Thursday 22 September 2011

Kuliah Ustaz Azhar Idrus : Masjid Al Bukhari Alor Setar 16 September 2011

Hari Jumaat yang indah. Selamat hari Malaysia

Jam 7.00 malam bergegas ke Masjid al Bukhari Alor Setar. Dalam Perjalanan, singgah sekejap di Anak Bukit untuk mengambil Fitrah. Dia juga ingin bersama saya ke masjid itu, kerana malam ini ada kuliah bersama al fadhil Ustaz Azhar Idrus - seorang ustaz yang begitu popular di Malaysia sekarang ini. Popularitinya begitu memuncak setelah banyak klip video kuliahnya dimuatnaik samada dalam Facebook mahupun juga ke dalam Youtube . Teknologi internet yang memudahkan capaian dan terbuka luas kepada seluruh manausia di dunia ini amat membantu beliau untuk terus muncul sebagai salah seorang ustaz yang digemari oleh ramai umat Islam. Ramai yang sudah menggunakan strategi ini untuk membawa mesej dan dikenali ramai dengan begitu cepat, seperti Cikgu Shida dengan lagu-lagu dan imej humor yang dibawanya dan juga Namewee dengan video provokatif yang hebat diperdebatkan. 

Sesampainya di Masjid, jemaah sudah terlalu ramai. Anggaran saya lebih daripada 1000 orang. Subhanallah. Biarlah, berapa ramaipun, tidak mengapa, sepatutnya lagi ramai, kerana ini majlis ilmu! Usai solat Maghrib, semua jemaah turun ke dewan kuliah di tingkat bawah ruangan solat.  Ustaz Azhar memulakan kuliah - seperti sebelum ini dan seperti yang kerap kita tonton samada dalam blog beliau ataupun dalam FB ataupun melalui Youtube - beliau menggunakan bahasa Terengganu yang pekat namun mudah difahami oleh orang-orang Kedah - buktinya mereka penuh kusyuk mendengar dan tergelak bila hati mereka digeletek dengan patah bicara Ustaz Azhar yang melucukan. saya tidak bercadang mengulas intipati ceramah beliau. Kerana semua itu senang diperolehi melalui laman-laman maya yang saya sebutkan tadi.

Jadi yang saya ingin kongsikan adalah rakaman peristiwa majlis itu untuk teladan bersama.



Buku ini diterbitkan oleh PTS Islamika. Ramai yang beranggapan Uztaz Azhar yang menulis buku ini. Bukan, ia disusun oleh orang lain, hasil dari soalan-soalan yang diajukan oleh orang ramai untuk dijawab oleh Ustaz.  Namun itu bukan persoalannya. Buku ini dijual di bahagian hadapan dewan kuliah di mana berlangsungnya kuliah Ustaz pada malam tersebut. Wah, jualannya mendapat sambutan yang luar biasa. Saya turut sama membelinya setelah mendapati isinya cukup signifikan dengan persoalan agama dengan cara yang lebih santai. Harganya cuma RM15.00 - silalah dapatkan satu naskah sebagai penambah ilmu diri sendiri. 

Tahniah kepada Ustaz , PTS dan penyusunnya. Penyusunnya dengan penuh bijaksana mengumpulkan maklumat dari pelbagai sumber, samada koleksi video dan juga laman maya untuk menjadikannya satu khazanah ilmu yang beharga. Apatah lagi nama Ustaz yang telah dikenali ramai menjadikan buku ini meletup di pasaran.  Siapa lagi di Malaysia ini yang dikenali ramai dan belum ada buku diterbitkan? Ayuh hubungi beliau dan berbincang untuik menjadi penyusun koleksi ilmu walau dalam genre apapun, untuk dikogsi dengan masyarakat secara lebih meluas lagi.  

Alhamdulillah, ramai yang hadir ke masjid membawa bersama keluarga mereka, suami, isteri dan anak-anak. Anak-anak kecil seawal usia enam hingga sembilan tahun - barangkali, terlalu ramai. Mereka berkejaran ke sana dan ke mari. Mereka menjerit sesuka hati. Mereka memanjat anak tangga masjid yang tinggi itu dan berlari turun. Subhanallah, salah seorang dari mereka terhumbang ke bawah. Muka berdarah, luka di dahi. Seorang kakak yang prihatin, dengan segera membawa anak kecil itu keluar dari masjid. 

Nah, tuan-puan, tidak salah untuk membawa anak-anak ke rumah Allah. Itu tarbiyah sedari usia muda mereka. Sayapun begitu. Tetapi pesanan awal wajar diutamakan agar anak menjaga adab di Masjid, musibahpun tidak berlaku, jemaahpun tidak terganggu.

Wah, jurufotopun tidak kurang ramainya dalam majlis ilmu ini. Semuanya dengan kamera DSLR yang berjenama. Masing-masing mencari sudut yang terbaik untuk merakam gambar ustaz yang popular ini. Ada yang melangkah jemaah yang bersila dan kusyuk mendengar kuliah, tanpa meminta izinpun. Sehinggakan tanpa mereka sedar, mereka sebenarnya hampir memijak buku nota jemaah dan melangkah naskah al Quran dipangkuan jemaah yang lain pula! Beginilah tuan-puan bila hasrat diutamakan, kaedah dibelakangi, walaupun dalam islam niat tidak pernah menghalalkan cara!!

Sekadar rakaman saya untuk sepanjang jalan.



No comments:

Post a Comment