Tuesday 6 September 2011

Projek Penulisan

Salam suksess untuk semua!!

Saya ada masa cuma dua bulan lagi untuk menyiapkan 4 buah buku :

1. NLP untuk Pengucapan Awam dan Pembentangan. - Ini adalah sebuah buku idaman saya setelah saya bergiat secara aktif dalam siri ceramah pengucapan awam kepada pekerja sektor kerjaan dan sektor swasta dan juga pelajar institusi pengajian. Uniknya buku ini akan memberi daya yang cukup berbeza kepada sesiapa sahaja yang sememangnya menggunakan teknik ini secara langsung dan tidak langsung dalam kehidupan seharian. Ia akan memberi lebih makna setelah ia diolah dengan konsep Neuro Linguistik Programing - di bawah bimbingan Tuan Fazli Yusof.

2. Kuasa belajar OPTIMUM. - Buku ini mengajak pembaca, sama ada pelajar atau pengajar, juga ibubapa untuk mempaktikkan kemahiran belajar bagi mengoptimunkan potensi diri, dalam masa yang sama mereka dapat menikmati hidup ini dengan penuh warna-warni. Penulisan buku ini banyak dibantu oleh Isteri saya - Zira, seorang guru sekolah. Pengalaman alam persekolahan beliau dan juga sebagai pendidik anak bangsa akan digunakan dalam mengatur pola strategi kejayaan dalam pelajaran.

3. Travelog Huffaz. - Along bermula dari Sekolah Rendah Kebangsaan biasa, bukan sekolah ABIM atau Sekolah Rendah Islam. Memuatkan perkongsian pengalaman dirinya berjaya meraih kejayaan cemerlang UPSR, selain memenangi anugerah Ko Kurikulum peringkat Negeri dan bagaimana dia membuat keputusan sendiri untuk menjadi seorang huffaz. Bagaimana dia mula untuk menghafal ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi pass masuk syurga Allah kelak, bagaimana kehidupan seharian seorang huffaz, apa cabaran-cabaran yang mendepani, juga peristiwa-peristiwa yang signifikan dalam kehidupan seorang huffaz sehingga bergelar Hafizul Quran - mendapat sanat di Tanah suci Mekah. Semua ini dan banyak lagi  disusun dengan bahasa yang mudah khas untuk bacaan semua, terutama ibubapa dan pelajar yang berminat mencari ilmu dalam bidang Tahfiz al Quran ini.

4. Aku Bukan Pengawas 100g. - Sebuah novel remaja , merakamkan debur ombak dunia pelajar sekolah menengah yang termanis buat santapan jiwa khalayak pembaca remaja. Sebuah novel yang sarat dengan unsur motivasi membina sahsiah yang terpuji, diolah dengan bahasa yang cukup bersahaja namun puitis bagi mewujudkan unsur segar dalam novel ini. Ilham novel ini juga diambil dari dua orang anak saya - Nurin dan Nasyuha.  

Saya mulakan sesuatu kerja dengan niat untuk membantu menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat Malaysia dan juga berkongsi kisah yang teradun didalamnya elemen motivasi dengan cara yang cukup santai. Proses penulisan ini juga dimulakan dengan solat hajat kepada Allah swt. Saya doakan kita semua mencapai kejayaan yang kita telah gambarkan secara jelas dalam mimpi kita. Kejayaan yang pasti adalah milik semua orang yang berusaha. Man Jadda wa jada!!

No comments:

Post a Comment