Wednesday 14 December 2011

November dan Disember

November dan Disember terlalu membelenggu saya dengan kerja luar rutin harian yang menuntut komitment yang bukan sedikit.

AKEPP - Anugerah Kecemerlangan Pelajar Politeknik berlangsung dengan jayanya pada 28 November lalu - terima kasih kepada semua yang menghulurkan  tenaga bantuan menyempurnakan majlis.

Program sukarelawan ke Kemboja 5 - 11 Disember - 1 Nation, 1 Region - Water For Life - baru sahaja berakhir - misi kami ditunaikan Allah.

Saya sedang menunggu gambar-gambar program untuk diabadikan dalam Sepanjang Jalan ini.

November - lebih menerujakan anakanda sulong berjaya khatam dalam program Tahfiz Quran di sekolahnya - rasa syukur yang amat ke hadrat Illahi.

Anak-anak Melayu Champ di Kemboja

Fasilitator bersama penterjemah bahasa Ust. Arifin sedang mengendalikan
kempen kesihatan kepada pelajar sekolah di Kemboja

Cuba lihat kelas mereka ini

Namun mereka ceria selalu

Walau sedaif mana pun 


Namun ini lah kenangan bersama kami

Walau setitis ilmu yang dapat dikongsikan

Demi membangunkan ummah dan silaturahim



Saya cuma berbasikal di jalan utama kampung yang tidak berturap

Merakam ingatan dalam HP!

Rumah kediaman warga kg Croi Menteri

Ini pemandangan pinggir bandar Pnom Phen

Kalau Kg saya, panggil benda ini etak... hasil sungai Mekong yang menjadi pendapatan 



Bersama para Medic staff 

Saya dan anak-anak melayu Champ

Monday 14 November 2011

Sepanjang ke penghujung jalan itu yang lebih memberi makna.

Selama blog ini tidak berkunjung, selama itu saya sebenarnya berada dalam ujian Allah. Sungguh hebat ujian itu dan sungguh manis bila di penghujung jalan itu saya temui keindahan yang luar biasa. Tetapi bila dikenang balik, rupanya perjalanan menuju penghujung jalan itu yang lebih memberi makna dari keindahan itu. 

Ternyata setelah bungkusan besar yang saya sambut itu ikatannya tidak kuat. Bukan sahaja saya tidak mampu menyambutnya dengan dua belah tangan, tetapi segala isi kandungannya jatuh berselerakan dimana-mana. Namun inilah hebatnya kuasa Allah! DiberikanNya kita kudrat untuk terus mengutip satu-persatu segala apa yang berteraburan itu, untuk disatukan semula dan akhirnya dimasukkan ke dalam bungkusan besar yang terlerai tadi sebelum diikat kemas. Ini analoginya. Terlalu absurb atau kabur. Ini adalah disengajakan. 

Ayat Al-Quran berikut merakamkan kenyataan di atas:
(Surah Al-Ahzab ayat 72) Ertinya:
Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.



“Dunia ini bagai penjara bagi mukmin,sedangkan syurga bagi mua’siy (orang yang cintakan maksiat)”(Al-Hadis)

Monday 31 October 2011

Tetap Mahu Melangkah

Perjalanan di kehidupan kita, akan banyak hambatan. Asal kita tetap mahu melangkah, tahu arah yang dituju, mahu menerima petunjuk dari orang lain yang bermata hati, kita pasti sampai ke tujuan dengan selamat.InsyaAllah.

Thursday 13 October 2011

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya

Siapa antara kita yang singgah di kesementaraan hidup ini yang sanggup digelek derita sentiasa? Siapa yang tidak perlukan kebahagiaan memayungi sepanjang jalan kehidupan?

Tiada bukan? 

Setiap orang yang waras memerlukan itu. Ini fitrah manusia. Tetapi kita sebenarnya harus cepat-cepat pula memahami hakikat kehidupan yang tidak akan pernah lekang dengan masalah.

Ramai orang menganalogikan hidup sebagai lautan. Lautan yang sentiasa ada badai yang berhembus. Sentiasa ada ombak yang mendebur. Kadang waktu ombak menjulang tinggi hingga mampu memusnahkan bahtera yang gah agam besarnya. Ada ketika pula ombak menjadi seperti teman sepermainan untuk meluncur laju di atasnya. Kata mereka begitulah seni dan sains kehidupan yang kita tidak boleh lari darinya. Selagi bernama lautan, pasti ada ombak yang mendatang. Selagi bernama manusia, pasti ada ujian yang bertandang.

Sering pula kita diberi ujian oleh yang Maha Pencita Allah SWT.  Melihat sejauh mana kesediaan kita untuk menghadapinya. Sejauh mana kesabaran kita menempuhinya. Sejauh mana usaha kita mengatasinya. Sejauh mana ikatan diri kita denganNya. 

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya. Kebahagian tidak akan datang begitu sahaja. Sesiapa yang mahukan kebahagiaan perlu pergi kepada kebahagiaan. Kenalilah kebahgiaan dalam kehidupan ini kerana ia ada hanya disebelah anda. Gagal mengenali makna kebahagiaan, bermakna anda tidak akan berupaya untuk berada bersamanya, apatah lagi untuk menikmatinya.

