hashim dan Isteri
Allah mengizinkan saya untuk berkunjung ke rumah waris pelajar yang meninggal dunia - rujuk entri di bawah - iaitu Pak Hashim di Kampong Panchor, Pokok Sena untuk menyerahkan sekeping cek bernilai RM3,650.00 kepada beliau sebagai sumbangan skim Takaful berkelompok pelajar Polimas. Alhamdulillah - saya doakan agar arwah anak beliau dan seluruh keluarga nya mendapat rahmat Allah swt. 

Terima kasih kpd. En. Mat Rozi - pemandu Polimas, kerana membawa saya ke sana.

Frame Gambar Majlis Konvokesyen POLIMAS ke 25

Tahniah kepada semua graduan yang akan berkonvokesyen pada 25 hingga 27 September 2011 nanti.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) meneruskan usahasama dengan Acia Global Sdn. Bhd, bagi membekalkan frame gambar khas untuk konvokesyen Polimas.

Ramadhan 1432H - 22

Salam Ramdhan al-Mubarak.

Demi masa sesungguhnya kita berada dalam kerugian! - disesuaikan dari surah al-asr.

Rugilah sesiapa yang membiarkan Ramadhan ini dibiarkan berlalu pergi. Sesiapa yang hatinya suci bersih pasti akan mengingati kelebihan Ramadhan ini dan berlumba-lumba mengerjakan kebajikan demi untuk mendapat keredaan Allah dan menjadi hamba yang bertaqwa. InsyaAllah, janji Allah adalah benar belaka. Saya sudah cukup bermotivasi untuk memperuntukan lebih banyak masa bagi mencapai destini Ramadahan, dalam perjalanan Ramadhan yang masih berbaki ini. Permudahkanlah ya Allah.

Monday 22 August 2011

Ramadhan 1432H - 21

Di sepertiga malam ini terasa betapa kecil diri ini. Dalam suasana yang cukup sepi dan kudus, terasa diri begitu dekat dengan ilahi.

Ustaz Mat Isa dalam kuliah subuh pagisabtu yang lepas ada menyebut bahawa sekiranya 1 Ramadhan jatuh pada hari isnin maka Lailatur qadar akan jatuh pada malam 21 Ramadhan. Menurut beliau lagi, banyak kitab-kitab karangan para ulama yang menceritakan perkara yang sama. Ulama-ulama ini menulis mengikut pengalaman mereka sendiri. 

Sunday 21 August 2011

Ramadhan 1432H - 20

Selamat memulakan fasa ke 3 dalam perjalanan Ramadhan Kareem ini!!

Bermulanya pencarian 10 akhir ramadhan. Mencari malam seribu rahmat. Ayuh kuatkan kudrat kita, cari nya secara bersungguh-sungguh. Ini bukan perkara main-main. Kita perlu serius mencarinya. Perlu untuk setiap manusia yang mengatakan dirinya islam dan beriman kepada Allah swt. Kenapa? Turun temurun kita telah diperdengarkan cerita tentang Lailatur Qadr ini. Semua orang dari zaman kanak-kanak lagi telah diberitahu tentang malam yang hebat ini. Semua kita punyai tafsiran tersendiri tentang malam tersebut. Malam yang lebih baik dari seribu malam. Malam yang lebih berkat dari seribu malam. Malam yang malaikat mendoakan kepada kita. Malam yang kita mendapat pahala seperti kita beribadah selama 1000 bulan. 

Ramadhan 1432H - 19

Pagi!! Salam cinta kasih kerana Allah dan Rasulnya !!!

Selamat pagi jumaat yang indah. Hujan turun mulai membasahi jitra di sepertiga malam tadi lagi membawa ke waktu subuh. Usai sahur bersama keluarga - hujan masih belum mahu berhenti. Azan subuh sudah mula kedengaran. cepat-cepat saya memperbaharui wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat di rumah, sebelum pergi ke surau.Pagi ini kuliah Tuan Syeikh Alwi mengupas kepentingan memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ramadhan 1432H - 18

Salam Ramadhan Kareem!

