Tuesday 23 August 2011

Ramadhan 1432H - 23

Salam Cinta Kasih kerana Allah dan RasulNya. Salam Ramadhan al-Mubarak!! - Selamat memberi dan menerima.

En. Hashim dan Isteri
Allah mengizinkan saya untuk berkunjung ke rumah waris pelajar yang meninggal dunia - rujuk entri di bawah - iaitu Pak Hashim di Kampong Panchor, Pokok Sena untuk menyerahkan sekeping cek bernilai RM3,650.00 kepada beliau sebagai sumbangan skim Takaful berkelompok pelajar Polimas. Alhamdulillah - saya doakan agar arwah anak beliau dan seluruh keluarga nya mendapat rahmat Allah swt. 

Terima kasih kpd. En. Mat Rozi - pemandu Polimas, kerana membawa saya ke sana.

SAYA BERI :  Cek kepada Pak Haji Hashim
Tengahhari, selepas solat zohor bersama dengan Hasbullah - Pegawai Psikologi Polimas, di Masjid al Muttaqim, saya bergegas ke Bank Islam Jitra. En. Malik - pegawai bank, sedang menunggu saya di sana. Semalam saya sms beliau dan memesan RM300.00 duit deno RM1.00 untuk raya. Wang RM1.00 dikebanyakan bank telahpun habis sejak kelmarin lagi. Alhamdulillah, dengan pertolongannya ada juga untuk saya.  Daripada RM300 itu, saya bahagikan RM100 untuk ibu saya, RM100 untuk ibu mertua dan RM100 untuk isteri saya - untuk mereka sedekahkan pula kepada kanak-kanak di Aidilfitri nanti - salah satu cara untuk mengembirakan kanak-kanak dan menggalakan umat islam bersedekah. Sesungguhnya dalam rezeki kita terdapat rezeki orang lain. Memberilah, nescaya kita akan mendapat balik dalam bentuk yang lain - dari sumber yang tidak kita sangka-sangka, di saat kita amat memerlukan bantuan.

SAYA TERIMA : Cenderahati BIMB
Sesampai di BIMB, terus ke meja En. Malik dan dengan senyum yang ramah En. Malik terus menghulurkan wang deno RM1.00 berjumlah RM300 ke tangan saya. Kemudian dia meminta saya berjumpa dengan pengurus BIMB Jitra - En. Hassan - terus pula saya melangkah ke bilik En. Hassan. Ini adalah pemberian ikhlas dari beliau kepada saya - selain sampul duit raya. Orang memberi kita menerima - orang berbudi kita berbahasa - itu cara kita - terima kasih semua.


Tetiba teringat kenangan zaman kanak-kanak. Seawal usia 7 - 8 tahun - sekolah rendah. Aktiviti wajib sepanjang Aidiftri adalah mengumpul duit raya. Sesiapapun antara kita pernah mengalaminya. Keseronokan yang bila dikenang membuatkan kita tersenyum sendirian. Kami seramai 4 - 5 orang sanggup berjalan kali dari rumah ke rumah, sanggup tidak balik rumah hingga lewat petang, sanggup berjalan sejauh 5 - 10 km (saya tdak berapa pasti) semata-mata untuk "beraya". Hari itulah masanya untuk kami berkunjung ke rumah orang samada kita biasa dengannya atau tak biasa - dan matlamat utama kami sebenarnya adalah untuk mendapatkan duit raya!!

SAYA BERI: Erti kebebasan 
Pulang ke pejabat, meneruskan rutin kerja yang masih banyak - Kajian Pengurusan Disiplin Pelajar perlu disiapkan segera. Data perlu dimasukkan ke dalam sistem SPSS secepat yang mungkin, kerana saya akan mula bercuti pada 26 Ogos - 03 September - balik kampung - Machang dan Pasir Tumboh. Dalam perjalanan ke pejabat saya ternampak seekor anak kucing yang basah kuyup dan dalam kesejukan berada di dalam longkang. Dari awal Magrib hujan membasahi pekan Jitra. Longkang ditakungi air. Dengan bantuan dua orang pengawal keselamatan yang turut berada di situ, kami berjaya mengeluarkan anak kucing tersebut dari longkang itu. Alhamdulillah.

Hari ini saya memberi dan saya menerima - esok, InsyaAllah, saya akan bayar zakat fitrah. Di Kedah kadar zakat masih RM7.00 seorang seperti tahun-tahun yang lepas. Zakat adalah kaedah menolong orang lain yang memerlukan juga.

Alangkah indahnya hidup ini kalau amalan memberi dan menerima dengan seikhlas mungkin dijadikan budaya kita. Tidak kiralah sama ada memberi pertolongan, kewangan atau apa-apa saja bantuan kepada orang yang memerlukan. Teringat pula filem  "Pay It Foward" yang pernah ditayangkan di pawagam suatu masa dahulu - boleh buat carian dalam "YouTube". Cerita itu membawa banyak pengajaran berguna kepada manusia. Sikap menolong yang digunakan adalah seperti sistem Multi Level Marketing -MLM. Seorang tolong seorang yang lain. Orang yang kena tolong WAJIB pula menolong orang lain. Proses itu berterusan dan akan berkembang, sehingga semua orang merasai nikmat ditolong dan menolong orang kemudiannya. Indahnya hidup sebegitu.


No comments:

Post a Comment