Saya ingin mengajak anda untuk membuka akaun kebahagiaan bersama-sama saya. Ya, akaun untuk kita orang yang sentiasa menghargai nikmat besar Allah ini.

Sebelum itu, saya ingin membawa anda kepada satu senario. Anda membuka satu akaun di sebuah bank. Kini akaun anda ada wang sebanyak RM10.00 misalnya. Anda menyimpan atau menabung dengan hasrat supaya suatu hari nanti anda akan perolehi simpanan yang banyak mungkin target anda adalah RM1 juta. Tidak mengapa, letaklah ia sejumlah angka yang sebesar mana sekalipun. Itu hak anda. 

Bagaimana anda ingin tingkatkan simpanan anda dari RM10.00 itu ke RM1 juta? Sudah tentu anda akan berusaha secara bersungguh-sungguh melakukan kerja, berurus niaga atau apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan kepada anda. Motifnya untuk tingkatkan simpanan mencapai target yang telah ditetapkan.

Anda lakukan tanpa jemu, anda lakukan berterusan. Apa akan jadi sekiranya anda mengeluarkan wang simpanan itu untuk kegunaan lain? Akaun anda akan berkurangan bukan? 

Lalu akaun kebahagiaanpun begitu. Setelah akaun itu dibuka atas nama kita. Kita yang bertanggungjawab untuk memenuhinya. Sentiasalah menambah atau mendepositkan kebahagiaan dalam akaun tersebut sehingga target bahagia yang kita idamkan tercapai. Berusahalah tanpa jemu mencari punca kebahgiaan untuk didepositkan ke dalam akaun anda itu. Apa yang membuatkan kita bahagia? Senaraikan satu persatu. Depositkan ia dalam akaun tersebut. Ia suatu yang pasti milik kita - kebahagiaan.









Tuesday 11 October 2011

Melakar alam dan kandungannya dengan butir-butir kata.

Sehari lagi yang menerujakan. Banyak terima undangan ceramah akhir-akhir ini. Minggu depan seminggu di Kuala Lumpur mengendalikan kursus di Hotel Regency. Sebelum itu Sahabat saya Tuan Zulkamal minta bantuan menyampaikan ceramah penulisan kreatif kepada para pelajar di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Kuala Nerang. 

Bercerita tentang penulisan kreatif ini, membawa rasa saya kembali ke zaman remaja. Ketika itu semangat untuk menjadi penulis yang hebat begitu berkobar-kobar. Saya mula menulis dalam Majalah Dewan Siswa, terutamanya puisi. Hasilnya saya telah memenangi Hadiah Sastera Siswa pada tahun 1989, sudah lama sangat masa itu kita tinggalkan. 

Kemenangan itu bagai memberi kejutan semangat yang luar biasa untuk saya terus menulis, sementelah pula saya dipilih untuk menyertai Minggu Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka - 1989, yang kini dikenali sebagai Minggu Penulis Remaja. Ilmu penulisan ditimba secara terus dari penulis tersohor tanah air seperti Shahnon Ahmad untuk penulisan kreatif, Habsah Hassan, juga Rahman Saari untuk penulisan puisi. Masih teringat kepada Pak Ali Majod - penyelaras program pada masa itu yang begitu bersungguh-sungguh membantu kami  sepanjang kami berada dalam program tersebut.

Hasilnya adalah antalogi Tidak Sepanas Bara, Salji Masih Berguguran dan Impian Kecilku. Semuanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ilmu secara teorinya senang didapati, tetapi secara alami atau pengalaman itu sukar dicari kecuali melaluinya sendiri. Ia suatu proses yang panjang, menuntut pengamatan yang tajam dan sensitif demi melakar alam dan kandungannya dengan butir-butir kata. 

Semalam Sinar Harian membuat liputan tentang Angkatan Teater POLIMAS. Sebagai penasihat saya turut berbangga 


Monday 10 October 2011

KBO 12 : Mencari Keberkatan Dalam Ilmu

"Beli buku tak salah kakak. Ayah suka kalau seorang anak sangat berminat untuk membaca buku. Apatah lagi buku pelajaran. Malah ayah tidak kisah untuk berbelanja lebih semata-mata untuk membeli buku untuk adik ataupun untuk kakak." 

Kakak terus diam, membatu. 

"Kakak tanya saja ayah. Kalau tak boleh beli tak apalah" Jawab kakak ringkas. 

"Mari kita carikan di kedai buku. Kita beli yang original!" Tegas saya, setelah mendengar penerangan kakak sejelasnya.

Sebenarnya, kakak meminta izin untuk membeli buku latihan pelajaran yang dijual oleh kawannya. Wah, kawannya juga begitu rajin menjadi peniaga yang tidak bertauliah pula. Sekiranya buku yang dijual itu buku fizikal yang sebenar, maksud saya yang dicetak oleh penerbit yang sah, saya tidak kisah. Tetapi ini adalah buku yang di fotostat!. Nak menyebarkan ilmu pengentahuanpun perlu dengan cara yang benar. Matlamat tidak menghalalkan cara. Matlamat kawan kakak untuk membantu menyebarkan ilmu melalui penjualan buku fotostat itu adalah salah. Berdosa. 

"Cuba kakak baca di muka surat ini." Saya menghulurkan buku yang telah dibeli kepada kakak dan meminta dia bacakan satu perenggan di muka surat kedua buku itu.

"Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan diterbitkan atau diulang cetak dengan apa cara sekalipun kecuali dengan kebenaran penerbit dan penulis" Sebut kakak lancar.

"Jadi sekarang macamana? Faham? Cuba kakak bayangkan, kakak beli buku fotostat itu. Kakak gunakan untuk belajar. Agaknya, ilmu yang kakak dapat itu berkat tak? Matlamat kita belajar ialah untuk ilmu yang diredhai tuhan bukan? " Satu persatu persoalan saya lontarkan. Membiarkan anak itu berfikir sendirian secara logiknya. Supaya dia sedar bahawa bila hendak melakukan sesuatu tindakan hendaklah berpandukan ajaran agama yang sempurna. Yang telah terkandung segala sesuatu di dalam nya iaitu al Quran mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. 

Mohon Allah memberikan keberkatan ilmuNya kepada kita, kepada anak-anak kita, kepada rakan-rakan kita di dunia ini. 

Anak-anakku, hanya dengan ilmu yang diberkati hidup kita akan tenang dan aman. Rezeki yang kita perolehi kelak halal di sisi Allah swt dan kita akan terus menerus menyuburkan budaya mencari ilmu yang berkat ini untuk disebarluaskan pula kepada teman-teman yang lain pula. Bila berilmu perlu pula untuk mengamalkannya.

Biar segala apa yang kita lakukan sepanjang jalan kehidupan kita ini, kita lakukan dengan ilmu. Tidur dengan ilmu, bagun tidur dengan ilmu, bersuci dengan ilmu, solat dengan ilmu, makan dengan ilmu, belajar dengan ilmu dan sehingga bermianpun dengan ilmu kemahiran permainan itu.

Saya katakan bahawa dalam setiap apa yang kita lakukan, kita memerlukan ilmu. Setiap ilmu itu tidak dapat berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh ilmu yang lain pula. Ia saling lengkap melengkapi dan saling perlu memerlukan. Contohnya, sebagai pelajar ketika sedang mengulangkaji pelajaran,  perlu ilmu untuk membaca dengan baik, perlu ilmu untuk cepat memahami intipati pelajaran, perlu ilmu untuk mengingat, perlu juga ilmu untuk mencatat isi-isi penting. Dengan menyatu padukan keseluruhan ilmu kemahiran ini, maka setiap pelajar mampu pergi lebih jauh dan lebih cemerlang dalam lapangan akademik dan kehidupan juga.

Seronok sebenarnya bila berilmu. Rugi kalau kita terus-terusan menjadi orang yang hidup tetapi tidak berdasarkan ilmuNya. Jadi, tunggu apa lagi, mulakan mencari ilmu bagi setiap apa yang kita lakukan. Punca segala ilmu adalah al Quran Nur Karim! Baca dan fahamilah ia anak-anakku. Sekurang-kurangnya bacalah buku-buku panduan hidup buat benteng bermujahadah melawan nafsu.

Tetapi awas anak-anakku. Bila sudah berilmu, janganlah kedekut ilmu itu. Semua itu hak Allah. Jadi kongsi-kongsikan bersama teman-teman. Semoga bertambah keberkatan ilmu anak-anak. Ini hadis yang direkodkan oleh Imam al Tabrani dan al Baihaqi : "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya."


Friday 7 October 2011

KBO 11 : Urus Diri - iktibar untuk ikhtiar membaiki diri.

"Allahumma Solli 'ala Sayidina Muhammad Wa'ala alihi wa as-habihi ajma'in" - "Ya Allah, Kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekelian sahabat-sahabat beliau"

"Mana adik?" Tanya saya, setelah melihat hanya kakak yang masuk ke dalam kereta. 

" Sekejap lagi keluarlah adik tu. Dia sedang cari baju sukan untuk latihan kawad petang nanti." Jawab kakak.

"Bukankah adik pinjam baju kakak?" Tanya saya kehairanan. Seingat saya, khamis lepas adik ada mata pelajaran jasmani. Dia pakai baju sukan kepunyaan sendiri. Kemudian sebaik sahaja waktu pulang dia tertinggal bajunya dalam bilik persalinan di sekolahnya! 

Bila pergi ke sekolah pada hari ahad yang berikutnya, bajunya sudah lesap entah ke mana. 

