Friday 7 October 2011

KBO 11 : Urus Diri - iktibar untuk ikhtiar membaiki diri.

"Allahumma Solli 'ala Sayidina Muhammad Wa'ala alihi wa as-habihi ajma'in" - "Ya Allah, Kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekelian sahabat-sahabat beliau"

"Mana adik?" Tanya saya, setelah melihat hanya kakak yang masuk ke dalam kereta. 

" Sekejap lagi keluarlah adik tu. Dia sedang cari baju sukan untuk latihan kawad petang nanti." Jawab kakak.

"Bukankah adik pinjam baju kakak?" Tanya saya kehairanan. Seingat saya, khamis lepas adik ada mata pelajaran jasmani. Dia pakai baju sukan kepunyaan sendiri. Kemudian sebaik sahaja waktu pulang dia tertinggal bajunya dalam bilik persalinan di sekolahnya! 

Bila pergi ke sekolah pada hari ahad yang berikutnya, bajunya sudah lesap entah ke mana. 


"Ya,  Balik rumah petang semalam tak tahu dia letak kat mana. Basuh ke takpun tak pasti." Getus kakak. Adik pinjam baju sukan kakak kerana baju sukan adik hilang. Kakak sedikitpun tidak kisah. Bagi kakak berkongsi pakaian dengan adik perkara biasa. Ada waktunya kakak yang akan pinjam baju adik pula. 

Sebagai ayah, saya galakkan mereka berbuat begitu. Bukan apa, nanti mereka lebih serasi, lebih bertoleransi dan sering berkomunikasi sesama sendiri. saya tidak mahu jurang terbentuk antara mereka berdua. Apatah lagi dalam usia remaja. Kalau sedari remaja lagi sudah wujud jurang, apabila dewasa nanti tentunya tidak bertegur sapa. Itu yang sangat saya bimbangi. Bukan tidak ada dalam masyarakat kita yang hubungan kekeluargaan mereka begitu longgar. Saya sering mengambil ini sebagai iktibar untuk ikhtiar membaiki hubungan dalam keluarga, terutama dengan anak-anak.

Adik berjalan lemah menuju ke kereta. Dia menguak daun pintu kereta. Dihempapkannya perlahan. Semasa dia berlajan tadi saya sudah melihat kemurungan di wajahnya. Matanya sedikit kemerahan. Sedih barangkali, kerana tidak dapat mencari baju sukan untuk latihan kawad kaki petang nanti.

"Kawad pukul berapa?" Tanya saya. Sambil mengeluarkan dompet wang dari poket seluar. Tanpa menunggu jawapannya saya terus mengaju soalan lagi "Berapa ringgit harga baju sukan tu?"  Saya cuba menafikan rasa hati yang membisikan bahawa perbuatan saya ini tidak bagus. Tindakan memberi wang kepada anak untuk membeli ganti barangan yang sudah hilang akhibat kecuaian sendiri sepatutnya dielakkan. Sekurang-kurangnya dia belajar sesuatu. 

Tetapi fahamilah anak-anak bahawa hati setiap bapa sebenarnya terlalu halus. Walau segarang manapun mereka, mereka tetap mengambil berat keperluan kamu. Kalau tidak ditunaikan sekarang, pasti suatu hari nanti akan ditunaikan juga. Mereka sayang padamu anak-anak. Oleh itu berilah kerjasama yang terbaik kepada mereka dalam usaha memimpin mu ke jalan yang terbaik demi hari mukamu. Seorang bapa tidak akan membawa anaknya ke jalan yang curam dan gelap!

Tuhanpun begitu. Kita kerap meminta daripadaNya lewat doa-doa yang sering kita lafazkan seusai solat. Namun kenapa tidak segera kita memperolehinya? Konsepnya adalah sama. Tuhan mahu lihat kita berusaha sehabis daya kita. Tuhan mahu mendengar suara hambanya meminta kepadanya. Tuhan mahu kita mengingatiNya pada setiap saban waktu. Tuhan mahu terus menguji keimanan kita sebenarnya.

"Adik dah bawa duit." Jawab Nurin lemah.


"Oh, ada duit sendiri. Tak apa. Adik belilah baju tu nanti.  Harga yang adik kena bayar terhadap kesilapan yang adik lakukan. Ayah mahu ini menjadi pengajaran yang berbekas di hati adik. Lepas ini sentiasa beringat. Bukan urusan pakaian atau barangan sahaja, paling utama adalah diri sendiri." Saya terus menukar gear kereta dan menekan pedal untuk terus meluncur meninggalkan perkarangan rumah untuk membawa dua puteri ke sekolahnya. 

Sepanjang jalan, saya terus bercerita kepada mereka. Saya mahu mereka faham bahawa kita semua milik tuhan kita. Walau apa pendirian mereka, mereka kena faham itu. Terutamanya bagaimana untuk mengurus diri sendiri supaya disayangi oleh Pemilik kita itu. Seperti kata iman al Ghazali "Jagalah barangan yang kamu sayangi." Cukup mudah, bila kita sayang kepada sesuatu barangan jagalah ia sewajarnya. Jangan ambil mudah. Ambil berat terhadap semua perkara. 

Tidak susahpun, malah ia akan membentuk peribadi kita sebagai seorang makhluk Allah yang taat. Sudah pasti bila terbentuknya sikap mengambil berat ini,  secara langsung ia membantu kita untuk mengambil berat terhadap semua suruhan Allah dan mengambil berat untuk meninggalkan segala laranganNya pula. 

"Amalkan simpan barangan di tempat yang sepatutnya, barulah senang kita nak carinya kembali. Misalnya tepat simpan baju adalah dalam almari ataupun ditempat sidaian. Bukannya diletak bersepah-sepah di merata tempat. Boleh adik cari nota Geografi dalam buku Matematik tak? " Pesanan bercampur gurauan, saya tempiaskan buat mereka berdua. 

"Satu lagi, sentiasa berhemah bila buat sesuatu perkara barulah kita tidak kelam kabut. Bila kelam kabut banyak perkara yang tidak diingini akan berlaku. Contohnya jika ayah bawa kereta ini secara kelam kabut, tentunya ayah dah langgar pakcik yang sedang bawa motorsikal tepi jalan tu dan barulah baju sukan adik tidak tertinggal. Jadi ingat buat apa-apapun betenang, usah kelam kabut"

Kereta yang dipandu sudah tiba ke destinasi. Anak-anak ini perlu pula terus berjuang di medan ilmu. "Belajarpun sama ya, usah kelam kabut. Berlapang dada, baru ilmu senang nak masuk!" Ucap saya setelah seorang demi seorang menyalami dan mengucup tangan bapanya ini. 




No comments:

Post a Comment