Sunday 2 October 2011

KBO 4 : Mari terjemahkan rasa kasih sayang

Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Along dan kawan-kawan : Target PMR 9A
Alhamdulillah, perjalanan pulang menziarahi anakanda - Along di Maahad Tahfiz Sains, Muhammadi, Bachok, Kelantan dipermudahkan Allah.  

Jam 5.30 petang bertolak dari Jitra, singgah hanya  untuk solat, isi petrol dan makan, kami sampai ke Machang, Kelantan jam 11.50 malam - Alhamdulillah target untuk sampai pada hari yang sama tercapai.

Pagi Jumaat 30 September, kami bertolak ke MTSM untuk berjumpa Along. Dia akan menduduki peperiksaan PMR pada 04 Oktober hingga 11 Oktober ini. Doakan kejayaannya dan rakan-rakannya yang lain. Kehadiran kami sekeluarga adalah untuk memberikan sokongan moral kepada dia untuk terus berusaha mencapai impian dirinya sendiri. Kami hanya membantu, memberi sekadar yang termampu - yang selebihnya terpulang kepada dirinya sendiri. Pada saya, dia telah memasuki fasa terakhir dalam pengajiannya di MTSM - usaha yang perlu diterjemahkan pada lembaran-lembaran kertas peperiksaan. Proses penilaian untuk mengukur sejauh mana penguasaan dirinya terhadap pembelajaran yang ditempuhinya selama hampir tiga tahun beliau berada di MTSM. 


Sebagaimana kita, yang masih mampu menghela nafas di bumi Allah ini - sering juga menempuhi ujian demi ujian kehidupan yang menuntut kita menjadi lebih sabar dan sentiasa beringat bahawa segalanya datang dari Allah dan kita sewajarnya berserah kepada Allah terhadap segala sesuatu. Justeru, marilah kita tingkatkan rasa kasih sayang kepada Allah swt dengan bersama-sama mentelaah diri,  demi untuk bergerak dilandasan taqwa kepadaNya. Allah Huakbar!.

Sesungguhnya kita hanya mengharapkan rasa kasih sayang Allah untuk diterjemahkan pula kepada orang-orang lain dipersekitaran kita. Tanpa kasih sayang Allah, tiada kejayaan hakiki yang mampu kita perolehi. 

Sesampainya kami di MTSM, rupa-rupanya telah ramai keluarga lain yang turut hadir menziarahi anak-anak mereka. Saya kenal sebahagian dari mereka, yang juga seperti saya. Sanggup datang dari jarak beratusan kilometer - ada yang dari Kedah juga, Johor dan juga Selangor - demi untuk menterjemahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak yang sedang berjihad di lapangan keilmuan itu. Jihad yang bukan sahaja menuntut kekuatan fizikel, lebih dari itu memerlukan ketahanan mental yang terlalu kuat - cabaran bagi seorang hufaz yang perlu juga mengulangkaji al Quran nur Karim setiap ruang waktu , di samping mengejar khazanah ilmu lewat kelas, tutorial dan buku-buku akademik yang lain sebagai persediaan menghadapi PMR. 

Allah mengizikan perjumpaan sesingkat ini untuk kami sekeluarga. Setelah mendapatkan keperluan untuk ditinggalkan kepada Along seperti peralatan tulis secukupnya, kami meninggalkan dia untuk terus bergerak melalui lorong-lorong di sepanjang jalan hidupnya, dengan doa dan harapan.

Sebelum pulang, tetiba kami terpandang gambar yang ditampal di papan notis bersebelahan dengan pejabat pentadbiran sekolah - gambar di atas. Alhamdulillah, Along termasuk dalam 14 orang pelajar yang menjadi harapan pihak sekolah untuk mencapai keputusan 9A dalam peperiksaan PMR ini, InsyaAllah. Semoga gambar ini menjadi pendorong dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi. 

Rabbi Yassir Ya Allah.

No comments:

Post a Comment