Thursday 6 October 2011

KBO 10 : Kisah Bapa Obses

"Allahumma Solli 'ala Sayidina Muhammad Wa'ala alihi wa as-habihi ajma'in" - "Ya Allah, Kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekelian sahabat-sahabat beliau"

Tengahari itu, saya menyambung tugas tetap dan tidak berpencen saya, iaitu mengambil anak di rumah untuk dihantar ke sekolah. Inilah kerja rutin seharian yang perlu saya laksanakan. Inilah juga sumbangan kecil yang boleh saya lakukan tanpa jemu sebagai proses pelaburan mendidik anak. Saya tidak pernah kesal, jauh lagi merungut melakukan kerja-kerja ini. Biarlah semua yang saya lakukan ini menjadi satu memori dalam kamus hidup anak-anak saya. Biarlah suatu hari nanti ia akan mula berfikir apa yang saya lakukan ini semata-mata untuk masa depan mereka. 

Bukan tidak boleh saya meminta mereka menaiki bas ke sekolah seperti anak kawan-kawan yang lain.  Boleh. Cuma saya perlukan masa yang lebih untuk mereka. Dalam perjalanan menuju ke sekolah saya boleh berbual, gelak dan mungkin makan tengahari bersama mereka. Biarlah masa itu menjadi masa yang terlalu berkualiti dalam hidup mereka.

Seronok menjadi bapa yang obses kepada anak-anak. Obses melihat perkembangan mereka dan obses untuk membantu mereka. Kerana saya sedar itulah tanggungjawab saya sebagai bapa. Yang perlu saya tanggung di dunia ini dan saya jawab di akhirat nanti. Termasuklah menanggung dosa dan pahala mereka selama mana mereka dalam tanggungan kita. Ada ketikanya pula menanggung rugi terhadap perbuatan mereka yang pelbagai ragam. Juga menanggung semua keperluan asas mereka yang lain - makan, pakai, seadanya. Kerana saya penuh sedar bahawa perbelanjaan bagi mendidik anak di awal usianya  jauh lebih bermakna daripada perbelanjaan mereka apabila dewasa kelak.

Wednesday 5 October 2011

KBO 9 : Solat - Menghargai Jawapan Yang Jujur

"Adik dah sembahyang asar?" Saya mengajukan soalan, sebaik sahaja kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Ketika itu jam sudah melebihi 6.30 petang. Waktu rutin saya menjemput dua orang puteri saya pulang dari sekolah. Sebenarnya saya hanya menduga. Bak kata arwah ayah saya, "Banyak tanya anak-anak ni tidak mengapa. Ini tandanya kita ambil berat dan merekapun akan lebih beringat untuk hari-hari esok."

Tuesday 4 October 2011

KBO 8 : Lafazlah ALHAMDULILLAH dengan hati penuh sedar

"Bos, nak seribu daya bos! Saya dari dulu tak suka sangat beri alasan yang menyalahkan orang lain!" Itu adalah respon pertama saya bila mantan bos saya mengatakan bahawa SESEORANG itu bolehlah pergi menunaikan haji sebab dia ada "cable" yang besar dan punyai pendapatan  yang lumayan pula.

"Itu rezeki dia bos. Rezeki kita, kita yang kena usahakan." Tambah saya lagi. "Rezeki itu hak Allah. Allah dah suratkan dia perolehi hak dia begitu."

Sang mantan masih berkeras. "Selepas saya baca bukunya, saya mula terfikir, kalau orang biasa macam kita macamana nak pergi haji macam dia. Tengok apa yang dia buat. Dia tulis surat kepada menteri, minta 6 orang untuk pergi Mekah, walaupun hanya empat orang yang dapat. Lepas tu, dia dapat lebih 80 ribu ringgit, sebagai bayaran tunggakkan gajinya." Tokok Sang mantan.

KBO 7 : Mohon Allah buka mata hati - tiada lagi hijab.

Hari yang segar. "Ya Allah, Ya Rabb, Jauhilah diri ku dari bersikap riak dan takabbur kepada Mu ya Allah." Semoga semua orangmendapat rahmat Allah hari ini. Semoga semua orang mendapat nikmat kesegaran hari ini. 

Dari jauh saya panjatkan doa yang tak putus-putus untuk Along yang akan menduduki peperiksaan PMR hari ini. Pagi ini sempat juga saya hantar pesanan ringkas, sekadar mengingati kepada isteri "Wahai isteriku, jika kelapangan, bacalah ayat-ayat suci al-Quran, semoga anakanda kita dapat menempuhi peperiksaan hari ini dengan cemerlang, dipermudahkan Allah segala usahanya." Kurang seminit selepas itu pesanan ringkas saya berbalas.

"Umi dalam perjalanan ke surau"

Alhamdulillah.

Monday 3 October 2011

KBO 6 : Demi anak - satu usaha yang melampau

"Dari Jitra dia ke Kuala Nerang. Dari Kuala Nerang dia ke Sungai Petani, singgah ke Gurun dan petang ini dia akan ke Alor Setar pula. Dia sanggup bergerak ke hulu-ke hilir demi anaknya." 

Saya seronok belajar dari pemerhatian terhadap sikap manusia yang unik dan pelbagai. Kenyataan di atas adalah satu frasa yang saya takrifkan sebagai satu usaha yang melampau seorang bapa untuk membantu anaknya.

