Monday 12 September 2011

ISBN & CIP - keperluan untuk buku dipanggil "BUKU"

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah swt di atas anugerah yang tidak putus-putus dicurahkan kepada saya dan seluruh umatNya yang lain. Terlalu besar ertinya dan terlalu mahal nikmat ini. Nikmat untuk terus hidup dan beramal ibadat kepadaNYa. Itu tugas kita yang hakiki - sebagai hamba yang akur sujud kepadaNya.

Semalam saya tertanya-tanya apa peraturan yang kena saya patuhi untuk menerbitkan buku. Saya membelek-belek beberapa buah buku yang ada dalam simpanan. Saya jumpai dua perkataan ini ISBN dan CIP. Saya mula tercari-cari apa maksud susunan abjab itu.

Itulah, ilmu Allah ada di mana sahaja dan sungguh, Allah itu maha pemurah, saya penuh yakin Dia akan bantu sesiapa sahaja yang ingat padaNya, yang selalu pula menolong orang lain yang memerlukan sesuatu. 

Marilah saya kongsikan kepada sesiapa yang berminat dan berhajat untuk menerbitkan buku maklumat yang dapat ini:-

ISBN ialah singkatan kepada International Standard Book Numbers.

CIP ialah cataloging-in-publication.

Kita perlu dapatkan kedua-dua perkara di atas bagi membolehkan buku kita layak 'dipanggil' buku.
Tujuannya ialah supaya buku kita dapat dikesan dengan mudah. Apatah lagi, jika buku itu masuk ke kedai buku, pekedai akan mengesan buku anda menggunakan nombor ISBN.

ISBN unik. Jika sudah dapat nombor ISBN untuk buku A, tidak boleh lagi digunakan untuk buku B. Untuk buku B, harus mohon ISBN yang baharu.

Cara-cara untuk mendapatkan ISBN boleh juga dibaca di laman permohonan ISBN di Perpustakaan Negara Malaysia.

Bagi yang pertama kali mahu mendapatkan ISBN & CIP, haruslah berdaftar terlebih dahulu. Tak semestinya anda perlu memiliki syarikat penerbitan sendiri (tapi kalau ada lebih baik kerana anda akan dilihat memiliki kredibiliti atau minat jangka panjang dalam bidang penerbitan).

Untuk mendaftar, lengkapkan borang pendaftaran ISBN. (Jika pautan ini tidak berhasil, sila ke laman www.pnm.my dan klik pada butang "Perkhidmatan", kemudian pilih "Penerbit". Nanti akan ada senarai borang yang boleh dimuatturun.

Muat turun juga borang ISBN. (bezakan dengan borang pendaftaran ISBN.) Borang ni harus dilengkapkan setiap kali mahu mendapatkan ISBN bagi setiap buku. Borang pendaftaran ISBN hanya perlu daftar sekali sahaja, kerana PNM akan berikan identiti penerbit.

Apa itu CIP? Boleh baca di laman PNM. Juga dipanggil Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP).

Muat turun juga borang CIP.

Lengkapkan kesemua borang yang disediakan dalam bentuk .pdf ini. (Apabila disediakan dalam bentuk .pdf tentunya anda perlu cetak dan isi secara manual. Setakat ini, PNM boleh menyediakan perkhidmatan mendapatkan ISBN dan CIP secara online.

Borang yang lengkap hendaklah mengandungi :

  1. Borang Pendaftaran ISBN (untuk yang pertama kali memohon ISBN)
  2. Borang ISBN (boleh mohon lebih dari satu buku dengan menggunakan satu borang sahaja)
  3. Borang CIP
  4. Kulit depan buku
  5. Halaman judul (title page)
  6. Halaman kredit (credit page/impression page) - halaman ini biasanya kita letak notis hak cipta, tahun terbitan, dan CIP juga akan dimasukkan di dalam laman ini.
  7. Kandungan buku (table of contents) bagi buku yang ada senarai kandungan.
  8. Perkara-perkara lain yang dirasakan wajar untuk disertakan bersama-sama permohonan. (baca borang berkenaan, arahan ada di dalamnya)
Borang yang lengkap, boleh dihantar secara pos ataupun faks. Bagi yang mahu terus ke sana untuk hantar secara by-hand, lebih baik. Kalau ada kemusykilan, boleh tanya terus kepada pegawai yang berkenaan.
ISBN boleh diberikan dalam tempoh sehari. CIP dalam masa 3 hari.
Selepas dapat ISBN dan CIP, anda masih ada tugas. Setelah buku siap dicetak, 5 naskhah mestilah diserahkan kepada Pusat Bibliografi Negara dalam tempoh 1 bulan dari tarikh buku terbit. Ini mengikut Seksyen 4 (1) Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan pihak penerbit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 (Seksyen 4(3) Akta yang sama).


Alhamdulillah. 
**Kredit to Nisah Haron.

No comments:

Post a Comment