Thursday 25 August 2011

Ramadhan 1432H - 24

Salam Ramdhan Kareem! - "Selamat Pulang Ke Kampung Asal Usul Fitrah"

Pelajar sudah ada yang balik kampung. Sedari pagi sewaktu saya berada di tempat letak kenderaan pelajar - memantau pematuhan kepada peraturan tempat letak kenderaan - kelihatan beberapa orang pelajar menggalas beg, menuju ke pintu utama kampus Polimas. Dari situ, mereka akan menaiki Van ke Stesen Bas di Tanah Merah atau di Shahab Perdana, Alor Setar. Tentunya petang nanti, semakin ramai yang akan pulang. Begitu juga dengan hari terakhir kuliah besok.


Pulanglah, raikan hari kemenangan bersama orang-orang yang penting dalam hidup anda. Ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara. Mengeratkan silaturrahim, menjaga ukhwah. Usahakan agar Aidilfitri adalah hari paling gembira buat kita, seperti hari konvokesyen kita kerana lulus dengan cemerlang - kelas pertama mungkin, di Institusi Ramadhan.

Semoga tarbiah Ramadhan tahun ini mengembalikan kita kepada fitrah manusia. Mendapat rahmat, keampunan, dijauhi dari api neraka, oleh Allah Azawajalla, InsyaAllah. Usahakan agar Aidilfitri kita tidak mengembalikan kita kepada sifat dan sikap kita sebelum Ramadhan ini. Usahakan agar Aidifitri kita dijauhi Allah dari dosa dan noda - berseronok ada batasnya. Hidup biar selamat dunia dan akhirat. Usahalah untuk pulang dari perjalanan Ramadhan ini dengan bersih hati nurani, seperti kita berusaha pulang ke kampung. Kerana setiap perjalanan pasti ada jalan pulang! Jalan pulang yang bagaimanakah pilihan kita? 

Ini cerita saya untuk pulang ke kampung - Kelantan - menyambut Aidilfitri semasa  sedang belajar di peringkat diploma - sekitar tahun 1989 - 1992 di ITM Melaka, Jalan Hang Tuah. Semestinya pulang berhari raya merupakan masa yang begitu memotivasikan. Perjalanan pulang adalah suatu motivasi yang hebat untuk dikongsi bersama. Ketika itu saya dan kawan saya - Wan Zul- tidak mendapat tiket bas untuk pulang. Tiket telahpun habis dijual.  Tiket keretapi juga telah habis dijual.  Gagal mendapatkan tiket untuk pulang berhari raya memberi kesan emosi yang cukup perit kepada kami. Dihari terakhir kuliah, kami melihat kawan-kawan semua menaiki bas untuk pulang ke lokasi masing-masing. Sehinggakan blok kediaman kami di Kampung Lapan, Bachang, Melaka - sudah tidak meriah seperti biasa- hanya beberapa orang pelajar yang masih kelihatan. Hari raya cuma tinggal 2 hari lagi ketika itu. Gelodak rasa semakin melanda jiwa. 

Namun kami kuatkan semangat untuk pulang. Kami mahu pulang! Ketika itu umur masih muda belia. Kudrat masih kuat. Apatah lagi kami berdua adalah Komander Kesatria ITM. Kami membuat keputusan untuk pulang dengan apa cara sekalipun. Di sinilah bermulanya perjalanan pulang kami. Perjalanan yang meninggalkan seribu satu kenangan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya kami yang merasainya. 

Kami keluar dari hostel sebaik sahaja selesai sembahyang Maghrib. Berbekalkan semangat dan doa, kami melangkah keluar. Tidak tahu lagi bagaimana perjalanan itu harus kami lalui. Kami melangkah dengan begitu bersemangat. Menggalas sebuah beg sahaja dan ketika itu kami memakai "jungle boot" - bagi tujuan memantapkan pergerakkan kami. Kami tidak pula memaklumkan hal ini kepada orang tua kami. Kaedah perhubungan ketika itu bagi kami hanyalah melalui surat- tidak ada telefon rumah, apatah lagi telefon tangan macam sekarang ini. Jadi, tidak ada siapapun yag tahu perkhabaran kami - pulang atau tidak,kalau pulang bagaimana kami pulang!


Sesampainya di jalanraya utama, kami menahan sebuah lori. Lori itu berhenti dan kami menyatakan hasrat kami untuk tumpang. Pemandu lori itu baik hati. Kami dibawa sehingga Seremban. Jam sudah menunjukan pukul 1 pagi. Tempoh menunggu dan menahan serta bertanya arah laluan lori tersebut, serta kesudian mereka untuk memberi kami tumpang mengambil masa yang bukan sedikit.

Akhirnya setelah menaiki lori kedua, kami tiba di bandar Kuantan pada jam 7 pagi keesokkan harinya. Dari situ, sekali lagi kami menaiki  lori untuk membawa kami ke Stesen Bas Tanjung,  Kuala Terengganu - Dari situ, Jam 12 tengahhari kami menaiki bas ke destinasi masing-masing, saya ke Kota Bharu, manakala Wan Zul ke Pasir Puteh. Walaupun kepenatan, nikmatnya tidak terhingga. Apatahlagi esok akan menjelang Aidulfitri! Perjalanan yang panjang itu terlalu berharga. Kami tahu erti kesusahan, belajar erti kemanusiaan, kenal makna kesabaran dan ketabahan, yang paling utama kami bersyukur ke hadrat Illahi - kami selamat sampai ke kampung halaman- Alhamdulillah.

Semoga perjalanan pulang Ramadhan juga memberi seribu satu makna dalam kehidupan kita.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    pengalaman hebat yang encik alami,
    mungkin itulah kelebihan orang yang belajar jauh dari rumah.

    ReplyDelete