KBO 5 : Randy Pangalila - Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain

Saya promosikan dia tanpa sengaja
"Ni gambar siapa Na?" Tanya saya penuh gusar, sambil menunjukkan sekeping kad yang tertera gambar seorang lelaki. Saya jumpa kad ini terbiar di atas meja Nurin. Saya percaya ia adalah cetakan komputer dan dileminatekan.

"Randy Pangalila" Jawab Diyana ringkas.

"Siapa dia ni? Mana Na dapat?" Saya memang tidak kenal siapa Randy Pangalila ini dan kenapa gambarnya perlu ada di atas meja kakaknya - Nurin. 

"Na beli di kedai koperasi, sekolah." Jawabnya ringkas. Ada sedikit nada kekesalan bermain di suaranya.

"Kedai koperasi sekolahpun jual gambar-gambar macam ni? " Getus hati kecil saya. "Siapa dia lelaki ini? Erm, berapa harganya?" 

"Lapan Kupang (80 sen). Na tengok kat blog Kak Win (Nurin) ada gambar ni. Sebab tu Na beli. Nak bagi pada Kak Win. Dia pelakon drama Indonesia." Diyana mula merungkaikan setiap persoalan yang terbuku di dalam benak saya sejak tadi lagi.

Wah, hebat niat dan tindakan anak bongsu saya ini. Pandai dia menghargai kakaknya, atau mungkin untuk menarik perhatian kakaknya. Cuma caranya yang perlu diperbetulkan. Tidak salah memberi hadiah atau menghargai seseorang, terutama ahli keluarga sendiri. Di seawal usia 8 tahunnya itu, mungkin dia belum lagi dapat menilai buruk baik yang ada pada sekeping gambar artis sebegitu.

Saya menerangkan padanya, dia telah lakukan satu perkara yang mulia. Saya suka. Semua orang akan merasa dihargai apabila mendapat pemberian sesuatu yang disukai. Itu ciri-ciri yang baik yang ada pada dirinya. Cuma saya nasihatkan dia supaya tidak membazir. Barangkali duit saku yang saya berikan padanya untuk makan dan minum di kantin sekolah terpaksa dibelanjakan untuk membeli gambar itu. Ini satu pembaziran. Alangkah lebih baik kalau dia hadiahkan kakak-kakaknya dengan sesuatu yang lebih bermakna yang boleh digunakan sentiasa - walaupun sebatang pensil yang beharga lebih murah dari itu. 

Saya juga mula keliru dengan dasar kedai koperasi sekolah. Kenapa menjual benda-benda yang tidak bermanfaat langsung kepada pembangunan sahsiah pelajar? Banyak lagi barangan lain yang boleh dijual. Usahlah bermotifkan keuntungan semata-mata. Sebagai waris perkara ini amat perlu untuk diberi perhatian yang sewajarnya.

"Adik, kenapa biarkan gambar ni di sini?" saya menunjukkan gambar Randy Pangalila yang terbiar di sudut meja belajar Adik. " Adik tahu tak, Na beli gambar itu untuk Adik. Dia mahu lihat Adik suka. Dia sebenarnya perlu perhatian Adik. Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain."


Sunday 2 October 2011

KBO 4 : Mari terjemahkan rasa kasih sayang

Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Along dan kawan-kawan : Target PMR 9A
Alhamdulillah, perjalanan pulang menziarahi anakanda - Along di Maahad Tahfiz Sains, Muhammadi, Bachok, Kelantan dipermudahkan Allah.  

Jam 5.30 petang bertolak dari Jitra, singgah hanya  untuk solat, isi petrol dan makan, kami sampai ke Machang, Kelantan jam 11.50 malam - Alhamdulillah target untuk sampai pada hari yang sama tercapai.

Pagi Jumaat 30 September, kami bertolak ke MTSM untuk berjumpa Along. Dia akan menduduki peperiksaan PMR pada 04 Oktober hingga 11 Oktober ini. Doakan kejayaannya dan rakan-rakannya yang lain. Kehadiran kami sekeluarga adalah untuk memberikan sokongan moral kepada dia untuk terus berusaha mencapai impian dirinya sendiri. Kami hanya membantu, memberi sekadar yang termampu - yang selebihnya terpulang kepada dirinya sendiri. Pada saya, dia telah memasuki fasa terakhir dalam pengajiannya di MTSM - usaha yang perlu diterjemahkan pada lembaran-lembaran kertas peperiksaan. Proses penilaian untuk mengukur sejauh mana penguasaan dirinya terhadap pembelajaran yang ditempuhinya selama hampir tiga tahun beliau berada di MTSM. 

Thursday 29 September 2011

Mari kita berhati-hati kerana hidup ini penuh ranjau di sepanjang jalan.


"TAHNIAH"

Simcard anda

Berjaya
Menangi
RM 30,000.00,
From promotion
"SHELL"M.BHD
No.Siri : 881234
Sila Call Office:
011-1269-1485
Mohd Azlan



Rupa-rupanya mereka membawa cerita LINGUAPHONE - belajarlah dari sejarah

Selamat menempuh hari yang hebat kepada semua! Salam cinta kasih kerana Allah dan rasulNya!!


