Thursday 26 January 2012

Negeri Kelantan - pintu rumahmu perlu segera dibaiki, agar pelawat yang hadir tidak terluka hatinya.

Fakta jumlah hari cuti umum di Malaysia adalah paling banyak berbanding negara-negara lain di dunia ini. Hebat dan berbangga menjadi rakyat Malaysia. Minggu ini seminggu anak-anak cuti sekolah - Chinese New Year - Xong Xi Fa Chai kepada semua yang menyambutnya. 

Cara saya meraikan cuti untuk setahun dua ini cukup berbeza. Kalau dulu lebih kerap memerap di rumah, membaca untuk menulis, tetapi kali ini saya lebih teruja untuk balik ke kampung - Kelantan - untuk makluman tahun 2012 adalah tahun melawat Kelantan. 



Sudah sepuluh tahun lebih menetap di negeri Jelapang Padi - Kedah ini. Namun perjalanan pulang ke Kelantan pada edisi cuti kali ini amat beerti. Ia mengajar saya untuk menjadi pemandu yang cukup berdisiplin - memandu cukup berhati-hati. Bukan bermakna sebelum ini saya memandu dalam keadaan yang merbahaya. Bukan juga kerana kenderaan banyak di jalanan. Tetapi demi mengelak "periuk api" yang melata di sepanjang laluan Jalanraya (lebuhraya) Timur Barat itu. Periuk api yang saya maksudkan ialah lubang-lubang yang terbentuk di atas jalanraya itu - kerosakan jalanraya yang melampau.

Berhati-hati macamana sekalipun - memandu sambil mengelak macamana sekalipun, akhirnya periuk api itu meletup juga - mangsanya adalah tayar kereta saya! Terima ini adalah ketentuan takdir. (Mari kita berdoa untuk ubah ketentuan takdir kita!). Dengan segala kepayahan (pengalaman pertama tukar tayar sendiri) saya menukar tayar yang telah pecah itu dengan tayar "spare" - untuk meneruskan perjalanan. Namun saya bersyukur sangat, walaupun hari itu hari Jumaat (20.01.12), hari cuti umum untuk negeri Kelantan, namun masih ada kedai tayar yang beroperasi. 

Setelah diperiksa, Doktor tayar itu memaklumkan bahawa tayar memang tidak boleh digunakan lagi kerana sudah pecah (memang saya sudah tahu) lebih mendukacitakan rim pun kena masuk wad kerana ada rekahan yang menyebabkan angin akan keluar. Masuk wad? Doktor tayar terus memaklumkan bahawa kos rawatan rim adalah sekitar RM80 - RM100 dan akan dibawa ke Sungai Golok (Thailand) kerana di sana kos lebih murah dan kerja-kerja rawatan rim dapat dilakukan dengan lebih cepat. Tak apalah, yang penting saya dapat menggunkan kembali rim itu. Kami berjanji hari selasa (24.01.12) rim tersebut akan dipasang balik. 

Setelah sepuluh tahun semangat nak balik kampung tetap membara walaupun beribu lubang di jalanan akan tetap aku redahi jua!  Negeri Kelantan - pintu rumahmu perlu segera dibaiki, agar pelawat yang hadir tidak terluka hatinya.

No comments:

Post a Comment