Terasa masa terlalu amat pantas berlalu. Begitu juga kasih ramadhan ini. Bulan yang penuh kemuliaan ini akan pergi meningalkan kita tidak lama lagi. Jika sudah 18 hari kita bersamanya - terasa begitu singkat, apatah lagi baki yang tinggal cuma 11 hari lagi! Masih terlalu sedikit amalanku kepada Mu ya Allah! Masih banyak nafsu liar yang harus aku tundukkan demi Mu ya Allah!! Masih banyak yang perlu aku lakukan untuk mengejar segala ruang dan peluang di bulan yang Kau janjikan Ganjaran yang amat hebat ini ya Allah!!! Namun, aku bersyukur, di sepanjang jalan Ramadhan 1432 ini, aku masih lagi mengekalkan dan berjaya meletakkan impian @ objektif diri dalam kedudukan yang terbaik. Aku mohon ya Allah, berikan aku kesempatan meneruskan perjalanan bersama kemuliaan ramadhan ini, terutamanya meniti fasa ke dua yang kian menghilang ini. Ampunkan aku ya Allah!!

Thursday 18 August 2011

Ramadhan Kareem 17

Salam Nuzul Quran!

Berapa kali dah khatam baca Quran bulan puasa ni? Alhamdulillah, terbaik lah, kalau dah selesai baca dan amat cemerlang sekiranya berjaya menyudahkan lebih dari sekali. 2 Muka surat setiap fardhu boleh selesaikan 30 juzuk Quran bukan? Nak seribu daya - kalau tak tercapai , kita sebenarnya mampu mereka seribu satu alasan! 

Wednesday 17 August 2011

Ramadhan 1432H - 16

Salam Ramadhan Kareem!

Perjalanan ramadhan kini perlahan-lahan turun dari puncaknya. Kita telah berada di dalamnya, bersamanya untuk 16 hari. Walaupun ia beransur meninggalkan kita, tetapi hakikatnya, amal ibadah kita harus dipertingkatkan.

Tuesday 16 August 2011

Ramadhan 1432H - 15

Ramadhan Kareem!!

Jumaat ini Zamarul Hisyam, aktor hebat Malaya akan hadir ke polimas untuk program motivasi dan keusahawanan. Dari minggu lepas Paijan dah telefon minta kebenaran agar dapat bawa masuk Zamarul ke POLIMAS. Pagi ini Fahmi dan Akmal pula beriya-iya berbcerita tentang program Zamarul di PTSS dan majlis tandatangan MOU Zamarul dan Syarikat Red Life Sdn. Bhd. yang berlangsung di sebuah hotel di Pulau Pinang. Saya tidak mahu pelajar saya dieksploitasi oleh syarikat-syarikat demi untuk mengaut keuntungan semata-mata. Apapun program ini tetap akan berlangsung di DK 6, Jam 9.30 pagi hingga 12.00 tghari Jumaat 19 Ogos ini. 

Monday 15 August 2011

Ramadhan 1432H - 14

Salam Ramadhan Kareem...

Wah! sepanjang jalan 14 Ramadhan adalah hari yang hebat, semua pihak bertungkus lumus, bersedia untuk majlis  berbuka puasa bersama menteri! Majlis yang disediakan untuk staff dan pelajar itu akhirnya berlangsung dengan sempurna. Hmm, kawan-kawan pula sibuk bercerita tentang kejayaan Datuk Lim Cong Wei memasuki separuh akhir badminton piala dunia! Saya sempat rakam gambar seorang pekerja yang tekun bekerja sebagai persediaan menyambut bapak menteri kita. Sampai ke dalam longkang perlu dicuci. Bahu-bahu jalan dicat baru, pendek kata semuanya perlu dilihat kemas, bersih dan tersusun rapi! Hebat persediaan kita.

Sunday 14 August 2011

Ramadhan 1432H - 13

Ehya Ramdhan Kareem!!

Pendakian semakin sampai ke kemuncaknya. Hari ini sudah menjejak hari ke 13. Saya diberi ujian lagi hari ini. Tidak sihat, namun terus berpuasa. Cuma tidak sempat menunaikan taraweh berjemaah. Ada hikmah disebalik semua ini.  Maafkan aku ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa hambaMu ini. Alhamdulillah, nikmat Ramadhan ini masih dapat saya kecap walaupun berada dalam keuzuran. 

