Tuesday 23 August 2011

Ramadhan 1432H - 22

Salam Ramdhan al-Mubarak.

Demi masa sesungguhnya kita berada dalam kerugian! - disesuaikan dari surah al-asr.

Rugilah sesiapa yang membiarkan Ramadhan ini dibiarkan berlalu pergi. Sesiapa yang hatinya suci bersih pasti akan mengingati kelebihan Ramadhan ini dan berlumba-lumba mengerjakan kebajikan demi untuk mendapat keredaan Allah dan menjadi hamba yang bertaqwa. InsyaAllah, janji Allah adalah benar belaka. Saya sudah cukup bermotivasi untuk memperuntukan lebih banyak masa bagi mencapai destini Ramadahan, dalam perjalanan Ramadhan yang masih berbaki ini. Permudahkanlah ya Allah.
Dengan penuh sedar bahawa segala perancangan Allah mengatasi segenap perancangan kita. begitulah juga dengan kematian. Kematian adalah sesuatu yang pasti. Jadi marilah kita bersama-sama melakukan sesuatu yang terbaik sebagai bekalan sehingga tiba saat itu. Agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

Al-Fatihah - kepada Arwah Mohamad Shaifullah Khafis bin Hashim. Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada Mei yang lalu. Dipercayai kerana demam denggi berdarah. Ketika itu arwah bersama dengan kawan-kawan sekelas dengannya pergi berkelah di Bukit Wang. Pulang ke rumah, arwah terus demam dan dibawa oleh keluarga ke Hospital Pokok Sena, Kedah. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di katil hospital. Saya bersama Penasihat Akademik kelas beliau Tuan Shahril @ Bagio, hanya sempat menziarahi arwah dirumah beliau. Semoga Allah menempatkan rohnua bersama orang-orang yang beriman, amin.

Ketika sihat dan umur masih muda, tentunya fikiran tidak terfikir tentang kematian. Tetapi segalanya Allah telah tetapkan. Lihatlah kejadian yang menimpa pelajar saya tersebut. Dalam usia semudanya - 19 tahun, dengan tubuh badan yang sihat - bila Allah menentukan saat kematian, maka tiada apapun yang dapat menghalang. Hari ini terima sekeping cek sumbangan Takaful Malaysia - sebagai perlindungan takaful berkelompok pelajar Polimas. Saya akan serahkan cek ini kepada pakcik Hashim insyaAllah dalam masa terdekat. Terima kasih kepada en Saiful Imran darpada Takaful Malaysia di atas keprihatinan tuan. Jasamu dikenang, semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal.

En. Zulkifli, bersama isteri dan Aizat hadir ke pejabat saya hari ini. Membawa bersama dokumen-dokumen untuk proses tuntutan takaful. Aizat terlibat dengan kemalangan pada 2 Ogos yang lalu @ 2 Ramadhan. Dimasukkan ke Hospital Jitra, tetapi dipindahkan ke Hospital Pantai, Pulau Pinang - supaya dekat dengan keluarganya. En. Zul bertugas sebagai Pengurus wilayah untuk Affin Bank, manakala isterinya adalah pengurus cawangan Affin Bank. Aizat adalah pelajar Polimas yang baik. Dia aktif dan terlibat dengan pasukan askar Wataniah. Julai lalu saya bersama dengannya menyertai program Iron Community Challenge yang berlangsung di Bendang Man, Sik, Kedah. 

Keluarga beliau telah belikan sebuah kereta Saga FL kepadanya untuk memudahkan perjalanan ke kuliah. Namun semasa kemalangan dia meminjam motorsikal kawannya. Inilah yang dikatakan bahawa Allah menentu segalanya, walaupun kita sudah berusaha menyediakan yang terbaik. Di Hospital Pantai, Aizat diperiksa sekali lagi dan didapati ada pendarahan beku di dalam kepalanya. Pembedahan dilakukan. Aizat koma untuk 2 hari. Dan hari ini, dia hadir dengan penuh ceria di hadapan saya. Semangat untuk terus hidup sihat dan meneruskan pelajarannya begitu berkobar-kobar dalam dirinya. Memorinya tidak terganggu langsung. Dia mampu mengingati apa sahaja. Allahhuakbar! Maha besar kuasa Allah.

Itu kisah mereka. Kisah kita masih menjadi rahsia Allah. Menyakini kematian membuatkan kita rasa perlu merendahkan diri dan menjadi hamba yang bertaqwa - menjungjung tinggi perintah Allah dan menjauhi segala kebatilan dan kemungkaran!! Namun, semangat perjuangan untuk mengisi kehidupan tidak boleh dipersiakan. Kehidupan perlu diisi dengan semangat yang tinggi untuk terus berjuang. Perjuangan perlu pula berpaksikan kepada kebenaran. Mungkin pepatah yang cukup klasik ini menceritakan segalanya - beribadah seperti kita akan mati selepas itu dan berusaha seperti kita akan hidup seribu tahun lagi.....


No comments:

Post a Comment