Rindu untuk mengetuk key board ini akhirnya terubat juga. Dua minggu lepas hari-hari terlalu padat. Menguruskan aktiviti, seperti kursus induksi De Palma, dan juga Majlis Konvokesyen POLIMAS, juga kenduri 1 POLIMAS. Alhamdulillah, semuanya berjalan sebagaimana bayangan awal saya. Ini anugerah Allah yang mahal buat hambaNya yang daif ini. Sebuah ketentuan Allah yang mengikut perancanganNya. Allahhuakbar!!

Walaupun tidak dinafikan ada juga berlaku kekurangan di sana-sini yang melambangkan kelemahan kita. Namun ianya tidaklah ketara sehingga mencacatkan majlis. Harapan saya semoga kita semua belajar dari kesilapan yang berlaku. Ia bukan disengajakan dan disebalik apa yang berlaku ada natijah untuk kita jadikan panduan sepanjang jalan hidup kita. 

"Jika buat silap - itu menunjukkan kita buat kerja, kerana orang yang tidak pernah buat silap sebenarnya tidak pernah berbuat apa-apa! Jika kita selalu buat silap itu menunjukkan kita tidak boleh buat kerja!!"

Wednesday 28 September 2011

Jamuan 1 POLIMAS

Gulai Kawah Daging Lembu
Usai sudah majlis konvokesyen POLIMAS yang ke 25. Banyak peristiwa yang terakam di sebalik majlis gilang gemilang itu. Bukan senang untuk menguruskan majlis-majlis besar. Ia memerlukan kerjasama banyak pihak. Ia menuntut tenaga dan usaha yang bukan sedikit. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan jayanya.

Tuesday 27 September 2011

Konvo 25 POLIMAS Hari ke 3

Adam Idris
Saya masih belum berkesempatan untuk terus menulis dalam blog ini. Sekadar memuatnaikan beberapa keping foto yang sempat saya rakam :

Saturday 24 September 2011

Sekitar Aktiviti JK Jubah Graduan Majlis Konvokesyen POLIMAS ke 25

Syabas dan selamat bergraduasi!

Bermula hari ini 24 September sehinggalah 27 September, saya yang diamanahkan untuk mengemudi Jawatankuasa Jubah Graduan, bertungkus lumus menguruskan jubah untuk diagihkan kepada graduan. Kerja bermula dengan semua petugas mengambil jubah dari bilik jubah untuk di bawa ke bilik agihan jubah - bertempat di Bilik Kuliah 6 dan 7, kemudiannya memasukkan jubah graduan ke dalam beg jubah, hinggalah kepada mengagihkan pinjaman jubah kepada graduan.

Friday 23 September 2011

Induksi KPTM Kumpulan 1 Bil 15/2011 De Palma Hotel

Sedar tak sedar sudah 15 kali untuk tahun ini saya dijemput  mengendalikan Latihan Dalam Kumpulan dan menyampaikan ceramah Teknik Pengucapan Awam kepada kakitangan yang baru dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Terkini 19 - 20 September, Belangsung di De Palma Hotel. Seramai 61 orang peserta terlibat dalam program ini. Kali ini saya digandingkan dengan Tuan Haji Ahmad Sahidi, pensyarah kanan di Kolej Komuniti Kuala Langat, Selangor.

Thursday 22 September 2011

KBO 2 : Meraikan Anak dan Kawan-kawannya - Sabtu 17 September 2011

Hari yang ditunggu oleh Kakak dan Adik akhirnya tiba juga.  Hari dimana kakak dan adik menjemput kawan-kawannya untuk datang ke rumah untuk majlis makan. Barangkali sempena aidilfitri - walaupun saya sering beritahu anak-anak bahawa rumah kita sentiasa terbuka untuk tetamu-tetamu yang ingin mengunjung. Justeru saya dan Zira telah sependapat untuk menyerahkan persiapan majlis kepada mereka berdua. Tujuannya  bagi membolehkan mereka belajar mengurus majlis. Satu nilai tambah yang perlu ada pada diri setiap insan. Walaupun sebenarnya kami membantu pada perkara-perkara yang mereka tidak dapat lakukan dan memberi nasihat terhadap beberapa perkara.

Kuliah Ustaz Azhar Idrus : Masjid Al Bukhari Alor Setar 16 September 2011

Hari Jumaat yang indah. Selamat hari Malaysia

Jam 7.00 malam bergegas ke Masjid al Bukhari Alor Setar. Dalam Perjalanan, singgah sekejap di Anak Bukit untuk mengambil Fitrah. Dia juga ingin bersama saya ke masjid itu, kerana malam ini ada kuliah bersama al fadhil Ustaz Azhar Idrus - seorang ustaz yang begitu popular di Malaysia sekarang ini. Popularitinya begitu memuncak setelah banyak klip video kuliahnya dimuatnaik samada dalam Facebook mahupun juga ke dalam Youtube . Teknologi internet yang memudahkan capaian dan terbuka luas kepada seluruh manausia di dunia ini amat membantu beliau untuk terus muncul sebagai salah seorang ustaz yang digemari oleh ramai umat Islam. Ramai yang sudah menggunakan strategi ini untuk membawa mesej dan dikenali ramai dengan begitu cepat, seperti Cikgu Shida dengan lagu-lagu dan imej humor yang dibawanya dan juga Namewee dengan video provokatif yang hebat diperdebatkan. 

