Thursday 4 August 2011

Ramadhan 1432H - 3

Ramadhan Kareem!!

Hari pertama kerja. Masuk pejabat banyak kerja yang perlu dilaksanakan, terutamanya persiapan untuk mesyuarat - Khamis 4 Ogos 2011. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan, semua perancangan yang diatur InsyaAllah akan terlaksana dengan sempurna. Itulah harapan kita. Optimis dan selalu fikirkan yang terbaik kepada apa sahaja perkara yang kita hendak lakukan. Itu hukum LOA. Walaupun begitu memikirkan kemungkinan berlaku adalah perlu untuk mengimbanginya dengan strategi-strategi yang lain pula, seperti menyediakan plan bukan setakat plan B, tapi mungkin hingga D!!
Kamal - rakan setugas JHEP- telahpun menghantar surat jemputan mesyuarat kepada semua AJK. Syukur yang amat bila memikirkan bahawa walaupun saya bercuti tetapi kerja-kerja berjalan dengan baik. Inilah berkat sokongan semua orang. Untuk dapatkan sokongan semua - kita perlu sokong mereka semua juga!! Caranya ialah hormati mereka, dengar mereka dan penuhi keperluan kerja mereka. Kesimpulannya - buat mereka merasa penting. Jika kita merasakan diri kita adalah penting, mereka juga begitu. Terima hakikat bahawa semua manusia ada ego masing-masing. 

Seorang sahabat bertanya - bagaimana nak selesaikan masalah tiada kesefahaman dalam organisasi. Saya diam. Membiarkan dia terus bercakap. Biar dia lepaskan satu persatu apa yang ingin diluahkan. "Tapi tidak semua masalah perlu diselesaikan" tambah beliau lagi. "Yang penting kerja jalan" Dia menokok lagi. "Ah, mereka semua sudah tidak boleh di ubah!".

Jawab saya "Ada tuan tanya  pandangan mereka terhadap keadaan organisasi  sekarang ini? Adakah mereka rasa selesa, selamat, tenang, berada dalam organisasi?  Apa yang mereka perlukan sebenarnya? Minta pandangan mereka sendiri apa yang mereka boleh lakukan untuk ubah organisai" - dengar mereka.

Saya akui, yang penting kerja jalan. Namun kita ini manusia. Yang ada unsur emosi. Jadi faktor kemanusiaan perlu juga diambil kira dalam hal ini.Jika kerja jalan dalam situasi yang tegang, tiada komunikasi, hubungan dingin - keseronokan bekerja akan hilang! Tiada nikmat kerja dan produktiviti akan berkurangan. Itu hakikat. Setiap masalah ada puncanya. Cari punca dan ubatinya. Atau buang terus punca tersebut dari terus merebak. Macamana ? Boleh begitu ?

Kaedah penyelesaian masalah amat banyak. Sebiji gula-gula yang sama akan dirasa berbeza oleh orang yang berbeza. Begitu juga masalah. Pada setiap orang, pandangan terhadap sesuatu masalah itu berbeza. Justeru penyelesaiannya juga tentunya berbeza. Itu khas untuk indivitu, untuk organisasi perlu menggunakan pendekatan yang boleh diterima oleh semua orang. Ada yang memilih untuk mengadakan kursus motivasi, kursus pembentukan kumpulan dan berbagai-bagai lagi. Lakukanlah apa sahaja, dan sebenarnya- kita telah lakukan sesuatu untuk kebaikan organisasi. Usah persoalkan keberkesanan, kerana faktor penerimaan manusia adalah berbeza. Kita manusia memiliki keunikan tersendiri ciptaan yang maha Esa. Sekecil manapun kesannya ia akan merubah organisasi tersebut ke arah kebaikan. Masalah walau sekecil manapun juga perlu diselesaikan. Ibarat barah, jika tidak dikesan dan diubati, ia boleh menjadi pembunuh dalam senyap!!

Malam tadi sempat bertarawikh di masjid Al Muttaqim, Taman Masuri (Gambar). Pak Imamnya adalah mantan staff POLIMAS. Saya tertarik dengan 3 perkara peringatan beliau sebelum memulakan solat sunat tarawikh - kanak-kanak tolong jangan buat bising, jaga keselamatan barangan dan kongsikan karpet masjid sama-sama. Kanak-kanak memang begitu, kena selalu beri peringatan tanpa jemu, cuma tukar kenyataan jangan bising kepada tolong diam kerana sistem otak manusia lebih senang mematuhi arahan yang positif!!- sedikit sentuhan hipnosis di sini. Isu berkongsi karpet masjid adalah pernyataan yang cukup kreatif - apa yang dimaksudkan adalah untuk penuhkan saf dan rapat-rapatkan saf!!





   

No comments:

Post a Comment