Thursday 29 September 2011

Rupa-rupanya mereka membawa cerita LINGUAPHONE - belajarlah dari sejarah

Selamat menempuh hari yang hebat kepada semua! Salam cinta kasih kerana Allah dan rasulNya!!


Rindu untuk mengetuk key board ini akhirnya terubat juga. Dua minggu lepas hari-hari terlalu padat. Menguruskan aktiviti, seperti kursus induksi De Palma, dan juga Majlis Konvokesyen POLIMAS, juga kenduri 1 POLIMAS. Alhamdulillah, semuanya berjalan sebagaimana bayangan awal saya. Ini anugerah Allah yang mahal buat hambaNya yang daif ini. Sebuah ketentuan Allah yang mengikut perancanganNya. Allahhuakbar!!

Walaupun tidak dinafikan ada juga berlaku kekurangan di sana-sini yang melambangkan kelemahan kita. Namun ianya tidaklah ketara sehingga mencacatkan majlis. Harapan saya semoga kita semua belajar dari kesilapan yang berlaku. Ia bukan disengajakan dan disebalik apa yang berlaku ada natijah untuk kita jadikan panduan sepanjang jalan hidup kita. 

"Jika buat silap - itu menunjukkan kita buat kerja, kerana orang yang tidak pernah buat silap sebenarnya tidak pernah berbuat apa-apa! Jika kita selalu buat silap itu menunjukkan kita tidak boleh buat kerja!!"


Penghujung petang tadi, saya didatangi oleh beberapa orang pelajar. Katanya ada masalah besar. "Apa masalah mereka ni?" getus hati kecil saya. 

Rupa-rupanya mereka membawa cerita LINGUAPHONE

Memahirkan diri dalam pelbagai bahasa adalah satu anugerah yang maha hebat. Seperti datuk Mahathir Lokman yang mampu menguasai banyak bahasa dan beliau kini berjaya mengendalikan majlis yang disertai oleh ramai rakyat antarabangsa - warga asing dan dibayar dengan bayaran yang tinggi pula! Seperti kita di Malaysia, sentiasa dititik beratkan untuk menguasi bahasa inggeris, sebagai bahasa kedua. Kata mereka menguasai bahasa inggeris membolehkan kita membuat capaian ilmu dengan lebih meluas. Ini benar, pokok pangkal terletak kepada diri sendiri. Jika sudah ada senjata tapi takut untuk ke medan perang tiada gunanya. Menguasai bahasa adalah satu hal, kemahiran menggunakannya dalam komunikasi dan dalam proses menggali khazanah ilmu adalah hal yang berbeza pula.

Kerana ini pelbagai program dirangka oleh kerajaan dan pihak swasta demi untuk memandaikan orang melayu terutamanya dalam bahasa inggeris ini. Pengajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris sebagai contohnya - walaupun ianya telah dimansuhkan beransur-ansur oleh Kementerian Pelajaran, namun bagi saya ia satu kaedah yang cukup berkesan. 

Contoh yang terdekat dengan saya ialah anak-anak saya yang dibesarkan dalam sistem ini, mereka dapat menguasai bahasa inggeris dengan baik walaupun masih di peringkat sekolah menengah rendah. Sebenarnya banyak lagi program yang dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperkayakan penguasaan berbahasa asing ini kepada pelajar-pelajar sekolah. Isteri saya guru bahasa inggeris - apabila melihat beliau menguruskan panatia bahasa inggeris sekolahnya, saya merasakan sebenarnya ia sudah lebih dari cukup untuk menjadikan seorang pelajar diperingkat sekolah menguasai bahasa inggeris itu. 

Sebenarnya sudah lebih dari cukup usaha kerajaan lakukan untuk memandaikan rakyat dalam bahasa inggeris. Apatah lagi di sebuah IPT seperti Politeknik ini. Dengan kemudahan teknologi - makmal bahasa dan sebagainya - pelajar sebenarnya tidak memerlukan bantuan lain lagi jika betul-betul menggunakan kaedah yang digariskan oleh para pensyarah.

Saya tidak nafikan bahawa program linguaphone ini memang terbaik. Ini usaha syarikat perniagaan untuk membantu orang ramai pandai dalam bahasa. Produk ini sudah terkenal di seluruh dunia sejak dulu lagi. Seingat saya dari saya kecil sudah saya dengar nama produk ini. Untuk rekod - saya tidak menggunakan kaedah ini.

