Saturday 3 September 2011

Cuti Raya Dalam Episod Kenduri

Rafiq - pertama dari kanan
Cuti sempena edulfitri tahun ini dipenuhi dengan kenduri-kenduri kahwin, kenduri aqiqah, juga kenduri naik rumah baru. Inilah tradisi meraikan saat yang bermakna dalam kehidupan seseorang, selain dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat kampung. Lebih dari itu, sanak saudara yang jarang bertemu akan bersua muka pada majlis-majlis seperti ini.


Bersama keluarga menghadiri majlis aqiqah anak sepupu di Kg. Parit, Pasir Tumboh. Perjalanan yang biasanya mengambil masa cuma 45 minit dari Machang ini, berlarutan hingga 1 jam 35 minit! Fenomena ini biasa berlaku pada musim cuti perayaan akibat kenderaan yang bersesak di jalanraya. Bagi orang kampung ada yang seronok melihat begitu banyak jenis kenderaan yang tersusun cantik dihadapan rumah masing-masing. Terutamanya kanak-kanak yang dengan girang asyik mengira jumlah kenderaan – belajar kenal jenis kenderaan. Ini lah sikap kanak-kanak yang suka beajar yang tiada pada orang dewasa. Belajar dari apa sahaja perkara yang berlaku dan mempunyai sikap ingin tahu yang cukup tinggi.

Allah Huakbar! Saya sempat berjumpa dengan bapa saudara yang sudah 5 tahun tidak bertemu – Ayah Hassan – fizikalnya cukup lemah, emosinya juga terlalu lemah. Hingga setiap patah bicaranya disulami dengan air mata yang bergenangan di kelopak matanya. Mungkin hiba mengenangkan diri sendiri. Namun dia punya semangat kekentalan diri yang tinggi. Dalam tiada keupayaan itu dia sanggup datang ke majlis ini semata-mata ingin berjumpa sanak saudara. Ini lah “ability to bounce back form defeat” – keupayaan untuk bangkit mengatasi keadaan fizikal diri sendiri! Keupayaan ini perlu ada pada setiap orang. Sesiapa yang tidak mempunyai semangat diri sebegini akan terus tewas dalam kehidupan. Biarlah apa sahaja yang berlaku pada diri sendiri, namun semangat dalaman tetap harus dipertingkatkan – jangan mudah putus asa!

Kenduri naik rumah baru – majlis kesyukuran juga berlangsung di Kg. Kemuning, Machang – rumah sepupu Zira – Adek Pa dan suaminya Farabi. Bergegas pulang dari Pasir Tumboh pada jam 5.30 petang dan tiba di Kemuning pada jam 7.15 minit malam. Juga terpaksa melalui perjalan yang panjang – menyusuri lautan kenderaan yang bergerak perlahan di dada jalanraya.

Membina rumah seperti membina kejayaan. Pola kejayaan hidup seseorang boleh diadaptasikan dengan melihat bagaimana sesebuah rumah bangunkan, Bermula dengan IMPIAN – rumah idaman yang bagaimana yang diingini. Kemudian diperturunkan di atas sekeping kertas yang dinamankan PELAN – satu gambaran yang jelas MEMPERINCIKAN segenap ruang dan bentuk astana impian itu. Setelah itu, mencari kontraktornya – tukang rumah untuk memulakan pembinaan. Membina perlu bermula dengan TAPAK yang kukuh dan kuat – kerana di atasnya akan terdirinya struktur yang lain pula, Jika lemah tapaknya – asasnya mungkin tidak dapat menampung beban struktur rumah itu nanti. Kemudian sebiji demi sebiji bata disusun mengikut perancangan asal hingga terbinanya sebuah astana yang tersergam dengan gah sekali.

Begitu juga dengan kejayaan atau apa saja yang igin kita capai, perlu bermula dengan impian – gambaran mental yang jelas, tepat dan kuat terhadap apa yang ingin dicapai. Kemudian binalah perancangan, atur strategi yang lengkap. Kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran, disiplin dan usaha yang berterusan – istiqamah. Biar berdikit asalkan ada bekasnya. Mulakan sesuatu daripada tidak melakukan apa sahaja.

Kisah Rafiq, misalnya. Rafiq adalah kawan Along. Malam tadi dia bertandang ke rumah dengan kawan-kawannya yang lain. Saya mengambil peluang untuk mengenal beliau dengan lebih dekat, setelah mendapati ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya. Personalitinya dan budi bahasanya yang cukup menghormati orang tua dengan ramah. Berlapang dada dan berhemah tinggi. Itulah sebenarnya tuntutan yang disukai oleh semua orang! Tahniah Rafiq. Ayahnya kini telah punyai empayar Halal Food yang besar – perniagaannya bukan sahaja di Malaysia malah turut berkembang di luar Negara. Apa yang menariknya ialah, perniagaan itu bukanlah diwarisi dari keluarga, tetapi bermula dengan impian untuk menjadi kaya dan berjaya. Mereka berusaha dan pernah suatu ketika jatuh tersunggkur bak kata Rafiq “pernah makan nasi dengan budu saja” demi untuk menggambarkan betapa susahnya mereka ketika itu.

Namun semangat tidak putus asa yang kuat dalam diri mereka – mereka terus bagkit berjuang di medan perniagaan – ini kekuatan spiritual, mental dan juga fizikal yang digembleng dengan strategi untuk menguat semula tapak dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan. Akhirnya dalam susah membangunkan empayar perniagaan itu , mereka kini mampu tersenyum melihat astana pernigaan mereka yang tersergam indah! Alhamdulillah wasyukurillah.

Esok dua kenduri kahwin - kedua-duanya sepupu ma dan abah, kedua-duanya berlangsung dalam kampung yag sama. Jom meriahkan suasana!



No comments:

Post a Comment