Monday 25 July 2011

Ingin Menulis

Salam hormat buat teman dan taulan semua!

Sedari kecil minat untuk menulis terus menyubur dalam diri saya. Dapat saya rasakan kepuasan yang teramat sangat sekiranya saya dapat menyiapkan hasil penulisan. Masih saya ingat karya pertama saya sewaktu kecil dulu - seawal sekolah rendah : sebuah cerpen berjudul "lastik". Sebenarnya cerpen tersebut saya adpatasikan dari sebuah cerpen yang saya baca dalam majalah Dewan Pelajar ketika itu. Hasil "meniru" karya orang lain itu membuatkan saya amat meminati bidang penulisan. Kemudian saya mula menjadi pembaca sajak dan cerpen yang tegar. Tak boleh terlepas peluang untuk mengunyah setiap cerpen yang diterbitkan sama oleh akhbar mingguan mahupun majalah-majalah, begitupun juga antologi yang terdapat di perpustakaan sekolah. 


Sehingga kini hasil karya saya masih terlalu sedikit. Cerpen pertama yang diterbitkan oleh DBP bertajuk Persidangan Api-Api yang dimuatkan dalam antologi Tidak Sepanas Bara. Manakala untuk sajak pula, "Takwim Harimu" menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kembara seorang pemuisi :). Semangkuk Sup Matahari, Seekor Gagak Hitam di Rimba Berduri, menjadi antara sajak yang dimuatkan dalam Dewan Sastera.Manakala cerpen yang telah mendapat kritikan hangat ialah Lintah Bukit Wang yang secara sinisnya mengangkat kisah seorang broker buruh asing di Malaysia!!

Dalam organisasi saya juga mula berjinak-jinak dengan penulisan. saya telah menghasilkan sebuah buku "Unggul - mulanya di sini, membentuk sahsiah dan menguruskan organisasi pelajar" sebuah buku hasil penyelidikan dan penulisan ilmiah. Kemudian daripada itu saya juga mula telah menulis bersama dengan sahabat saya sebuah buku akademik iaitu "Undang-undang Syarikat" untuk kegunaan pelajar Politeknik.

Bulan Mac yang lalu saya telah menerima Jemputan seorang tokoh motivasi iaitu Tuan Fazli Yusof untuk menjadi penulis bersama. Projek penulisan ini sebenarnya adalah berkisar tentang NLP. Sedikit sedutan buku tersebut :

Minda dan Kaledoskop.

Anda pernah lihat Kaledoskop? Kenal fungsinya? Tahu apa tujuan alatan tersebut? Kaledoskop adalah sebuah tabung kecil seperti teropong yang ketika kita gerak-gerakkannya, maka kita akan dapat melihat pelbagai bentuk yang berwarna-warni.

Sekarang bayangkan minda anda seperti sebuah kaledeskop yang dibiarkan untuk membentuk pelbagai pola corak dan gabungan warna yang unik seiring dengan peningkatan usia anda. Ada waktunya ia akan membentuk satu pola corak yang tertentu. Bila kaledoskop ini diputarkan lagi, pola coraknya akan bertukar dan kekal sebegitu untuk seketika. Barangkali ia akan kekal dengan corak yang sama untuk beberapa tahun berikutnya.

Suatu hari, anda mahu menggunakan kaledoskop untuk membuat pola corak mengikut kehendak diri anda. Dengan hanya sekali putaran sahaja keseluruhan imej, dan warna pola corak asal akan berubah kepada satu pola corak dan warna yang baru dan amat menarik pula. Putar lagi dan sekali lagi perubahan kepada warna dan pola corak akan berlaku. Begitulah seterusnya, pada setiap kali ia diputar, ia akan menjelmakan imej pola corak dan warna yang berbeza.

Sekarang, anda berhak untuk membuat keputusan yang bijak untuk memilih pola corak yang manakah yang paling cantik atau paling berguna atau paling sesuai untuk memenuhi tujuan anda. Jadi, apakah sebenarnya yang membuatkan kaledoskop itu membentuk pelbagai pola corak?
Sebenarnya perubahan bentuk dan pola corak kaledoskop itu terletak kepada diri anda sendiri. Pola corak pada kaledoskop itu mewakili bagaimana anda fikirkan mengenai diri anda dan pengalaman yang pernah anda lalui. Ini termasuklah  sistem nilai dan kepercayaan yang anda anuti.

