Thursday 15 September 2011

KBO 1 : Kuliah Untuk Adik dan Kakak - Kurangkan Muka Buku - Lebihkan Isi Buku!

Rutin harian diteruskan. Bezanya mereka berdua bersekolah petang, tetapi hari ini saya menghantar mereka ke sekolah sebelah pagi. Katanya ada jamuan hari raya di sekolah mereka. 

"Tugas ayah sebagai pemandu. Bukan sahaja memandu kenderaan ini, tapi lebih dari itu, ayah perlu memandu ke laluan hidup yang cemerlang buat adik dan kakak. Sebab itu ayah sangat mengambil berat mengenai apa sahaja yang adik dan kakak lakukan. Allah yang berikan lesen ini untuk ayah"

Mereka diam. Dua hari lepas dalam perjalanan pulang dari sekolah, saya telah meminta mereka agar kurangkan aktiviti yang tidak membina. Kurangkan menonton telivisyen. Kurangkan berhadapan dengan muka buku! Perlu lebihkan isi buku!! Itu peraturan pertama.  Sekurang-kurangnya sehingga tamat peperiksaan akhir tahun. Bukan menghalang mereka dengan dunia siber. Saya juga menyakini pesan Imam As Syafie "Didiklah anakmu dengan masa depannya".

Malam tadi adik dan kakak bersua lagi rupanya dengan muka buku. Bila ditanya, katanya " lupa ". 

"Namun peraturan tetap peraturan bukan?" Langgar peraturan pasti ada hukuman. Saya sepakat dengan isteri, Zira, hukumannya adik dan kakak tak dapat outing petang nanti. Ini sekadar pengajaran kepada mereka berdua. Perjalanan mereka masih jauh dan perlu dibimbing sewajarnya. Saya selalu katakan kepada mereka. "Ayah benarkan adik dan kakak buat silap. Tetapi cepat-cepat betulkan kesilapan jika sudah sedar kesilapan itu dan tidak boleh ulanginya lagi" Mereka tidak akan dapat belajar apa-apa jika tidak pernah buat silap.

Saya tidak pernah salahkan mereka kerana lupa. Sudah menjadi fitrah sebagai kanak-kanak begitu. Lupa atau buat-buat lupa. Sebagai bapa, memang tugas saya untuk sentiasa ingatkan mereka tentang semua perkara. Biar seribu kalipun saya perlu untuk mengulangi perkara yang sama, tetap saya akan lakukan. 

Peraturan kedua adalah tingkatkan aktiviti membina. Saya tegaskan solat paling utama. Utamakan untuk solat di awal waktu. Kerana solat adalah amalan utama. Elok solat, barulah amalan lain akan dihitung! Ini satu latihan yang berpanjangan untuk mereka. Harapan kami agar nanti ia menjadi satu amalan kekal setiap hari sepanjang jalan hidup mereka. 

Allah bersumpah dengan masa dalam surah al Asr. Sedetik masa yang berlalu, tidak akan datang kembali. Itu janji Allah. Kita hidup dalam putaran masa yang ganas dan semakin lama semakin ganas. Sesiapa yang mengabaikan masa, pasti akan turut hanyut dalam putaran ini. Segala macam rencam kehidupan teradun di dalamnya. Sangat perlu untuk kita merancang perjalanan hidup kita, agar kita tidak terkejar-kejar atau tergopoh gapah mengejar sesuatu. Oleh itu hargailah masa anak-anak ku. 

"Setiap orang mampu belajar lebih cemerlang lagi sekiranya tahu kaedah atau cara untuk meningkatkan proses belajar. Seperti juga awal mula ayah belajar memandu kereta ini. Dulu mula-mula belajar, ayah tidak berani hendak pandu kereta jauh-jauh. Lesen belum ada dan belum cekap. Kalau teruskan juga bimbang kena saman atau mungkin terlanggar atau dilanggar kereta pemandu lain!"  Mereka berdua tekun mendengar kuliah saya, sepanjang perjalanan menuju ke sekolahnya. 

"Tapi, bila sudah cekap, sudah dapat lesen, ayah boleh bawa lebih jauh daripada sebelumnya. malah lebih laju lagi!" Saya lihat mereka tersenyum mendengar penerangan saya itu. 

"Proses belajar seperti juga proses memandu. Ia perlu kepada lesen. Sebelum mendapat lesen perlu masuk kelas dan belajar untuk memandu. Jadi, untuk cemerlang dalam pelajaran perlu belajar untuk belajar." Mereka sedikit terkeliru.  Saya tegaskan maksud saya kepada mereka ialah perlu menguasi teknik atau kemahiran belajar yang betul. 

Janji saya kepada mereka, saya akan ajar mereka untuk belajar dengan cara saya. Sebagai panduan untuk mereka optimunkan potensi diri mereka. Bukan sahaja dalam pelajaran malah juga dalam kehidupan.


No comments:

Post a Comment