Wednesday 14 September 2011

Kejayaan Warisan?

Kerana merindui Nya kita wajib berjumpa denganNya lima kali sehari, alangkah indahnya pada setiap pertemuan itu berlangsung di rumahNya. 

Sepanjang jalan hari ini menguat rasa saya untuk berkongsi kisah : adakah kejayaan adalah warisan?  Dengan izin, saya coretkan kisah benar yang berlaku di sekeliling saya sahaja.  Saya tidak mahu mengambil contoh orang jauh yang saya tidak kenal. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu saya terpaksa merahsiakan nama mereka demi melindungi hak-hak mereka.


Mohd Takiyuddin Sohaimi - warisan perniagaan kontraktor telekomunikasi daripada syarikat ayahnya. Dia meneruskan kejayaan dengan usaha yang gigih, dilatih untuk bermula dari bawah, diajar berurusan walau dengan bukan kumpulan seperingkat dengannya. Jati diri yang kuat adalah asuhan keluarga dari awal mula. Sangat menghormati orang tua dan punyai personaliti yang baik. Semasa pengajian di politeknik, beliau sangat aktif  berpesatuan, pernah menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan juga  pembantu jurulatih persatuan Seni Silat Gayung Polimas. Sehingga sekarang beliau sanggup hadir membantu JPP bila diperlukan dan sangat dihormati oleh kepimpinan JPP keseluruhannya. Kejayaan baginya adalah hasil usaha sendiri tanpa kenal erti putus asa. Tapak yang di sediakan oleh keluarganya adalah permulaan untuk cetusan kejayaan yang gemilang pada masa hadapan. Selamat maju jaya.  

Mohammad Khairul Amir Jaafar - meneruskan legasi perniagaan percetakan daripada ayahnya. Beliau juga  diajar untuk berdikari menguruskan perniagaan. Bergerak sendiri dan  berusaha secara berterusan mencari ruang dan peluang tanpa penat dan jemu. Mempunyai  semangat juang yang tinggi juga sentiasa mencari ilmu bantu bagi memperkembangkan lagi perniagaan. Cukup berani mengambil risiko pelaburan yang besar dengan membawa masuk peralatan / mesin cetak yang tidak ramai syarikat percetakan memilikinya. Beliau juga berjaya menamatkan pengajian di politeknik dengan jayanya. Semoga sinar kejayaan sentiasa mengirigi sepanjang jalan kehidupan anda.

Saudara X - ayahnya memiliki perniagaan  memborong dan juga runcit dengan pelbagai produk. Perniagaan bumiputra yang berjaya hasil usaha terancang ini menjelmakan kekayaan dan kejayaan milik keluarganya. Limpahan kemewahan ini kalau bukan kepada anak harus pergi kepada siapa bukan? Justeru kesempatan yang ada, anak diberi segala keperluan hingga tidak menamatkan pengajian di politeknik ini. Pernah berikan peluang memulakan pernigaan sendiri - walau tidak berminat - beliu lebih berminat kepada hidup gaya mewah, memiliki kereta mewah dan suka bersiar-siar @ berfoya-foya. Akhirnya kerana SIKAP itu, walau sebanyak mana dan berapa banyak sokongan modal dan peluang yang dihidangkan oleh keluarganya pun, dia tidak mampu meneruskan agenda perniagaan yang penuh persaingan itu kalaupun tidak terus tersunggkur.  Semoga suatu hari nanti kesedaran akan hadir dalam dirinya dan mampu meneruskan perjuangan perniagaan warisan - mengubah sikap diri sendiri dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Saudara Y - Juga bekas pelajar Politeknik ini, meneruskan perniagaan turun temurun. Menurut beliau, generasi datuknya dulu hanya memulakan perniagaan membaiki  basikal yang kecil di pekan Jitra. Kemudian  ayahnya pula mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka kedai menjual basikal di lokasi yang sama dengan menyewa satu unit bagunan rumah kedai. Kini perniagaan tersebut terus dikembang majukan lagi oleh saudara Y ini. Beliau mendapat lesen/hak ekslusif untuk mengedar / menjual basikal dan peralatan  basikal berjenama berserta dengan kelengkapannya yang lain.  Geraf kemajuan yang semakin meningkat generasi demi generasi. Kejayaan bukan sahaja diwariskan, malah  mampu diperkembangkan dengan lebih hebat beserta dengan idea-idea yang lebih hebat oleh generasi demi generasi. 

Semoga kisah ini memberi manfaat dan pengajaran kepada kita bersama. Kejayaan adalah milik orang-orang yang ingin berjaya. Ia bukan diwarisi walaupun jika diwarisi ianya cukup membantu, tetapi sekiranya pewaris mengambil sikap bermalas-malasan padah bakal mengundang yang akhirnya akan menamatkan khazanah warisan ditangannya.  Renung-renungkan.Salam suksess!! 

No comments:

Post a Comment