Monday 8 August 2011

Ramadhan 1432H - 7

Ramadhan Kareem.

Proses Validasi kenaikan pangkat untuk staff gred 44 ke gred 48 dan gred 48 ke gred 52 berlangsung pada minggu ini. Lalu bertungkus lumuslah rakan-rakan, sampai ada yang "sesak nafas" menyediakan dokumen-dokumen mengikut kriteria kecemerlangan untuk dinilai oleh panel kesepakaran yang telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Di antara kriteria yang diambil kira ialah, sumbangan kepada organisasi, kementerian dan negara juga sumbangan kepada masyarakat luar. Kolaborasi dengan industri, penulisan, penerbitan dan penyelidikan serta pembentangan. Kursus CPCM dan PKK yang wajib dihadiri, selain temuduga lisan untuk melihat tahap kompetensi pegawai yang dinilai.Melihat kesibukan dan "ketakutan"  serta "kekalutan" rakan-rakan ini membuatkan saya terfikir, alangkah diri kita ini sering saja diuji dengan pelbagai ujian dunia, dan juga tahap persediaan kita untuk menghadapi ujian tersebut. 
Bagaimana ya sekiranya kita tahu kita akan mati esok? Atau lusa? atau sebenarnya kita tahu tarikh kita akan mati?? Tentunya "ketakutan" dan "kekalutan" itu semakin menjadi-jadi, atau ada yang terus pengsan memikirkan betapa persediaan yang belum mencukupi ini. Sesungguhnya daif dan lemahnya kita insan ini, yang sentiasa memerlukan bantuan Allah swt untuk mendapat cahaya hidayah dan kudratNya untuk terus bertindak!! Marilah kita renung diri sendiri. Sudahkan kita memenuhi kriteria kecemerlangan yang Allah swt tetapkan.? Sejauh manakah sumbangan diri kita kepada jalan agama Allah, bagaimana amalan kita? Di mana tahap ketaqwaan kita, sempurnakah kita beriman kepada rukun iman dan sempurnakan rukun islam kita?

Bayangkan ya, sekiranya semangat persediaan segala dokumen dan persiapan rapi yang kita lakukan untuk proses validasi itu, kita praktikkan sebagai persediaan untuk hidup penuh amal kebaikan dan taqwa kepada Allah. Betapalah pula kita tidak tahu bila kita akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Ya kita akan pergi seperti orang-orang yang terlebih dahulu pergi daripada kita. Itu adalah kepastian! Justeru marilah kita bersama-sama muhasabah diri dan terus bangun untuk bertindak, fokus dan sentiasa bermotivasi mengerjakan amal ibadat hanya kepada Allah swt.  

Saya juga dikunjungi oleh mantan bos saya, En. Bakri bin Bahrom yang kini telah berpindah ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin @ PTSS, Perlis. Kunjungannya bersama seikat rambutan yang katanya diambil dari dusunnya di kampong. Terima kasih tuan. Beliau juga turut terlibat dengan proses validasi yang akan bermula pada selasa ini. Selamat maju jaya tuan, semoga Allah mempermudahkan urusan tersebut kepada tuan. Sebelum pulang saya hadiahkan senaskah buku berjudul "Unggul" hasil tulisan saya - atas nasihat tuan, yang diterbitkan oleh HEPP Polimas. Semoga ia dapat membantu tuan dalam validasi nanti.

Sakit-demam adalah ujian daripada Allah juga. Mungkin untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran kita. Kakak demam agak teruk semalam. Tapi digagahi juga untuk kesekolah. Motivasi dalamannya cukup kuat untuk belajar. Dia mempunyai hasrat yang jelas. Dan telah membuat keputusan yang pasti dalam pelajarannya,  - justeru sebarang halangan, selagi mampu dia akan teruskan perjuangan menuntut ilmu itu. Selepas menjemput kakak dan adik di SMJ, saya terus membawa dia ke klinik Dr Fauzi, di Jitra. Jam sudah menghampiri pukul enam petang. sesampainya dipintu masuk, kami dikejutkan dengan notis yang diletakkan di atas kaunter pendaftaran. Ini satu lagi ujian buat kami. Namun, pertolongan Allah hadir jua, kerana kami dibenarkan masuk sebagai pelanggan terakhir pada hari tersebut. Alhamdulillah. Inilah dunia, walau peraturannya sudah ditutup, kita masih boleh memohon supaya dibenarkan masuk. Tetapi tidak untuk akhirat, sekiranya pintu taubat sudah tertutup, kita tiada lagi peluang kedua untuk memohon kepada Allah supaya membuka semula pintu taubat tersebut. Oleh itu, ketika urat nadi masih berdenyut, marilah kita bersama-sama bertaubat kepada Allah, sesungguhnya hidup kita ini penuh ujian dan kita pula sering alpa dan menerima dosa-dosa yang kita tidak pinta!

No comments:

Post a Comment