Thursday 15 September 2011

KBO 1 : Kuliah Untuk Adik dan Kakak - Kurangkan Muka Buku - Lebihkan Isi Buku!

Rutin harian diteruskan. Bezanya mereka berdua bersekolah petang, tetapi hari ini saya menghantar mereka ke sekolah sebelah pagi. Katanya ada jamuan hari raya di sekolah mereka. 

"Tugas ayah sebagai pemandu. Bukan sahaja memandu kenderaan ini, tapi lebih dari itu, ayah perlu memandu ke laluan hidup yang cemerlang buat adik dan kakak. Sebab itu ayah sangat mengambil berat mengenai apa sahaja yang adik dan kakak lakukan. Allah yang berikan lesen ini untuk ayah"

Wednesday 14 September 2011

Konvoi Bermotorsikal Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2011 Peringkat POLIMAS

Peserta Bersiap Sedia Untuk Majlis Pelancaran

Antara VIP yang hadir 

Anggota PDRM Menyampaikan Taklimat Keselamatan

Majlis Perasmian 

Kejayaan Warisan?

Kerana merindui Nya kita wajib berjumpa denganNya lima kali sehari, alangkah indahnya pada setiap pertemuan itu berlangsung di rumahNya. 

Sepanjang jalan hari ini menguat rasa saya untuk berkongsi kisah : adakah kejayaan adalah warisan?  Dengan izin, saya coretkan kisah benar yang berlaku di sekeliling saya sahaja.  Saya tidak mahu mengambil contoh orang jauh yang saya tidak kenal. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu saya terpaksa merahsiakan nama mereka demi melindungi hak-hak mereka.

Tuesday 13 September 2011

Sehari bersama PIDM - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia

Bersama Tuan Adi dari PIDM

Aktiviti ini berlangsung di ruang legar bersebelahan koperasi Polimas. Untuk makluman semua Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) ialah agensi Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans di Malaysia.

Sejajar dengan komitmen PIDM terhadap peningkatan pengetahuan dan kemahiran kewangan di kalangan generasi muda dan keberkesanan program pendidikannya pada tahun 2011 dalam meningkatkan minat para penuntut terhadap pengurusan kewangan dan simpanan secara berhemat, pihak PIDM  meneruskan pelaksanaan aktiviti jerayawara di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia bagi tahun 2011 di bawah Program Pendidikan PIDM.

Warnai Hidup - Lupakan Sejarah Hitam

Sayang kalau kita memandang kehidupan ini dengan hitam dan putih sahaja. Kerana kita sebenarnya boleh untuk mewarnainya dengan warna-warna kegemaran kita. Hidup ini - hakikatnya kita yang hidup. Ini bermakna kita punyai kemampuan yang dianugerahkan Allah swt  untuk merancang dengan kreatifnya corak bagaimana yang kita mahu dan warna apa pilihan kita. Bak kata teman saya "Kita buat dia". Sekarang terserah kepada kita untuk membuat pilihan - cepat bertindak, cepat pula mendapat hasilnya.

Monday 12 September 2011

ISBN & CIP - keperluan untuk buku dipanggil "BUKU"

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah swt di atas anugerah yang tidak putus-putus dicurahkan kepada saya dan seluruh umatNya yang lain. Terlalu besar ertinya dan terlalu mahal nikmat ini. Nikmat untuk terus hidup dan beramal ibadat kepadaNYa. Itu tugas kita yang hakiki - sebagai hamba yang akur sujud kepadaNya.

Semalam saya tertanya-tanya apa peraturan yang kena saya patuhi untuk menerbitkan buku. Saya membelek-belek beberapa buah buku yang ada dalam simpanan. Saya jumpai dua perkataan ini ISBN dan CIP. Saya mula tercari-cari apa maksud susunan abjab itu.

Itulah, ilmu Allah ada di mana sahaja dan sungguh, Allah itu maha pemurah, saya penuh yakin Dia akan bantu sesiapa sahaja yang ingat padaNya, yang selalu pula menolong orang lain yang memerlukan sesuatu. 

Marilah saya kongsikan kepada sesiapa yang berminat dan berhajat untuk menerbitkan buku maklumat yang dapat ini:-

ISBN ialah singkatan kepada International Standard Book Numbers.

CIP ialah cataloging-in-publication.

Kita perlu dapatkan kedua-dua perkara di atas bagi membolehkan buku kita layak 'dipanggil' buku.

Sunday 11 September 2011

"Travelog Dakwah : Meniti hari Esok" - Prof. Dr. Hj Muhd Kamil Ibrahim

Salam cinta kasih kepada Allah dan RasulNya.

