Wednesday 3 August 2011

Cuti Ihya Ramadhan 1432H

Ramadhan Kareem!

Perjalanan pulang ke kampung halaman untuk kesekian kalinya penuh dengan keceriaan dikalangan ahli keluarga. Kali ini pulang dengan Naza Ria. Sebab nantinya Along akan pulang bersama. Kalau pulang dengan kereta Proton, tak muat pula nanti. Itu kesepakatan antara kami semua. Saya memang mengamalkan perbincangan dengan seluruh ahli keluarga sebelum membuat keputusan. Secara langsung ini memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berfikir serta menyumbang dalam membuat keputusan. Alhamdulillah, Allah memberikan nikmat  ini berterusan kepada kami. Syukran ya Allah.


Nikmat keceriaan ini adalah cetusan rindu terhadap keluarga di kampung. Rindu kepada Abah dan Ma, rindu kepada adik-beradik, serta saudara mara yang lainnya. Tetiba teringat pesan seseorang kepada saya semasa saya mula-mula merantau dulu. Katanya "Nik, selama orang tua kita masih ada, pulanglah ziarah mereka dikampung." Kata-kata beliau begitu terkesan pada jiwa saya. Saya tidak ingin menyesal kemudian hari. Kerana itulah, seboleh yang mungkin saya akan aturkan masa cuti saya untuk pulang ke kampung bersama dengan keluarga. Kerana ia adalah nikmat ketenangan yang tiada tolok bandingnya. Keluarga adalah kita dan kita adalah keluarga. Selain itu secara tidak langsung ini menjadi satu proses mendidik yang baik untuk anak-anak. Mereka akan perhatikan kita. Apa yang kita perkatakan dan kita lakukan akan mereka lakukan juga suatu hari nanti. Ini Rules of Life  - hukum karma. Inilah antara intipati Law of Attraction. Jadi untuk mendapatkan sesuatu yang baik kepada diri kita kelak, kerana kita juga bakal bergelar bapa yang mempunyai anak yang merantau jauh dari keluarga, berbuat baiklah pada orang tua dan keluarga kita pada hari ini.


Apa yang dapat anda perhatikan pada sekeping foto di atas? Biar saya ceritakan. Ini adalah gambar sebuah tandas awam di kawasan rehat Puncak Titiwangsa - Lebuh Raya Timur Barat. Saya terpanggil untuk merakamkan gambar ini demi mengabadikan satu kisah kejayaan luarbiasa seorang pengusahanya. Saya mohon kepada sesiapa jua yang melalui jalan tersebut untuk berhenti sejenak di kawasan ini dan mengambil peluang bertemu muka dengan pemain utama disebalik kisah kejayaan ini. Selama 8 tahun berulang alik dari Kelantan ke Kedah, saya kerap singgah di sini untuk solat. Untuk rekod, puncak Titwangsa terletak di banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang kepada muka bumi semenanjung Malaysia. Cuaca dan suhu persekitaran amat dingin. Ini amat terasa di saat kita menyentuh air untuk mengambil wuduk. Kesejukkan itu menyelinap hingga ke tulang temulang! 

Jadi apa kejayaannya? Kejayaan luar biasa yang saya maksudkan adalah pada diri pengusaha itu sendiri. Dia ialah Orang Kurang Upaya (OKU). Tidak boleh bercakap. Namun semangat gigih beliau membolehkan beliau menguruskan tempat tersebut sehingga ke hari ini. Beliau akan memartabatkan kejayaan ini di puncak yang paling mulia sekali, kerana pada tahun ini beliau akan menunaikan fardhu haji! Ya, dengan hasil kutipan RM0.30 sen seorang yang memasuki tandas tersebut, telah dikumpul dan hasilnya bukan sedikit. Bayangkan dengan kekuatan dan kesempurnaan yang Allah berikan kepada kita, apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan potensi diri dan juga mencapai kejayaan yang sepatutnya lebih baik daripada beliau! Ini motivasi terbaik untuk diri saya sendiri yang belum lagi menjejakkan kaki ke Mekah.Rabbi Yassir ya Allah.

Satu lagi aspek kejayaan luar biasa ialah transformasi yang telah beliau lakukan. Sebuah tandas yang dulunya sudah cukup bersih bagi kategori tandas awam, kini telah bertukar wajah. Beliau telah transformkan tandas tersebut kepada wajah yang lebih manis. Dengan sentuhan cat yang menarik, susunan yang lebih teratur ini akan menjemput lebih ramai pengunjung untuk berhenti rehat di kawasan yang cukup baik untuk dibangunkan ini. Idea hebat ini telah direalisasikan oleh anak muda ini. Tahniah saudara! Semoga Allah memberkati segala hasil usaha yang telah saudara lakukan. Sesungguhnya kita punya cara sendiri untuk memburu mimpi, kita punya cara sendiri untuk mendekati Allah. Allah maha mengentahui. 

No comments:

Post a Comment