Inilah kita manusia yang selalunya lemah - yang maha kuat hanya Allah. Saat yang terbaik untuk saya muhasabah diri. Juga kesempatan untuk saya merehatkan fizikel dan mental untuk sementara. Menilai kembali perjalanan ramadhan dan juga perjalanan hidup ini adalah mustahak sebagai panduan untuk meneruskan perjalanan yang masih berbaki. 






Ramadhan 1432H - 12

Ehya Ramadah al Mubaraq!

Semoga kita memperolehi keampunannya. Mari kita teruskan beramal ibadah. Rugi kalau kita lepaskan peluang ni begitu saja. Subuh 12 ramadhan, saya hadir tazkirah subuh yang disampaikan oleh Sheikh Alwi, Pegawai Agama, Daerah Yan,Kedah. Saya nak share secara ringkas tentang kelebihan orang-orang yang baca al-Quran. Orang-orang yang membaca al-Quran, tempatnya adalah di syurga ar-Rayyan, pintu syurga tersebut akan memanggil-manggil orang-orang yang membaca kalam Allah itu. Saya dan anda bagaimana ya? adakah kita pasti  pintu syurga itu akan melambai-lambai menggamit kita supaya memasukinya? Ataukah cukup sekadar menjadi pemerhati kepada orang-orang lain sahaja yang dijemput, tetapi bukan kita? Mana yang kita mahu? 

Ramadhan 1432H - 11

Ehya Ramadhan al Mubarak!

Saya penuh bermotivasi dan berazam untuk beristiqfar 1000 kali hari ini. Atau mungkin lebih banyak dari itu. Senang saja. Saya tidak perlu tunggu masa yang khusus. Bila saja kelapangan, sambil memandu, sambil berjalan atau sambil melakukan apa sahaja yang memungkinkan saya untuk beristiqfar, saya akan lakukan. Kerana saya tidak mahu menjadi orang-orang yang rugi. Alangkah sia-sia jika kita isikan masa kita hanya dengan perkara-perkara yang melalaikan. Fasa 2 ini Allah telah janjikan keampunan dalam pertengahan Ramadhan ini. Peluang ini bukan datang selalu dan tempohnyapun cukup pendek, tetapi ganjarannya cukup besar! Jom kita ramai-ramai rebut peluang ni...

Thursday 11 August 2011

Ramadhan 1432H - 10

Ramadhan Kareem, salam kasih sayang kerana Allah dan RasulNYa.

Pulang dari pejabat, seperti biasa saya kan singgah di masjid untuk solat asyar berjemaah. Terasa ketenangan dan kebahagiaan bila dapat peluang solat berjemaah. Kebetulan 10 ramadhan ini, saya memakai baju koporat yang tertera logo polimas. Sesudah segalanya selesai, sebelum pulang sempat juga saya mendapatkan 2 bungkus bubur kanji @ bubur lambok kegemaran Diyana untuk berbuka puasa petang nanti. Tetiba saya disapa oleh seorang hambaAllah, menegur saya dan bertanya nama dan jabatan mana di politeknik. Saya jawab sejujurnya. Wajahnya tetiba berubah menjadi cukup ceria.

Wednesday 10 August 2011

Ramadhan 1432H - 9

Sepanjang jalan 9 Ramadhan adalah hari yang begitu mencabar.Diuji dengan pelbagai ragam, rentak dan nada jiwa-jiwa yang masih mentah dan perlu diberi didikan secara istiqamah. Semuanya kerana hari ini, Jawatankuasa Disiplin Pelajar melakukan pemantauan sahsiah dan rupa diri pelajar di sekitar kampus. Tekak menjadi kering yang amat, mungkin kerana banyak kali bercakap, menasihati siswa dan siswi agar membetulkan kesalahan serta menerangkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Sekalung penghargaan kepada semua pelajar yang sudi untuk ditegur. Dan ingatlah pesan saya bahawa "tidak salah untuk melakukan kesalahan disiplin rupadiri, tetapi adalah salah jika mengulangi kesalahan selepas ditegur"

Tuesday 9 August 2011

Ramadhan 1432H - 8

Ramadhan Kareen.


Sepanjang Jalan Ramadhan al Mubarak ini, terlalu banyak dugaan yang menghampiri kita dan kita cuba menepis juga mengelak, ada ketikanya kita tersasar juga.

Monday 8 August 2011

Ramadhan 1432H - 7

Ramadhan Kareem.

