Wednesday 7 September 2011

Mahu Turunkan Berat Badan? - Edisi Sihat dan Cergas

Salam sukses untuk semua!


Empat bulan lepas saya memakai seluar bersaiz 35 dan saiz baju saya adalah XL. Perut saya -tanpa segan - boroi.  Kini beberapa orang rakan yang prihatin menegur "Kenapa kurus? Kencing manis ke?" saya cuma tersenyum dan saya ingin berkongsi apa yang berlaku pada saya dengan sesiapa saja - ini bukan rahsia untuk menurunkan berat badan dan menjadi sihat cerdas, bukan juga iklan promosi ubat kurus!! 


Saya  cukup berselera makan. Saya bersarapan dengan nasi berlauk seawal jam 09.00 pagi, di warung yang sama pada setiap hari - menu kedai itu menjadi kegemaran saya - ikan keli gulai kari.  Keenakan rasa daging ikan tersebut yang begitu lembut diadun dengan kari santan menjadikan aromanya turut membuka selera saya dan kawan-kawan yang merupakan pelanggan tetap warung itu. 

Tengahhari saya makan nasi - biasanya saya akan beli nasi bungkus untuk dua orang puteri saya yang bersekolah petang dan kami makan di rumah. Lauk pilihan mengikut citarasa pada hari berkenaan. Kadang kala ayam goreng, sotong atau udang ataupun ikan. Menu kegemaran anak-anak adalah ayam masak merah. Kawasan strategik untuk saya dapatkan bekalan dengan pelbagai pilihan adalah di gerai makanan yang berderetan sepanjang Taman Siswa UUM, Tanah Merah.  

Malam saya makan lagi - isteri saya masak. Selalunya hidangan nasi lagi dengan beberapa jenis lauk. Kami enjoy makan! 

Itu belum lagi dikira masa-masa tertentu bila ada teman ajak keluar minum -  keluar saja ke kedai makan, tidak cukup dengan minum - mesti makan, paling kurang roti canai, kalaupun bukan mee goreng di Restoran Razak - Taman Sri Aman.

Hari-hari begitu. Tanpa saya sedar berat badan saya sudah mencecah 84kg. Saya rasa saya sihat. Saya tidak sakit apa-apa. Cuma kadang kala aktiviti saya terbatas apabila saya cepat penat. 

Sehinggalah pada suatu hari dalam bulan Jun 2011, saya diundang untuk mengendalikan sesi LDK dan Teknik Pengucapan Awam Berkesan kepada pekerja baru Kementerian Pengajian Tinggi, bertempat Di New York Hotel, Johor Bharu. Ketika itu saya berada dalam lif untuk turun ke bawah, untuk makan. Bersama saya dalam lif tersebut adalah seorang berbangsa cina - sederhana tinggi, tetapi mempunyai bentuk tubuh yang cukup mantap. 

Tanpa segan saya menyapa " Badan tuan nampak gagah, angkat besi ka?"  Berani saya menegurnya terus dengan soalan sebegitu, setelah raut wajahnya nampak mesra dan menyakini bahawa dia pasti mudah untuk diajak berbual.

"Oh, tidaklah, saya bersenam secara tetap. Saya adalah Sport Council di Singapura" Balasnya.

"Wah, bukan senang nah jumpa orang-orang hebat seperti ni" Getus hati saya. "Tuan, boleh kongsi macamana nak jadi macam tuan? Sekurang-kurangnya saya jadi cergas, tidak cepat penat dan yang paling penting perut saya ni" Balas saya sambil menunjukan ke arah perut yang membukit. 

Dia tergelak kecil. Dengan raut wajah yang begitu menyakinkan dia mula bercerita. Intipatinya adalah :

1. Lakukan senaman setiap hari! - Indahnya kita orang islam yang sudah tentu menunaikan solat 5 kali sehari, itupun sudah di kira bersenam! 

2. Makan nasi secawan sekali sahaja sehari! Ingat makan untuk sihat bukan untuk kenyang sehingga kesihatan terancam! 

3. Pilih makanan berkasiat sahaja - terutama sayur dan buah, elakkan makan daging merah seperti daging lembu, kurangkan pegambilan makanan laut!

4. Jangan makan ubat kurus - banyak kandungan yang kita tidak tahu dan boleh menyebabkan penyakit sampingan - lebih baik kurus secara semula jadi!

Semua orang tahu perkara tersebut bukan? Kenapa tak buat? Kita mampu mencipta alasan yang berbagai, jadi bolehkan kita turunkan berat badan kita dengan sekadar mencipta alasan untuk tidak mempraktikkannya? 

Ini adalah bonus untuk saya - untuk kempiskan perut. Caranya cukup mudah. Tidak perlu buat senaman sit - up pun kata rakan saya -  Singapore Sport Council tadi! Jadi bagaimana caranya? 

Namanya adalah senaman perut. Kempiskan perut pada setiap masa - maksudnya tarik perut ke dalam menggunakan otot perut - pada setiap waktu. Waktu anda duduk di kerusi - rumah atau tempat kerja, berdiri atau berjalan, mahupun waktu berbaring. Tidak susahkan? Tidak sakit pun. Sebenarnya dengan cara tersebut telah berlaku proses pembakaran lemak pada bahagian perut. 

Saya tidak perlukan masa yang lama untuk mendapatkan keputusan yang bagi saya cukup cemerlang kerana saya TERUS BERTINDAK!  Melakukan semuanya secara tetap. Walaupun saya senaraikan cuma empat perkara, campur dengan satu bonus itu sahaja, namum begitu, pengalaman dan kaedah mempraktikkannya memberikan saya pengajaran yang baik untuk muhasabah diri ke arah lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih boleh menyumbang ke arah perkongsian perkara-perkara kebaikan dengan semua orang. Kerana itu juga memungkinkan blog ini bermula.

Kini saya sihat dan cergas. Saya sudah tidak cepat penat. Pergerakan saya tidak lagi terbatas. Saiz seluar? Ya, benar kerana perut saya sudah "slim" - kini saya kena cari seluar lama untuk dipakai semula, yang bersaiz 32! Berat badan saya berkurangan 16kg dalam masa cuma 3 bulan! Jadi tunggu apa lagi, mulakan tindakan anda sekarang!! Ingat tiada siapapun yang dapat bantu anda kecuali diri anda sendiri! Cepat tindakan anda, cepatlah juga keputusannya!! Begitupun juga dalam urusan mengejar impian kita - harus segera bertindak. Inilah the power of action! 



No comments:

Post a Comment