Monday 29 August 2011

Ramadhan 1432H - 26

Salam Ramadhan al Mubarak!

Perjalanan pulang ke kampung - cuti sempena Aidilfitri 1432H.  Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami sekeluarga.

Banyak kenderaan di sepanjang jalan hari ini, menuju ke Pantai Timur - meredah banjaran Titiwangsa. Beberapa orang pelajar IPT mengambil kesempatan konvoi bermotorsikal beramai-ramai untuk pulang. Saya sempat berjumpa dengan mereka, ketika singgah sekejap untuk ke tandas. Saya amat terkejut dengan gelagat beberapa orang pelajar tersebut - merokok dalam budaln Ramadhan, di khalayak ramai - saya degur mereka dengan berhemah - jawapan mereka adalah - mereka musafir! 


Bermusafir diberi kemudahan oleh Allah untuk tidak berpuasa, tetapi adab perlu dijaga. Kalau hendak makan dan minumpun biarlah bukan dihadapan orang ramai. Apatah lagi jika merokok. Ini mencemarkan nama baik bulan penuh keampunan ini. Ya Allah ampunkanlah dosa kami dan dosa mereka, sesungguhnya kami semua dahagakan ilmu Mu. 

Perjalanan pulang kami tertangguh selama 2 jam. Bermula dari jambatan Tasik Banding - Grik, kereta bergerak agak perlahan dan kadang kala terhenti seketika. Sehinggakan saya hampir terlena kerana  menunggu terlalu lama. Akhirnya misteri kenapa berlakunya kesesakan lalulintas yang begitu teruk akhirnya terjawab - sesuatu yang sudah dijangka - berlaku kemalangan jalanraya - sebuah lori traller membawa muatan papan lapis terbalik melintang jalan. Operasi memindahkan badan lori itu juga gagal dilakukan dengan segera kerana kenderaan yang terlalu banyak - musim cuti perayaan.

Singgah solat Jumaat di Masjid Nibong - Tanah Merah, Kelantan. Masjid yang amat selesa. Dilengkapi dengan sistem penghawa dingin - akibat terlalu selesa - sejuk - sehinggakan ramai yang terlena! 

Ikan Siakap Bakar RM25 
Alhamdulillah, selamat tiba di Machang sekitar jam 3 petang. Sempat ke Pasar Ramadhan Machang - membeli sedikit lauk - juadah berbuka petang nanti.

Petang berbuka di Masjid Pemanok, Kemuning, Machang - bawa Hafidz ke sana sebenarnya - hari ini gilirannya untuk mengimamkan solat serta menyampaikan tazkiran di Masjid tersebut. Hafidz adalah anak muda yang hebat. Baru berusia 24 tahun, namun dianugerahkan Allah ilmu dan kudrat untuk menyampaikan tazkirah serta mengimamkan solat di sebuah masjid Mukim. Subhanallah. 

No comments:

Post a Comment