Tuesday 4 October 2011

KBO 8 : Lafazlah ALHAMDULILLAH dengan hati penuh sedar

"Bos, nak seribu daya bos! Saya dari dulu tak suka sangat beri alasan yang menyalahkan orang lain!" Itu adalah respon pertama saya bila mantan bos saya mengatakan bahawa SESEORANG itu bolehlah pergi menunaikan haji sebab dia ada "cable" yang besar dan punyai pendapatan  yang lumayan pula.

"Itu rezeki dia bos. Rezeki kita, kita yang kena usahakan." Tambah saya lagi. "Rezeki itu hak Allah. Allah dah suratkan dia perolehi hak dia begitu."

Sang mantan masih berkeras. "Selepas saya baca bukunya, saya mula terfikir, kalau orang biasa macam kita macamana nak pergi haji macam dia. Tengok apa yang dia buat. Dia tulis surat kepada menteri, minta 6 orang untuk pergi Mekah, walaupun hanya empat orang yang dapat. Lepas tu, dia dapat lebih 80 ribu ringgit, sebagai bayaran tunggakkan gajinya." Tokok Sang mantan.


"Tapi itu semua sebagai bayaran kepada usaha yang telah dilakukan olehnya. Dia berhak terhadap semua itu. Semuanya dengan izin Allah bos. Saya kagum dengan usahanya - bersungguh-sungguh belajar Quran di usia 41 tahun, bermunajat hampir setiap hari mohon Allah jemput untuk bertamu di tanah Haram" Komen terakhir saya, sebelum saya keluar dari biliknya dan menuju ke bilik saya.

Mekah, tanah Haram berada dalam lindungan Allah. Menjadi tetamuNya adalah nikmat paling agung dalam hidup ini. Saya sendiri masih belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah Haram. Tetapi strategi Prof. Kamil ini sudah mula saya teladani dan contohi, terutama bila memahami bahawa hanya jemputan Allah akan bertamu ke rumahNya. Terima kasih kepada Prof. Kamil kerana memberi inspirasi haji yang cukup hebat melalui bukunya. Setiap detik, rasa rindu untuk berkunjung ke Kaabah semakin bertambah. 

Mohonlah kepada menteri manapun, tanpa keizinan Allah, sesiapapun tidak akan bertamu ke rumahNya. Kerana itu yang paling utama mohonlah pada Allah.  Barangkali kalau bukan kerana wang tunggakkan RM80 ribu itupun Prof kamil akan sambil ke Mekah, jika Allah mahukan. Gajinya sahaja mencecah RM15 ribu sebulan, sebenarnya dia tidak perlu tunggu tunggakkan gaji itu untuk menunaikan haji.

Bagaimana pula kita? Bersyukurlah jika masih dikurniakan Allah dengan nikmat rezeki yang tidak putus-putus.    Lafazlah ALHAMDULILLAH dengan hati penuh sedar bahawa segalanya dari Allah. Saya sendiri misalnya, tidak perlu bergantung kepada gaji bulanan untuk menunaikan haji. Cukup dengan bayaran saguhati ceramah yang saya hadiri saban bulan. Cukup sebenarnya, cuma menunggu giliran dengan IzinAllah. Bersyukurlah nescaya Allah akan menambahkan lagi rezeki dan keberkatan rezeki kita itu. 

Seperti kata sahabat saya, merungut tidak pernah menyelesaikan apa-apa masalah, malah menambah koleksi masalah yang ada. Berhenti merungut dan disiplinkan diri, istiqamah dengan niat dan simpanan untuk menuju nikmat haji dengan keizinanNya jua.

Ibu mertua saya, anak-anak saya gelarkannya Tok Ma, punya cara menyimpan untuk masa depan yang cukup menerujakan. Bukan soal mampu atau tidak sebenarnya untuk menabung hanya RM85.00 sebulan untuk seorang anak. Tok Ma simpan wang hasil getah sebanyak itu dalam akaun Tabung Haji anak-anak. Bermula dengan umur anaknya satu tahun lagi. Setahun jumlah simpanan mencecah RM1020.00. Bila anak berusia 18 tahun, wang simpanan Tabung Haji sudah berjumlah RM18,360.00. Sudah lebih dari cukup untuk menunaikan haji. Sudah lebih dari cukup untuk persediaan memulakan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. 

Ini corak simpanan yang Tok Ma rangkakan untuk masa depan anak-anaknya. Saya belajar dari Tok Ma dan mula menyimpan untuk anak-anak setelah saya mula mengetahui strategi ini. Kita sebenarnya mampu lakukan tanpa memberi pelbagai alasan yang mempersendakan orang lain. Bak kata guru saya "Orang yang  berjaya sentiasa mencipta peluang" kerana alasan hanya ciptaan orang-orang yang sebenarnya tidak yakin terhadap potensi diri sendiri. 






No comments:

Post a Comment