Maaf saya bukan ustaz! Saya baru nak start

Pagi Ahad, hari permulaan kerja untuk minggu ini. September sudah menjengah angka 11 begitupun juga syawal melangkah ke angka 13. Masa terlalu beerti untuk dilepaskan pergi dengan sesia. Justeru, disetiap kelapangan yang ada, saya memaksa diri  untuk memenuhinya dengan aktiviti  - antaranya membaca buku. 

Hari ini saya memilih sebuah buku berjudul "Travelog Dakwah : Meniti hari Esok" hasil tulisan Prof. Dr. Hj Muhd Kamil Ibrahim.  Buku ini mengajak saya untuk mencontohi beberapa perkara yang telah dilakukan oleh Prof Kamil - berdakwah sambil meneruskan kehidupan dengan cara sendiri. Saya begitu terkesan dengan buku ini dan saya syorkan kepada sesiapa juga untuk membacanya.

Zikir Jogging - badan sihat, rohani terawat -amalanpun dapat!

Salam Cinta Kasih Demi Allah dan Rasulnya.

Dua pagi - Jumaat dan Sabtu, saya bersama isteri - Zira, mengambil masa sekitar 1 jam untuk berjogging di Taman Tasik Darulaman, yang jaraknya tidak sampaipun 2KM dari rumah saya.

Alhamdulillah, sejak Ramadhan yang lepas, inilah kali pertama saya diberi peluang oleh Allah untuk beriadah - bersenam, dan yang paling penting bersama-sama isteri - melakukan aktiviti bersama sentiasa - dapat mengeratkan hubungan - menyemarakkan rasa kasih dan sayang.

Tasik Darulaman
Ramai juga kawan-kawan yang kelihatan bersama keluarga masing-masing,  antaranya tenaga pengajar teater aTmas, Polimas iaitu Cikgu Muazafar Tawang. Tahniah dan syabas kepada semua yang mengambil berat tentang kesihatan fizikal dan kesihatan "hubungan" sesama keluarga. 

Lebih menarik lagi ialah ramai warga emas yang berjogging sambil mulut terkumat-kamit. Bila dihampiri, barulah saya tahu bahawa sebenarnya mereka sedang berzikir sambil berjongging! Hebat amalan itu. Terus sahaja saya "meniru" apa yang dilakukan. Tak salah untuk meniru perkara-perkara ke arah kebaikan. Jom Zikir Jogging - badan sihat, rohani terawat -amalanpun dapat!


Diterangkan di dalam satu hadis Qudsi: ANA MA'A 'ABDII MAA ZAKARANII - ertinya: "Adalah Aku menyertai hambaKu selama ia mengingati Aku."

“Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” – (Surah al-Anam, ayat 160).



Thursday 8 September 2011

Minat untuk menulis?

Pagi semalam saya bersama Tuan Nazran Hamzah  ke syarikat percetakan Asa Mesra di Tanah Merah, Jitra. Tujuan untuk berbincang lanjut tentang buku yang kami hantar untuk dicetak - buku akademik : Undang-Undang Syarikat, untuk kegunaan pelajar-pelajar yang mengambil modul berkenaan di Politeknik. Ia boleh juga digunakan untuk Institusi pengajian yang lain, oleh pelajar mahupun pensyarah. Alhamdulillah, semuanya sudah siap, termasuklah muka depan buku tersebut.  

Semasa saya ke sana, Syarikat Asa Mesra Printer sedang mengulang cetak sebuah buku yang menjadi Best Seller di Malaysia ketika ini. Buku tersebut dijual di pasaran dengan harga RM40.00 senaskah. Cetakkan pertama 1000 naskah telah terjual. Cetakan kedua 1000 naskah lagi masih dalam proses. Kos cetakan sebuah buku sekitar RM10.00. Bermakna RM30.00 adalah untung kasar yang diperolehi darab 2000 naskah bersamaan dengan RM60,000.00! Itu pulangan kerana usaha bakti yang telah dicurahkan oleh penulis tersebut. Tahniah dan selamat maju jaya. 

Penulis itu juga memasarkan sendiri buku terbitannya - tidak menggunakan mana-mana penerbit yang telah ada nama atau tersohor di persada penerbitan buku di Malaysia. Ini suatu usaha yang hebat yang telah dilakukannya. 

Untuk menulis kita perlukan ilmu bantu, sama ada bahan bacaan tambahan, pengalaman, pemerhatian, atau perkongsian ilmu. Saya sertakan link penerbit PTS dan link Jabatan Buku Galeri Ilmu. Anda boleh baca entri yang terdapat dalam kedua - dua blog tersebut untuk santapan motivasi diri sekiranya minat untuk menulis.

Selamatkan diri anda - jaga hak rakan anda!

Salam cinta kasih kerana Allah dan Rasulnya.

Mari kita mulakan hari kita dengan doa mohon keselamatan dunia dan akhirat.

Lebih kurang jam 9.00 malam, saya menerima panggilan dari seorang pelajar perempuan yang tinggal di luar kampus membuat aduan kacauganggu. Sengaja saya letakkan istilah kacauganggu untuk melindungi hak peribadi pihak-pihak yang terlibat.