Monday 20 October 2014

Yatim di dunia, membawa seribu kebaikan untuk semua.

“Saya sangat terkejut!”  luah hati Amir.

“Sebulan yang lalu saya sendiri berjumpa dengan pengurusan syarikat itu. Memang dah confirm. Mereka pilih pembekal lain!” Tambah beliau lagi dengan nada penuh keterujaan.

“Saya yakin. Amat yakin. Ini semua terjadi ada sebabnya.” Dia termenung sekejap.

Saya mengiakan semua kata-katanya. Memang sengaja saya biarkan dia terus bercakap untuk mendengar sendiri luahan hatinya.

“Ianya berlaku sebaik sahaja saya menetapkan dalam hati saya, bahawa saya sedekahkan semua pesanan encik tu. Dan…dan… Allah bagi rezeki yang berlipat kali ganda kepada saya!” Getusnya lagi. Nada kegirangan masih lagi mengiringi patah-patah ayat yang diluahkannya.

Amir menderma RM400.00 dengan menanggung kos percetakkan kad untuk program majlis makan malam amal Rumah Anak-anak Yatim Nilbanat (RAYAN), Machang, Kelantan. Ikhlas katanya.
Saya mewakili rumah anak-anak yatim terebut menerima dengan terbuka pemberian itu dan memanjatkan doa agar beliau dilimpahi rahmat Allah hendaknya.

Lantas, Allah membalasnya dengan nilaian yang berganda-ganda. Alhamdulillah. Amir baru sahaja menerima tawaran bagi menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada syarikat Haji Ismail Group (HIG) yang terkenal di pulau lagenda, Pulau Langkawi dengan nialain RM40,000.00. Saya tumpang gembira. Itulah rezeki dia.

 “Bersyukurlah! Itu ketentuan Allah!!” Ujar saya spontan bagi meraikan kegembiraan sahabat saya itu.

“Bukan awak sahaja Amir. Saya sendiri masih dalam mood sangat-sangat bersyukur. Ini semua anugerah Allah. Saya juga dapat bahagiannya. Baru sekejap tadi saya muktamadkan perbincangan dengan bahagian latihan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Mereka menawarkan kepada saya untuk mengendalikan Kursus Peningkatan Jati Diri kakitangan mereka bernilai RM10,000.00. Tak terjangka saya Amir. Semua ini ketetapan Allah. Syukur sangat-sangat”  Tambah saya dengan rendah hati.    

Allahuakbar. Usaha saya tidaklah besar manapun. Saya cuma menawarkan khidmat bakti bagi bersama-sama menguruskan majlis makan malam amal RAYAN. Itu sahaja. Saya membuat pesanan kad jemputan kepada syarikat percetakkan yang diusahakan  Amir. Juga menawarkan kepada individu yang berminat untuk menderma dengan cara membayar sebuah kerusi bagi majis makan malam tersebut. Itu sahaja. Sekarang Allah mudahkan juga urusan saya. Walaupun saya tidak pernah termimpi untuk mendapatkannya.

Kami berdua sebenarnya amat teruja dengan apa yang berlaku. Ia bukan magis.Ia juga bukan suatu kebetulan. Setiap apa yang berlaku pasti ada sebabnya. Ada ibrahnya. Kami sepenuhnya percaya kepada janji Allah. Memuliakan anak-anak yatim. Memenuhi keperluan mereka.
Lantas, Allah mempermudahkan urusan kami semudah-mudahnya.

 Alhamdulillah. Apa yang kami lakukan ini bukanlah sesuatu yang hebat. Jauh sekali sesuatu yang besar sifatnya. Namun Allah tahu hati-hati kita. Allah juga tahu keperluan kita.
Saya sendiri amat  terkesan dengan Kalam Allah melaui surah al Baqarah, ayat 220, yang bermaksud ;
“Mereka bertanya kepadamu mengenai anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik”

Sementelah pula Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda mafhumnya:

“Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Allah, Allah, Allah. Jelas dan nyata sekali. Yakinlah wahai hati, dengan berbuat baik kepada anak yatim ganjaran kebaikannya bukan sedikit. Bukan sahaja dapat dinikmati terus di dunia ini. Malah lebih dari itu di akhirat kelak.

Semoga kisah usaha kecil Amir dan saya yang membantu anak-anak yatim ini memberi satu cetusan baru bagi kita semua untuk terus menerus membantu anak-anak yatim. Mereka hanya yatim di dunia. Walaupun begitu, mereka membawa kebaikkan yang banyak kepada kita semua. Ayuh kita rebut peluang ini. Kita teruskan usaha kita membantu anak-anak ini.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39). 

Wallahukalam.

No comments:

Post a Comment