Nilai Diri Membentuk Pola Corak Minda Anda.

Sistem nilai diri yang ada pada diri anda seperti apa yang anda utamakan dalam hidup ini, pandangan anda terhadap orang lain, benda, tempat, aktiviti dan juga maklumat. Ia termasuklah juga nilai intrinsik atau dikenali juga dengan metaprogram.

Kepercayaan yang menunjangi hidup anda juga memainkan peranan utama dalam pembentukan pola corak minda anda. Apakah tanggapan kepercayaan kepada diri sendiri dan kepada orang lain.

Jadi apakah yang sebenarnya penting dalam hidup anda? Bagaimana dengan kerjaya anda? Kerjaya yang anda begitu sayangi dan sanggup curahkan apa sahaja untuk mencapai matlamat organisasi sekaligus untuk  kejayaan dan perkembangan kerjaya anda. Di mana pula anda letakkan kepentingan keluarga anda - Ibu bapa, isteri dan anak-anak anda? Adakah anda pentingkan kerjaya melebihi keluarga? Bagaimana pula dengan teman dan rakan-rakan akrab  yang lainnya? Bagaimana anda melihat kepentingan mereka dalam hidup? Tanyakan diri anda terhadap soalan-soalan tersebut. Dari manakah jawapannya datang? Dari minda atau dari hati? Inilah nilai diri anda. Bagaimana anda meletakkan sesuatu sebagai keutamaan dalam hidup, maka anda akan berusaha untuk mempertahankannya dengan bermati-matian.

Sekarang anda sudah dapat jawapannya. Sama ada jawapan yang diperolehi itu sejujurnya dari hati atau dari minda, hanya anda dan tuhan sahaja yang mengetahuinya. Cubalah perhatikan jawapan anda dengan nada suara anda apabila anda diminta untuk menggambarkan jawapan tersebut. Adakah jawapan itu benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Adakah ia merupakan satu tanggungjawab atau untuk sesuatu kepentingan yang lainnya? Memang terdapat perbezaan yang besar diantara nilai yang sebenar-benarnya lahir dari hati dan nilai yang terhasil dari pilihan-pilihan yang ada untuk kepentingan hidup anda. Ini adalah persoalan yang jarang ditanyakan pada diri sendiri. Walaupun jawapannya mungkin menimbulkan banyak ketidakpuasan hati terhadap beberapa bahagian dalam kehidupan anda. Tetapi itulah hakikat diri anda. Anda boleh mengatakan bahawa untuk menuju kesempurnaan hidup, samada dalam kerjaya atau keluarga adalah dengan merancang dan membuat matlamat hidup yang jelas dan terus melaksanakan perancangan itu. Jika semudah ini kenapa tidak semua orang melakukannya?

Sebenarnya terdapat banyak perkara yang penting yang anda sendiri tidak menyedari kepentingannya. Perkara-perkara yang sukar untuk dirasionalkan. Contohnya, ketika anda sedang sibuk berusaha meningkatkan kemajuan kerjaya, kewangan, teman hidup dan juga kebahagiaan atau sebarang bentuk penghargaan, tanpa anda sedar anda sebenarnya telah mengenepikan orang-orang atau perkara-perkara penting dalam  hidup anda. Apa yang penting dalam kehidupan anda memberi kesan yang besar dalam tingkah laku anda. Jadi sekiranya wujud satu keadaan yang memaksa anda untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan nilai diri anda, anda akan dapat rasakan satu gangguan yang tidak selesa dalam badan anda. Anda mungkin tidak tahu apakah gangguan tersebut,  dari mana ia datang dan apakah kesannya kepada diri anda? Gangguan tersebut boleh menjelma dalam pelbagai bentuk, ia boleh jadi satu perasaan ketidakselesaan, lemah daya ingatan, atau rasa lemah semangat dan tidak bermaya. Pilihan yang ada adalah anda terus melupakan gangguan itu. Tanpa anda sedari bahawa minda separa sedar anda telah memberi isyarat bahawa gangguan tersebut perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Anda boleh sahaja melupakannya, tetapi sebenarnya anda telah memberi tekanan yang tidak wajar kepada diri sendiri. Ia secara langsung menyekat keupayaan anda. Bila tenaga anda berkurangan, pasti mengundang pelbagai penyakit fizikal. Jadi pertimbangkanlah untuk memberi perhatian yang sewajarnya terhadap gangguan tersebut.

