Sunday 17 July 2011

Al Fatihah

Al Fatihah.

Barangkali perkara pertama yang datang dalam minda kita bila membaca tulisan Al Fatihah di atas adalah untuk disedekahkan kepada seseorang yang telah meninggal dunia. Ummul kitab ini juga sering kita lafazkan bila saja memulakan majlis-majlis tertentu, terutamanya majlis ilmu. Hari ini saya cuma ingin catatkan perjalanan hidup seorang bapa yang telah sudi berkongsi rahsia kafiat amalan bacaan surah ini.

Alhamdulillah, Allah berikan saya pertemuan dengan beliau di satu pagi yang mendamaikan. Kami sama-sama membawa anak ke sekolah baru anak kami. Saya katakan sekolah baru kerana anakanda perempuan saya baru melangkah ke tingkatan satu. Peristiwa ini berlaku pada awal tahun ini.


Sambil menunggu proses pendaftaran berlangsung, saya menegur seorang pakcik yang sedang berdiri berhampiran dengan saya. Perbualan bermula dengan sapaan salam dan bertanya khabar. Oh, rupanya pakcik itu juga begitu mesra. Dia mula bercerita tentang anak-anaknya. Anaknya yang sulong sedang dalam peringkat pengajian ijazah pertama, bidang perubatan di Australia. Anak yang kedua di kolej Matrikulasi, anak yang ketiga baru sahaja menamatkan PMR di MRSM dan berjaya dengan cemerlang. Anak yang baru mula melangkah ke tingkatan satu itu pula baru mendapat 5A dalam UPSR.

Bagi saya pasti ada sesuatu yang menarik tentang proses mendidik anak yang mungkin saya boleh pelajari daripadanya. Yalah, semua anaknya telah mencapai kecemerlangan yang tersendiri bukan? Justeru, saya terus bertanyakan apakah ada kaedah tertentu yang digunakan olehnya?

Jawabnya, AlFatihah. Bacakan setiap kali selepas solat 5 waktu dan niatkan kepada semua yang telah meninggal dunia dan juga yang masih hidup, terutama kepada anak-anak.InsyaAllah akan dipermudahkan Allah semua urusan. Wallahuaklam.

Semoga perkongsian ini dapat kita manfaatkan bersama.

No comments:

Post a Comment