Monday 3 October 2011

KBO 6 : Demi anak - satu usaha yang melampau

"Dari Jitra dia ke Kuala Nerang. Dari Kuala Nerang dia ke Sungai Petani, singgah ke Gurun dan petang ini dia akan ke Alor Setar pula. Dia sanggup bergerak ke hulu-ke hilir demi anaknya." 

Saya seronok belajar dari pemerhatian terhadap sikap manusia yang unik dan pelbagai. Kenyataan di atas adalah satu frasa yang saya takrifkan sebagai satu usaha yang melampau seorang bapa untuk membantu anaknya.

Tidak mengapa jika seorang bapa sanggup bersusah payah berusaha untuk kejayaan anaknya dalam lapangan akademik, sahsiah atau sebaliknya. Contohnya bersusah payah menghantar anak ke kelas tuisyen jika ianya membantu, atau mungkin menemani anak semasa mereka menyiapkan latihan bagi setiap mata pelajaran mereka. Atau membelikan buku-buku bacaan atau latihan bagi memperkayakan kemahiran si anak. Memang benar kejayaan seorang anak juga dipengaruhi oleh kehadiran si ayah di sisi. Ayah yang baik akan sentiasa membantu anaknya.

Ini usaha seorang bapa yang semuanya sayang pada anaknya dan sentiasa mahu menzahirkan rasa itu sebelum terlambat. Sebelum peperiksaan yang bakal bermula. Iya, PMR yang akan bermula esok hari. Atas desakkan mahu melihat anak berjaya - walau kejayaan akademik bukanlah segalanya. Menterjemahkan kasih sayang adalah memberi warna yang indah kepada kehidupan seorang anak, namun bukan dengan cara yang tidak wajar. 

Namun usaha DIA yang saya gambarkan di sini bagi saya sedikit melampaui norma kehidupan yang normal. Benar hingga ayat ini di tulis, saya belum lagi nyatakan apa yang si ayah itu lakukan sehingga saya lebelkan sebagai melampau - dengan izin. Ini hanya pandangan personal saya. 

Seperti yang saya nyatakan tadi, esok PMR akan bermula. Hari ini si ayah ini, bergerak ke hulu dan ke hilir mencari soalan soalan bocor(?) Untuk di bawa pulang dan diberikan kepada anak untuk di buat latihan. Budaya apakah ini? Seolah-olah PMR adalah segalanya dalam hidup ini. Adakah ini yang dikatakan usaha luar biasa untuk memperolehi kejayaan luar biasa pula? Niat tidak pernah menghalalkan cara. Kita berdoa semoga budaya ini tidak melarat dan diwarisi dari generasi ke generasi yang lain. Kerana kita percaya bahawa budaya membocorkan soalan peperiksaan ini satu perbuatan berdosa, perbuatan menyebar soalan bocor ini satu dosa dan perbuatan menggunakan sesuatu yang bukan hak kita @ menjawab peperiksaan dengan bantuan soalan bocor juga satu dosa. 

Kejayaan jika ia hadirpun dalam hidup si anak, ia tetap tidak mendapat keberkatan Allah. Sebagai seorang ayah yang sayangkan anaknya, pasti tidak mahu melihat anaknya hidup tanpa redha Illahi. Usahlah kita jadikan usaha sebegini sebagai satu amalan kita. Sebagai anak yang akan meneruskan kehidupan di dunia yang semakin mencapah ini, usahakanlah agar tidak terjebak dalam kancah dosa ini. Jika tanpa sedar - berdoalah sentiasa agar Allah memberi pengampunan dan yang paling penting membersihkan rezeki yang bakal diperolehi suatu hari nanti, hasil dari kejayaan dalam peperiksaan akademik yang tidak tulin ini. Oh ya, guru saya pernah berpesan, jika hendak bersihkan rezeki - amalkan solat sunat dhuha - bukan untuk mendapat rezeki sahaja. Bila rezeki bersih, dosa terhindar, jiwa kita tidak tergerak untuk melakukan pekara-perkara mungkar. 

Bukan berniat untuk menghina, jauh sekali untuk memperlekehkan usaha DIA, tetapi sekadar untuk perkongsian bersama, agar suatu hari nanti masyarakat yang terbentuk adalah masyarakat yang diredhai Allah swt. Maafkan saya - saya beristigfar untuk ini.

Akhlak terbentuk dari perbuatan. Perbuatan adalah cerminan peribadi yang ditunjangi ilmu dan berpaksikan agama yang kuat. Yakinlah terhadap kekuasaan Allah swt. Allah mengajar kita untuk berusaha dengan besungguh-sungguh tetapi mengikut jalan yang diredhai bukan dengan jalan yang salah. Allah menuntut kita agar berusaha secara tetap - secara berdisiplin - istiqamah dan Allah meminta kita agar sentiasa memohon doa dariNya sebelum meninggalkan semua urusan itu kepada Nya, iaitu bertawakkal. Pasti kejayaan yang diraih lebih manis, lebih bernilai dan lebih tahan lama. Wallahhuaklam.

No comments:

Post a Comment