Wednesday 5 October 2011

KBO 9 : Solat - Menghargai Jawapan Yang Jujur

"Adik dah sembahyang asar?" Saya mengajukan soalan, sebaik sahaja kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Ketika itu jam sudah melebihi 6.30 petang. Waktu rutin saya menjemput dua orang puteri saya pulang dari sekolah. Sebenarnya saya hanya menduga. Bak kata arwah ayah saya, "Banyak tanya anak-anak ni tidak mengapa. Ini tandanya kita ambil berat dan merekapun akan lebih beringat untuk hari-hari esok."


"Belum" jawab Nurin pendek, antara dengar dan tidak. 

Saya hormati jawapannya. Setidak-tidaknya dia jujur. Sedar dan mengaku salah adalah langkah pertama untuk berubah. Lebih tragis, jika kita tidak tahu salah kita, dan lagi teruk jika tahu tetapi tidak mahu untuk mengaku. Membina sikap jujur anak-anak perlukan usaha berpanjangan daripada kedua ibu bapa. Paling penting ibu bapa perlu juga kelihatan jujur di mata mereka. Kita juga sepatutnya menghargai jawapan jujur dengan sesuatu pujian yang tidak melampau. Ini akan mendorong anak untuk tidak berbohong di hari muka. Sebaik mungkin cuba elakkan dendaan secara fizikal, kerana dendaan fizikal akan membuatkan anak-anak untuk menipu bagi mengelak di denda. 

"Kenapa?" tingkah saya bersahaja, kerana saya percaya setiap perkara mesti ada sebabnya.  Mereka perlu difahami terlebih dahulu sebelum mereka memahami kita. Sangat tidak adil untuk meminta mereka memahami kita sedangkan kita abaikan jiwa rasa mereka.

"Adik tak sempat tadi. Orang ramai sangat. Lepas sukan adik dah pergi ke surau. Semua berebut-rebut nak ambil wuduk. Dalam suraupun dah sesak. Kalau adik tunggu pukul 6.30 belum tentu dapat solat." Jelas Nurin, seolah meminta saya memahami keadaanya.

"Adik, esok pastikan adik solat di surau sekolah. Usahalah untuk pergi awal. Kawan-kawan adik yang lainpun boleh lakukannya. Kalau kita nak lakukannya, pasti kita ikhtiar sedaya upaya untuk menunaikannya. Allah suka orang yang berusaha untuk mendekatiNya. Tak baik Dik solat dihujung waktu. Makruh hukumnya. Atau Adik nak ayah beritahu Tok Mid?" Nasihat bercampur dengan sedikit amaran tapi tiada nada amarah!

Demi mendengar nama Tok Mid, senyuman terus terukir pada wajahnya. Tok Mid adalah ustaz di Sekolah tempat mereka belajar. Ustaz Hamid namanya, namun lebih popular sebagai Tok Mid di kalangan pelajar. Menariknya tentang Tok Mid ini ialah semua pelajar akur padanya terutama perkara-perkara yang berhubung kait dengan solat. Tok Mid amat menitik beratkan solat. Walaupun bukan guru disiplin, dia akan berjalan dengan sebatang rotan pada setiap masa. Namun dia mesra dengan pelajar. Pendekatannya sangat menarik. 

Masuk sahaja waktu Zohor, dia akan pastikan semua pelajar sesi petang sudah berada dalam surau. Peraturannya mesti dipatuhi. Siapa yang tidak patuh pasti akan menerima habuan rotan di bahu masing-masing. Peraturan ini sentiasa diulanginya saban waktu, sehinggalah pelajar-pelajar mematuhinya. Peraturan pertama setengah jam sebelum masuk waktu semua pelajar sudah mengambil wuduk. Peraturan ke dua, duduk dalam surau mesti dalam saf siap bertelekung bagi perempaun, walaupun belum untuk sembahyang. Jika ada waktu lagi semua pelajar dikerah untuk menghafal surah-surah lazim. Siapa yang berada di luar saf akan dirotannya!

Pernah suatu ketika Tok Mid berseloroh dengan pelajar yang ditangkap ponteng solat! "Kalau bapa kamu tidak mahu saya rotan kamu, suruh dia buat surat pada saya katakan bahawa dia izinkan anaknya untuk tidak solat. Kalau tak ada surat itu, harap maaf, hadiah saya adalah rotan ini." Ujarnya penuh berhikmah. 

Ibubapa mana yang izinkan anak untuk tidak solat bukan? Saya hormati setiap tindakan Tok Mid. Didikkan acuan sunnah Rasulullah, memang sedari usia 7 tahun wajar dirotan sekiranya ponteng solat. Usia remaja mereka perlu didikan yang berterusan dengan cara yang cukup berhemah dan penuh hikmah.Terima kasih Tok Mid. Tuan adalah insan mulia yang sewajarnya diberi anugerah oleh Allah swt. 

Namun saya juga tiada kompromi dengan solat. Dalam perjalanan pulang saya singgah di sebauh masjid dan meminta Nurin untuk segera sembahyang sebelum luput waktu.

2 comments: