Tuesday 9 August 2011

Ramadhan 1432H - 8

Ramadhan Kareen.


Sepanjang Jalan Ramadhan al Mubarak ini, terlalu banyak dugaan yang menghampiri kita dan kita cuba menepis juga mengelak, ada ketikanya kita tersasar juga.
Hari ini baru 8 hari kita menjalani ibadah puasa. Bermula dengan niat untuk berpuasa, kita juga sebenarnya perlu berniat untuk berpuasa seperti puasa yang sebenar. Puasa untuk mendapat keredhaan Allah swt. Untuk apa dan untuk siapa kita berpuasa? Adakah kerana cuma ianya musim seperti musim durian begitu? Ketika semua orang makan durian, kita juga teringin dan terikut-ikut makan durian. Ketika orang berpuasa kita juga turut sama berpuasa. Ataukah kerana mak dan ayah suruh kita berpuasa? Ataukah kerana kawan-kawan berpuasa? Atau kerana hendak berhari raya? Kerana apa sebenarnya kita berpuasa ini? 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. “(Al-Baqarah: 183)

Baguslah jika kita penuh sedar bahawa kita sebenarnya berpuasa kerana perintah Allah swt. Benar puasa kita hanya untuk Allah. Kita ingin mendapat ganjaran terhadap puasa kita. Kita tidak mahu dengan puasa kita ini hanya dapat lapar dan dahaga sahaja. Justeru, semakin hari kita hendaklah memperelokkan puasa kita, bukan sebaliknya. 


Di permulaan hari, berniatlah untuk berpuasa dengan cara yang terbaik. Cara yang lebih baik dari semalam. Tingkatkan segala amalan. Jika sebelum ini tidak membaca al-Quran, mulakan membaca, jika sebelum ini tidak sembahyang berjemaah, usahakan untuk bersembahyang berjemaah. Elakkan perkara-perkara yang  boleh mengurangkan pahala puasa, perhatikan percakapan kita, perbuatan kita, pendengaran kita. Carilah ilmu dengan menghadiri kuliah-kuliah ramadhan, juga bacalah buku-buku yang berkisar tentang ramadhan. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi untuk meningkatkan lagi kualiti puasa kita. 


Di surau malam tadi, ketika para jemaah sedang solat, bermula dari solat Isyak hingglah selepas solat sunat tarawikh dan witir, kanak-kanak sibuk bermain mercun. Bunyi mercun yang kuat itu kadang-kadang mengganggu para jemaah. 


Saya pernah bermain mercun papan. Bunyinya kuat. Kalau dicucuh satu persatu, ia perlu menggunakan api lilin atau pelita minyak tanah. Paling tidak pun menggunakan ubat nyamuk.


Ibu jari saya pernah pecah kerana tidak sempat membalingnya. Sakit.

Inilah pengalaman masa lampau yang masih “ingat-ingat lupa”.

Kini Saya dengan penuh sedar tidak akan menjadi agen kepada perkara yang haram. Saya sama sekali tidak akan membenarkan anak-anak saya bermain mercun. Ia haram. Membazir. Malah sangat-sangat mengganggu masyarakat. Seperti yang saya katakan tadi, ketika orang mahu solat…. ketika itulah ditembaknya mercun ke udara…

Dulu-dulu, saya tahu ia membazir namun tidak pernah ambil pusing. Bila anak meminta izin membeli mercun, saya hulurkan wang menyokong kehendaknya.

Bermain mercun  adalah perbuatan membazir yang dikutuk Allah.





No comments:

Post a Comment