Thursday 22 September 2011

KBO 2 : Meraikan Anak dan Kawan-kawannya - Sabtu 17 September 2011

Hari yang ditunggu oleh Kakak dan Adik akhirnya tiba juga.  Hari dimana kakak dan adik menjemput kawan-kawannya untuk datang ke rumah untuk majlis makan. Barangkali sempena aidilfitri - walaupun saya sering beritahu anak-anak bahawa rumah kita sentiasa terbuka untuk tetamu-tetamu yang ingin mengunjung. Justeru saya dan Zira telah sependapat untuk menyerahkan persiapan majlis kepada mereka berdua. Tujuannya  bagi membolehkan mereka belajar mengurus majlis. Satu nilai tambah yang perlu ada pada diri setiap insan. Walaupun sebenarnya kami membantu pada perkara-perkara yang mereka tidak dapat lakukan dan memberi nasihat terhadap beberapa perkara.


Persiapan bermula  dengan mengemas rumah, mengatur meja, kerusi, memasak makanan tambahan (makanan utama telah saya tempah lebih awal), membacuh air hinggalah kepada menyambut dan melayan kawan-kawan dilakukan oleh mereka berdua. Seramai lebih kurang 30 orang kawan-kawan mereka datang ke majlis ini. Tahniah dan terima kasih kerana majlis berlangsung dengan penuh keceriaan. 

Malam itu saya memanggil mereka untuk mendapatkan maklumbalas, apa yang mereka pelajari sepanjang hari menguruskan segala perkara di atas. Mereka melahirkan rasa puas dan seronok dengan pengalaman menguruskan majlis ini. Paling utama mereka faham bahawa saya meminta mereka menguruskan semua perkara itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Proses ini memebolehkan mereka  mengenali diri sendiri dengan lebih dekat lagi. 

"Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik juga begitu. Adik dan Kakak perlu kenal diri sendiri." Seperti biasa, mereka menjadi pendengar yang cukup berminat pada setiap kali saya adakan sesi sembang-sembang bersama mereka. Sesi sembang santai tapi penuh makna sebagai panduan menggerakkan motivasi belajar mereka.

"Allah anugerahkan kita panca indera. Kita sebenarnya belajar melalui anugerah Allah itu." Mereka semakin teruja untuk mengentahui lebih lanjut. Lalu saya terangkan begini secara ringkasnya.

Kita belajar secara visual apabila kita cuba mengingati sesuatu pelajaran yang pernah kita lalui secara gambaran di dalam minda kita. Lebih banyak belajar melalui penglihatan. Bila bercakap sering saja menggunakan kata-kata "saya lihat..."

Kita belajar secara kinestatik, bila kita lebih mengingati sesuatu pelajaran apabila kita terlibat sama dalam melakukan kerja-kerja sepanjang proses pembelajaran tersebut. Lebih senang untuk belajar dengan melakukan sesuatu perkara itu sendiri. Selalunya berkata "saya pernah laluinya.."

Kita belajar secara audiotori apabila kita kaitkan pelajaran yang kita ingini dengan sesuatu yang kita dengar, contoh saya dengar cikgu pernah berkata bahawa air terdiri dari gabungan gas hidrogen dan oksigen. Golongan ini selesa belajar dengan menggunakan deria pendengaran. Bila bercakap sering saja menggunakan ayat "saya dengar ....."

Sebenarnya tiada satu cara belajarpun yang terbaik atau sebaliknya. Semuanya kalau digunakan dengan optimun akan menghasilkan keputusan yang optimun juga. Apa yang penting adalah kenal diri iaitu cara kita belajar supaya nanti senang untuk kita tingkatkan cara belajar yang lain pula. Kita akan jadi cemerlang bila dapat kuasai kesemua cara belajar itu. Ini  bukan  musatahil untuk dilakukan. Justeru, kita perlu  jadi fleksibel iaitu sesuaikan cara belajar mengikut keadaan tertentu. Ini yang terbaik.

Mereka makin ingin tahu. InsyaAllah selagi saya masih di sisi saya akan terus membantu. Anak-anakku, semua ayah di dunia ini akan senangtiasa ingin melihat anak-anak mereka berjaya dunia akhirat. Untuk berjaya dunia kita perlu ilmu anakku. Untuk berjaya di akhirat juga kita perlukan ilmu. Justeru, untuk berjaya dunia dan akhirat ilmu itu terlalu tinggi martabatnya.

No comments:

Post a Comment