Sunday 7 August 2011

Ramadhan 1432H - 6

Sepanjang Jalan 06 Ramadhan 1432H, membawa anakanda saya pulang ke Maahadnya di Bachok, Kelantan. Along balik ke Kelantan dengan bas, yang bertolak dari pekan Jitra jam 09.15 minit pagi. Semoga perjalanannya selamat sampai ke destinasi. Cukuplah cutinya selama seminggu di awal Ramadhan yang penuh rahmat ini, memberi sedikit pengajaran beerti kepada dirinya. Bahawa hidup ini perlu dikoreksi kerana kita hanya manusia biasa yang sering alpa, anakku.


Selama dua pagi, ayah mengatur waktu untuk dirimu mentelaah pelajaran - matematik bersama tutor di rumah. Semua ini sebagai sumbangan kecil yang ayah boleh lakukan untuk membantu mu, selain doa yang selalu ayah dan umi panjatkan ke kadrat ilahi. Selamat menduduki ujian percubaan PMR. Semoga Allah anugerahkan kejayaan dan kemenangan kepada mu anakku. Ameen! 

Hari ini juga adalah hari ulangtahun kelahiran anak perempuan yang ke dua @ kakak. Semoga Allah kurniakan kakak kehidupan yang cemerlang dunia dan akhirat. Diyanalah orang yang paling teruja dalam soal menyambut hari lahir ini. Dia sempat mengatur strategi untuk mengejutkan kakaknya. Pagi itu kakak ke kelas tuisyen bahasa arab, di rumah ustazahnya. Masa ketiadaan kakak di rumah itu telah digunakan oleh Diyana untuk mengemas bilik kakaknya itu sebagai hadiah hari lahir yang ke 14 kakak. Petang itu juga, selepas solat asyar, dia mengajak saya ke kedai kek untuk membeli sebiji kek kecil buat si kakak. 

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Malam tadi sempat bertemu muka dengan al fadhil ustaz Zainul Asri  bin Haji Ramli. Mendengar tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh ustaz di surau Taman Tunku Sarina malam tadi membuatkan saya lebih bermotivasi memburu nikmat Ramadhan ini. Terlalu banyak yang dikupas dengan cara yang cukup mudah untuk dikunyah isinya. Namun kesimpulannya ialah "Dengan puasa akan menjadikan orang itu bertaqwa. Taqwa akan menentukan manusia itu tempat ke syurga Allah."  

Ustaz juga sempat mengupas makna taqwa, iaitu menjunjung tinggi perintah Allah swt dan menjauhi laranganNya. Beliau juga memberi contoh bagaimana orang-orang yang di dalam hatinya menjunjung tinggi perintah Allah itu. Taqwa boleh menjadi penghalang manusia daripada berbuat kebatilan. Selamat beramal ibadah, merebut segenap peluang yang diberikan oleh yang maha kaya Allah swt. Sesungguhnya, janji Allah adalah benar. Mohonlah kepadaNya. Allah telah menjanjikan ganjaran atau menawarkan bonus yang cukup banyak pada bulan Ramadhan ini. Setiap amal diganda 10, 70 dan boleh sampai 700 kali ganda. Marilah kita bersama-sama tingkatkan keikhlasan puasa kita kerana Allah swt. 10 hari pertama Ramadhan ini adalah rahmat Allah kepada hambanya yang berpusu-pusu menuju kenduri di rumahNya. Semoga 10 hari yang mendatang ini, rumahNya ini akan terus-terusan diimarahkan oleh hamba-hambaNya.

No comments:

Post a Comment