Thursday 8 September 2011

Selamatkan diri anda - jaga hak rakan anda!

Salam cinta kasih kerana Allah dan Rasulnya.

Mari kita mulakan hari kita dengan doa mohon keselamatan dunia dan akhirat.

Lebih kurang jam 9.00 malam, saya menerima panggilan dari seorang pelajar perempuan yang tinggal di luar kampus membuat aduan kacauganggu. Sengaja saya letakkan istilah kacauganggu untuk melindungi hak peribadi pihak-pihak yang terlibat.


Wah, bunyinya macamlah kita sudah tidak selamat, sehingga perlu diberi arahan untuk selamatkan diri sendiri. Alhamdulillah, hidup kita di bumi Malaysia ini, masih aman sentosa, jika hendak kita bandingkan dengan negara-negara lain  yang bergolak sentiasa. Ada rusuhan, pemberontakan, perang, kelaparan dan segala macam masalah lain lagi yang menyebabkan ketenteraman rakyatnya terganggu.

Kita juga tidak perlu membohongi diri sendiri terhadap kadar keselamatan di negara kita ini - buka akhbar hari ini, baca ruangan jenayah, ada saja perkara yang dilaporkan - bunuh, bakar, rogol, samun, rompak - sehinggakan ia dizahirkan melalui filem - KL Gengster! Seperti barah yang tidak nampak secara zahirnya, tetapi membunuh dalam diam - silent killer!. 

Saya ingin berkongsi satu skrip penyelesaian masalah klasik yang sering digunapakai oleh fasilitator bagi megendalikan Latihan Dalam Kumpulan, saya ringkaskan begini - "Bayangkan, anda bersama dengan ibu, bapa, abang dan adik anda berada dalam sebuah perahu, sedang berlayar ditengah lautan yang dalam. Tiba-tiba angin kencang bertiup dan ombak ganas memukul perahu anda, semuanya tercampak ke dada laut, siapa yang anda ingin selamatkan ?"

Lalu, jawapan bagi skrip itu, selalunya dimanipulasikan dengan cara berbeza oleh fasilitator - tetapi fikirkan, adakah anda fikir anda boleh selamatkan orang lain dalam situasi tersebut? Anda pasti dengan keselamatan diri anda? 

Sekiranya semua orang sentiasa menjaga keselamatan diri dan menjaga hak orang lain, maka akan wujud masyarakat yang aman sentosa. 

Pelajar yang tinggal di luar kampus/asrama sememangnya terdedah kepada isu-isu keselamatan. Lebih-lebih lagi kepada pelajar perempuan. Di sini pernah berlaku kes pecah rumah, samun dan juga kecurian - bilangannya tidaklah membimbangkan - namun ianya tetap ada.  Kita sentiasa memberi peringatan kepada pelajar agar sentiasa meningkatkan keselamatan fizikal, pastikan rumah sewa berpagar dan sentiasa berkunci, jika ada kenderaan, gunakan kunci tambahan, pasangkan selak dari dalam rumah dan setiap bilik. 

Kita juga sering saja melakukan ziarah ke rumah-rumah pelajar untuk bertanya khabar dan menyampaikan pesanan agar semua pelajar jaga keselamatan dan  jaga hak orang lain. Mereka tentunya ada jiran - jaga hak jiran, usahlah buat bising sampai mengganggu ketenteraman, hormatilah mereka, berbual mesra - insyaAllah jika berlaku sesuatu, mereka dengan senang hati akan membantu. 

Kita juga sering melibatkan pelajar dengan program kemasyarakatan seperti gotong royong untuk mendekatkan pelajar kepada masyarakat. Syarat hidup bermasyarakat ialah perlu wujud hubungan yang baik - ini juga tuntutan agama - hablumminannas-hablumminallah. 

Kita juga berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kerajaan yang lain untuk menganjurkan program keselamatan - contoh dengan wujudnya Balai Polis Komuniti di Taman Mahsuri, Jitra, ia membantu usaha kami mempertingkatkan kempen keselamatan kepada penduduk amnya dan kepada pelajar khususnya. Hubungi terus PDRM - mereka sentiasa akan membantu dalam soal keselamatan ini dan itu adalah tanggungjawab kita bersama.

Untuk menjaga keselamatan kita perlu ada pengawal keselamatan. Pengawal keselamatan yang paling utama untuk diri kita adalah diri sendiri! Kawal diri sendiri - guna akal anugerah Allah ini sebijaknya - jaga diri , hiasi peribadi, akhlak terpuji, hidup diberkati

Pesan saya kepada pelajar "Untuk tidak diganggu, janganlah ganggu mereka"  Itulah, kadangkala kita memikirkan kita diganggu, tetapi sebenarnya kita membuka ruang kepada orang lain untuk menganggu kita. Contoh, jika berada di dalam rumah - tutuplah pintu baik-baik, kalau pintu terbuka luas anda pula pakai pakaian yang menjolok mata, ini akan mengundang fitnah dan menjemput padah pula akhirnya!

Kepada pelaku atau peganggu - mungkin apa yang berlaku memberi pengajaran yang cukup bermakna untuk terus mengemudi arus dalam hidup bermasyarakat.

Terima kasih kepada En. Saidon Saim @ Wak yang menemani dan membantu saya malam tadi, Mej. Abd. Rahman dan anak-anak yang menyelesaikan kes ini pada peringkat awlanya, PDRM yang datang membantu, penduduk yang prihatin dan pelajar yang sering menjaga hak rakan yang lain. 

Sebelum sampai ke rumah, Wak menjemput saya singgah ke rumah barunya walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam lebih. Sempat lagi dia menyediakan minuman dan sepinggan mee goreng untuk kami berdua. Jazakallahu Khairan Kathira.

No comments:

Post a Comment