Dulu, semasa jabatan HEP - bawah seliaan saya yang menguruskan urusan promosi produk dalam kawasan kampus - sekitar tahun 2004 -2006, saya ada menerima permohonan dari syarikat ini untuk masuk dan mempromosikan produk mereka. Pengarah masa berkenaan luluskan. Mereka bijak  mengatur strategi. Biasanya bila wang pinjaman PTPTN pelajar masuk, masa inilah mereka dan juga syarikat perniagaan lain akan mula mencari ruang untuk menjalankan perniagaan dalam kampus. Pandangan awal kami, selagi tidak bersalahan dengan hukum agama, undang-undang  negara dan selagi membantu perkembangan akademik pelajar, kami akan memberikan kelulusan.

Kemudian kami dikejutkan dengan aduan sekumpulan pelajar :

"Encik, kami tidak diberi kesempatan untuk menghubungi ibu bapa kami untuk meminta kebenaran. Kata jurujual mereka, promosi harga istimewa ini untuk hari ini sahaja"

"Encik, mereka sanggup hantar  kami ke bank untuk ambil duit dan bayar deposit kepada mereka."

"Encik, mak-ayah kami tak benarkan kami beli! Macamana ni encik?"

Isunya adalah kaedah promosi yang terlampau dan mendesak. Pelajar tidak diberi ruang untuk meminta kebenaran waris / penjaga. Malah mereka sanggup untuk membawa pelajar ke bank! 

Lalu saya hubungi jurujual yang bertugas. Berbincang tentang isu ini. Kata mereka "pelajar dah tandatangan borang. Ini sudah dikira satu ikatan kontrak antara pelajar dan syarikat" 

Itu kata mereka, saya semak borang yang pelajar tandatangani - rupanya ada cooling period selama seminggu. Jadi ini peluang saya. Saya menyatakan hal ini kepada mereka bahawa selagi tempoh seminggu belum berakhir pelajar masih boleh memulangkan barangan yang dibeli! Apatah lagi kaedah promosi yang mereka jalankan agak mendesak pelajar. Barangan yang mereka tawarkan adalah terlalu mahal untuk pelajar yang menerima pinjaman PTPTN cuma RM2500.00 bagi satu semester berbanding dengan harga barangan RM2390.00 (ansuran) - deposit RM300.00 dan bayaran bulanan RM110 selama 19 bulan.

Akhirnya mereka bersetuju untuk mengembalikan wang deposit pelajar dan pelajar yang sudah mendapatkan produk mengembalikan produk tersebut. Saya kemudiannya membangkitkan isu ini di dalam mesyuarat dan keputusannya tidak membenarkan syarikat ini memasuki kawasan kampus lagi. 

Permohonan demi permohonan dari syarikat ini masuk tahun demi tahun. Jawapan saya tetap TIDAK. Sehinggalah permohonan untuk menggunakan ruang niaga diletakkan di bawah seliaan koperasi. Pihak koperasi tidak dimaklumkan terlebih awal sejarah yang berlaku antara HEP, pelajar dan syarikat itu. Lalu mereka benarkan syarikat ini masuk. Lalu sejarah lampau berulang kembali. Seramai sembilan orang pelajar  datang membuat aduan kepada Timbalan Pengarah (Akademik) yang akhirnya membawa kes ini ke Tribunal Pengguna setelah perbincangan awal menemui jalan buntu. 

Sejarah adalah medium penting yang kita perlu mengambil ikhtibar darinya. 

Cerita pelajar tersebut adalah sama. Mereka sebenarnya terpengaruh dengan kaedah jualan yang cukup berpengaruh, cukup terkesan secara psikologinya, mampu membuat pelajar yang tiada daya untuk menolak itu terus menunggu dan mendengar penerangan demi penerangan yang akhirnya mendorong mereka untuk membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Pelajar-pelajar ku, sebenarnya sudah cukup peluang untuk pandai dalam bahasa apapun jika anda mahu. Binalah daya untuk menolak, belajarlah untuk berkata tidak dengan senyuman. Sebelum melakukan keputusan besar, rujuklah kepada ibu bapa anda, atau sekurang-kurangnya dapatkan pandangan para penasihat akademik yang sedia ada untuk membantu anda semua.  





No comments:

Post a Comment