Thursday 13 October 2011

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya

Siapa antara kita yang singgah di kesementaraan hidup ini yang sanggup digelek derita sentiasa? Siapa yang tidak perlukan kebahagiaan memayungi sepanjang jalan kehidupan?

Tiada bukan? 

Setiap orang yang waras memerlukan itu. Ini fitrah manusia. Tetapi kita sebenarnya harus cepat-cepat pula memahami hakikat kehidupan yang tidak akan pernah lekang dengan masalah.

Ramai orang menganalogikan hidup sebagai lautan. Lautan yang sentiasa ada badai yang berhembus. Sentiasa ada ombak yang mendebur. Kadang waktu ombak menjulang tinggi hingga mampu memusnahkan bahtera yang gah agam besarnya. Ada ketika pula ombak menjadi seperti teman sepermainan untuk meluncur laju di atasnya. Kata mereka begitulah seni dan sains kehidupan yang kita tidak boleh lari darinya. Selagi bernama lautan, pasti ada ombak yang mendatang. Selagi bernama manusia, pasti ada ujian yang bertandang.

Sering pula kita diberi ujian oleh yang Maha Pencita Allah SWT.  Melihat sejauh mana kesediaan kita untuk menghadapinya. Sejauh mana kesabaran kita menempuhinya. Sejauh mana usaha kita mengatasinya. Sejauh mana ikatan diri kita denganNya. 

Kebahagian adalah anugerah dalam ujianNya. Kebahagian tidak akan datang begitu sahaja. Sesiapa yang mahukan kebahagiaan perlu pergi kepada kebahagiaan. Kenalilah kebahgiaan dalam kehidupan ini kerana ia ada hanya disebelah anda. Gagal mengenali makna kebahagiaan, bermakna anda tidak akan berupaya untuk berada bersamanya, apatah lagi untuk menikmatinya.

Saya ingin mengajak anda untuk membuka akaun kebahagiaan bersama-sama saya. Ya, akaun untuk kita orang yang sentiasa menghargai nikmat besar Allah ini.

Sebelum itu, saya ingin membawa anda kepada satu senario. Anda membuka satu akaun di sebuah bank. Kini akaun anda ada wang sebanyak RM10.00 misalnya. Anda menyimpan atau menabung dengan hasrat supaya suatu hari nanti anda akan perolehi simpanan yang banyak mungkin target anda adalah RM1 juta. Tidak mengapa, letaklah ia sejumlah angka yang sebesar mana sekalipun. Itu hak anda. 

Bagaimana anda ingin tingkatkan simpanan anda dari RM10.00 itu ke RM1 juta? Sudah tentu anda akan berusaha secara bersungguh-sungguh melakukan kerja, berurus niaga atau apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan kepada anda. Motifnya untuk tingkatkan simpanan mencapai target yang telah ditetapkan.

Anda lakukan tanpa jemu, anda lakukan berterusan. Apa akan jadi sekiranya anda mengeluarkan wang simpanan itu untuk kegunaan lain? Akaun anda akan berkurangan bukan? 

Lalu akaun kebahagiaanpun begitu. Setelah akaun itu dibuka atas nama kita. Kita yang bertanggungjawab untuk memenuhinya. Sentiasalah menambah atau mendepositkan kebahagiaan dalam akaun tersebut sehingga target bahagia yang kita idamkan tercapai. Berusahalah tanpa jemu mencari punca kebahgiaan untuk didepositkan ke dalam akaun anda itu. Apa yang membuatkan kita bahagia? Senaraikan satu persatu. Depositkan ia dalam akaun tersebut. Ia suatu yang pasti milik kita - kebahagiaan.









No comments:

Post a Comment