Monday 10 October 2011

KBO 12 : Mencari Keberkatan Dalam Ilmu

"Beli buku tak salah kakak. Ayah suka kalau seorang anak sangat berminat untuk membaca buku. Apatah lagi buku pelajaran. Malah ayah tidak kisah untuk berbelanja lebih semata-mata untuk membeli buku untuk adik ataupun untuk kakak." 

Kakak terus diam, membatu. 

"Kakak tanya saja ayah. Kalau tak boleh beli tak apalah" Jawab kakak ringkas. 

"Mari kita carikan di kedai buku. Kita beli yang original!" Tegas saya, setelah mendengar penerangan kakak sejelasnya.

Sebenarnya, kakak meminta izin untuk membeli buku latihan pelajaran yang dijual oleh kawannya. Wah, kawannya juga begitu rajin menjadi peniaga yang tidak bertauliah pula. Sekiranya buku yang dijual itu buku fizikal yang sebenar, maksud saya yang dicetak oleh penerbit yang sah, saya tidak kisah. Tetapi ini adalah buku yang di fotostat!. Nak menyebarkan ilmu pengentahuanpun perlu dengan cara yang benar. Matlamat tidak menghalalkan cara. Matlamat kawan kakak untuk membantu menyebarkan ilmu melalui penjualan buku fotostat itu adalah salah. Berdosa. 

"Cuba kakak baca di muka surat ini." Saya menghulurkan buku yang telah dibeli kepada kakak dan meminta dia bacakan satu perenggan di muka surat kedua buku itu.

"Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan diterbitkan atau diulang cetak dengan apa cara sekalipun kecuali dengan kebenaran penerbit dan penulis" Sebut kakak lancar.

"Jadi sekarang macamana? Faham? Cuba kakak bayangkan, kakak beli buku fotostat itu. Kakak gunakan untuk belajar. Agaknya, ilmu yang kakak dapat itu berkat tak? Matlamat kita belajar ialah untuk ilmu yang diredhai tuhan bukan? " Satu persatu persoalan saya lontarkan. Membiarkan anak itu berfikir sendirian secara logiknya. Supaya dia sedar bahawa bila hendak melakukan sesuatu tindakan hendaklah berpandukan ajaran agama yang sempurna. Yang telah terkandung segala sesuatu di dalam nya iaitu al Quran mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. 

Mohon Allah memberikan keberkatan ilmuNya kepada kita, kepada anak-anak kita, kepada rakan-rakan kita di dunia ini. 

Anak-anakku, hanya dengan ilmu yang diberkati hidup kita akan tenang dan aman. Rezeki yang kita perolehi kelak halal di sisi Allah swt dan kita akan terus menerus menyuburkan budaya mencari ilmu yang berkat ini untuk disebarluaskan pula kepada teman-teman yang lain pula. Bila berilmu perlu pula untuk mengamalkannya.

Biar segala apa yang kita lakukan sepanjang jalan kehidupan kita ini, kita lakukan dengan ilmu. Tidur dengan ilmu, bagun tidur dengan ilmu, bersuci dengan ilmu, solat dengan ilmu, makan dengan ilmu, belajar dengan ilmu dan sehingga bermianpun dengan ilmu kemahiran permainan itu.

Saya katakan bahawa dalam setiap apa yang kita lakukan, kita memerlukan ilmu. Setiap ilmu itu tidak dapat berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh ilmu yang lain pula. Ia saling lengkap melengkapi dan saling perlu memerlukan. Contohnya, sebagai pelajar ketika sedang mengulangkaji pelajaran,  perlu ilmu untuk membaca dengan baik, perlu ilmu untuk cepat memahami intipati pelajaran, perlu ilmu untuk mengingat, perlu juga ilmu untuk mencatat isi-isi penting. Dengan menyatu padukan keseluruhan ilmu kemahiran ini, maka setiap pelajar mampu pergi lebih jauh dan lebih cemerlang dalam lapangan akademik dan kehidupan juga.

Seronok sebenarnya bila berilmu. Rugi kalau kita terus-terusan menjadi orang yang hidup tetapi tidak berdasarkan ilmuNya. Jadi, tunggu apa lagi, mulakan mencari ilmu bagi setiap apa yang kita lakukan. Punca segala ilmu adalah al Quran Nur Karim! Baca dan fahamilah ia anak-anakku. Sekurang-kurangnya bacalah buku-buku panduan hidup buat benteng bermujahadah melawan nafsu.

Tetapi awas anak-anakku. Bila sudah berilmu, janganlah kedekut ilmu itu. Semua itu hak Allah. Jadi kongsi-kongsikan bersama teman-teman. Semoga bertambah keberkatan ilmu anak-anak. Ini hadis yang direkodkan oleh Imam al Tabrani dan al Baihaqi : "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya."


No comments:

Post a Comment