Proses Validasi kenaikan pangkat untuk staff gred 44 ke gred 48 dan gred 48 ke gred 52 berlangsung pada minggu ini. Lalu bertungkus lumuslah rakan-rakan, sampai ada yang "sesak nafas" menyediakan dokumen-dokumen mengikut kriteria kecemerlangan untuk dinilai oleh panel kesepakaran yang telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Di antara kriteria yang diambil kira ialah, sumbangan kepada organisasi, kementerian dan negara juga sumbangan kepada masyarakat luar. Kolaborasi dengan industri, penulisan, penerbitan dan penyelidikan serta pembentangan. Kursus CPCM dan PKK yang wajib dihadiri, selain temuduga lisan untuk melihat tahap kompetensi pegawai yang dinilai.Melihat kesibukan dan "ketakutan"  serta "kekalutan" rakan-rakan ini membuatkan saya terfikir, alangkah diri kita ini sering saja diuji dengan pelbagai ujian dunia, dan juga tahap persediaan kita untuk menghadapi ujian tersebut. 

Sunday 7 August 2011

Ramadhan 1432H - 6

Sepanjang Jalan 06 Ramadhan 1432H, membawa anakanda saya pulang ke Maahadnya di Bachok, Kelantan. Along balik ke Kelantan dengan bas, yang bertolak dari pekan Jitra jam 09.15 minit pagi. Semoga perjalanannya selamat sampai ke destinasi. Cukuplah cutinya selama seminggu di awal Ramadhan yang penuh rahmat ini, memberi sedikit pengajaran beerti kepada dirinya. Bahawa hidup ini perlu dikoreksi kerana kita hanya manusia biasa yang sering alpa, anakku.

Ramadhan 1432H - 5

Ramadhan Kareem!!

Sepanjang jalan 05 Ramadhan membawa saya dan keluarga ke Alor Setar. Kami sekeluarga telah singgah di Masjid Aman, Jalan Kuala Kedah. Saya begitu berminat untuk merakamkan keunikan masjid ini dari segi pengurusan yang cukup cemerlang sifatnya. Ini cuma pandangan kasar saya sahaja. Saya tidak berkesempatan untuk bertemu pak Imam masjid ataupun AJK masjid tersebut. Subhanallah, apa yang saya maksudkan ialah beroperasinya satu kedai koperasi masjid di dalam kawasan masjid tersebut. Alhamduillah, sepanjang saya berada hampir setengah jam di situ, urusniaga koperasi itu sungguh hebat! Ramai muslimin dan muslimah yang keluar masuk masjid khusus untuk mendapatkan barangan keperluan di kedai koperasi berkenaan. Satu lagi ialah wujudnya satu sekolah KAFA - kelas al Quran dan Fardhu Ain, yang juga beroperasi dalam kawasan masjid tersebut. Mungkin ada lagi yang saya tidak tahu mengenai aktiviti selain ibadah khusus yang dijalankan masjid ini. Allahhuakbar!!

Sekitar Leadership Performance Camp - Jawatankuasa Perwakilan Pelajar

Alhamdulillah LPC telah berjaya dijalankan bermula 4 Ogos hingga 06 Ogos 2011, bertempat di Kem Perit, Kuala Nerang, Kedah. Syabas kepada Jawatankuasa pelaksana LPC yg berjaya menganjurkan satu program yang hebat demi untuk membentuk legasi kepimpinan JPP yang berilmu. Terima kasih kepada alumni JPP Sdr. Nurul Fahmi dan Sdr. Akmal Mukmin yang masih sayangkan perjuangan JPP. Terima kasih kepada En. Fitrah kerana sudi menjadi pegawai pengiring. Terima kasih kerana mengundang saya bagi mengendalikan sesi pengenalan kepada Akta 174 bermula jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari, Jumaat, 05 Ogos 2011.

Friday 5 August 2011

Ramadhan 1432H - 4

Ramadhan Kareem.


Diyana begitu kepenatan hari ini. Pulang dari kerja, saya lihat anak perempuan bongsu saya ini sedang tidur dengan begitu lena di ruang tamu rumah dengan hanya beralaskan kusyen. Baju sekolahnyapun masih belum di tukar. Letih mungkin. Tetapi roh ramadhan yang mengalir dalam jiwanya begitu kejap - meneruskan perjalanan puasanya dengan sempurna.

Tetapi saya terpaksa mengejutkannya setelah isteri memberitahu bahawa dia belum lagi solat zohor." Eh dah lewat ni. Cepat bangun, mandi". 

Thursday 4 August 2011

Ramadhan 1432H - 3

Ramadhan Kareem!!

Hari pertama kerja. Masuk pejabat banyak kerja yang perlu dilaksanakan, terutamanya persiapan untuk mesyuarat - Khamis 4 Ogos 2011. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan, semua perancangan yang diatur InsyaAllah akan terlaksana dengan sempurna. Itulah harapan kita. Optimis dan selalu fikirkan yang terbaik kepada apa sahaja perkara yang kita hendak lakukan. Itu hukum LOA. Walaupun begitu memikirkan kemungkinan berlaku adalah perlu untuk mengimbanginya dengan strategi-strategi yang lain pula, seperti menyediakan plan bukan setakat plan B, tapi mungkin hingga D!!

Wednesday 3 August 2011

Ramadhan 1432H

Hari ke dua berpuasa. Hari ini saya masih bercuti. Ada beberapa urusan persendirian yang perlu saya selesaikan hari ini. Solat subuh berjemaah dengan seluruh ahli keluarga. Along menjadi imam. Selesai solat, semua lekas-lekas pula mencapai kitab suci al-Quran. Semua anak-anak menyambung bacaan yang dimulakan sekali lagi lewat bulan Rejab yang lepas. Target saya untuk Ramadhan tahun ini, semua ahli keluarga khatam al-Quran walaupun sekali.Kami panjatkan kesungguhan niat suci ini demi Mu ya Allah!! 

Cuti Ihya Ramadhan 1432H - III

Ramadhan Kareem!!

Marhaban ya Ramadhan!! Rindu bertemu mu akhirnya terubat jua Ramadhan. Iltizam yang tinggi untuk Ramadhan kali ini.Segala kelebihan yang Allah kuniakan kepada umatnya di bulan yang mulia ini cukup memotivasikan saya. Saya akan terus kuat untuk mengerjakan ibadat pada Ramadhan ini, insyaAllah. Semua dari kita juga tidak memerlukan suntikkan motivasi luaran untuk bersedekah, banyakkan membaca al-Quran atau khatamkan beberapa kali, bagun malam, solat sunat dan sebagainya. Cukup dengan meneliti janji Allah kepada kita. Terutamanya dalam mencari malam 1000 rahmat, malam Lailatul Qadr. Usaha harus bermula sekarang dari awal 1 Ramadhan ini.

Cuti Ihya Ramadhan 1432H - II

Ramadhan Kareem!

Jumaat bermalam di rumah Ma dan Abah. Syukur kehadrat Illahi, memberikan peluang bertemu mereka dalam suasana yang gembira. Sesungguhnya gembira itu adalah nikmat yang Allah kurniakan pada umatnya. Ianya lahir dari sekeping hati yang terus mahu hidup. Jika hati sudah hitam dan mati, nescaya cahaya dan nikmat kegembiraan itu tidak akan mengunjung tiba. Saya ingin mengulas lanjut tentang bagaimana menjadi gembira. tetapi bukan dalam entri ini. InsyaAllah, doakan saya dan kita boleh berkongsi bagaimana mendapatkan kegembiraan, ketenangan melalui kaedah NLP dan juga teknik Hipnosis. Saya yakin benar Allah akan tunaikan hasrat saya ingin membantu dan berkongsi ilmu yang saya perolehi juga dengan izinNya untuk digunakan seterusnya ke jalanNya. Amin..amin..ya Rabbi.

Cuti Ihya Ramadhan 1432H

Ramadhan Kareem!

Perjalanan pulang ke kampung halaman untuk kesekian kalinya penuh dengan keceriaan dikalangan ahli keluarga. Kali ini pulang dengan Naza Ria. Sebab nantinya Along akan pulang bersama. Kalau pulang dengan kereta Proton, tak muat pula nanti. Itu kesepakatan antara kami semua. Saya memang mengamalkan perbincangan dengan seluruh ahli keluarga sebelum membuat keputusan. Secara langsung ini memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berfikir serta menyumbang dalam membuat keputusan. Alhamdulillah, Allah memberikan nikmat  ini berterusan kepada kami. Syukran ya Allah.