Anda telah membina sistem nilai diri semenjak dari anda mula dilahirkan lagi. Nilai diri ini akan melalui proses penambahan nilai ataupun mungkin perubahan nilai seiring dengan peningkatan usia anda. Jadi apakah nilai tersebut sebenarnya? Bagaimana anda memperolehi nilai tersebut dan apakah pengaruh nilai tersebut kepada diri anda?

Tahukah anda, bahawa terdapat tiga ketegori nilai yang mempengaruhi perkembangan diri anda :

i.        Nilai Warisan : Ini adalah di antara nilai-nilai yang biasa ada pada diri anda. Ia terbina semenjak dari anda mula belajar mengenali alam ini. Nilai ini terbentuk hasil daripada pegangan kepercayaan ibu bapa anda, suadara-mara, guru dan juga orang-orang lain yang berpengaruh seperti ketua kumpulan, ketua kampung atau ketua di tempat kerja. Lama kelamaan, nilai ini akan berubah seiring dengan perubahan usia. Nilai ini akan berubah mengikut persekitaran anda dibesarkan, ini termasuklah kegemaran anda. Mungkin nilai warisan ini akan terbentuk hasil daripada minat anda yang mendalam terhadap sesuatu perkara seperti sukan, budaya, muzik, filem, politik, ekonomi atau sebagainya. Nilai ini akhirnya akan menjadi sebati dengan diri anda. Sebagai contohnya, sekiranya anda dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ketepatan waktu solat, anda akan berusaha untuk tidak melengahkan solat. Begitu juga sekiranya ibubapa anda adalah ahli akademik, anda mungkin meletakkan keutamaan untuk mendapatkan kelulusan akademik yang tertinggi dalam kehidupan anda.

ii.      Nilai Pampasan : Nilai ini akan terbentuk apabila anda dibesarkan bertentangan dengan nilai yang anda ingini. Sebagai contohnya, zaman kanak-kanak anda serba kekurangan. Apabila anda dewasa dan mempunyai anak, anda akan memberikan kepada anak anda apa yang anda tidak dapat kecapi di zaman kanak-kanak anda.

iii.    Nilai Berasaskan Diri : Ini adalah hasil pengalaman yang dilalui oleh hidup anda. Ia berhubung rapat dengan tanggapan nilai terhadap pengalaman yang ditempuhi. Contohnya, sekiranya anda pernah dirompak, maka anda akan meletakkan keselamatan diri sebagai faktor utama dalam hidup anda.  

Jika nilai yang anda pegang itu gagal atau tidak terbukti dalam sesuatu keadaan, bagaimana anda hendak menanganinya? Mampukan anda untuk menukar tingkah laku anda dan menjadikan situasi tersebut untuk mengubah nilai dan membentuk nilai baru diri anda? Mungkinkah satu atau lebih nilai diri anda telah tidak lagi sesuai dan anda masih lagi bergantung kepadanya? Ada atau tidak nilai diri anda yang berkesan pada sesuatu keadaan dan tidak untuk keadaan yang lainnya? Boleh anda ubah nilai ini? Anda kenal sesiapa yang mempunyai nilai yang sama dalam kawasan anda? Apa yang akan berlaku jika anda mengubah nilai tersebut? Menyoal diri dengan pertanyaan sedemikian adalah langkah pertama ke arah melakukan perubahan.

Nilai Intrinsik – Metaprogram.

Setakat ini, kita telah membincangkan sistem nilai yang dibina dari pengalaman hidup. Namun begitu, sebenarnya terdapat satu lagi nilai yang menjadi tunjang utama kepada pembentukan nilai-nilai ini. Ia dikenali sebagai nilai intrinsik atau metaprogram – sumber asas motivasi dan yang mencorakkan tingkah laku anda. 

Adalah mudah untuk mengesan nilai intrinsik ini, kerana ia telah terbentuk sebagai satu pola corak (patern) dalam apa yang anda cakap,  bagaimana anda cakap dan apa yang anda lakukan. Betul atau salah nilai intrinsic anda tidaklah penting, yang lebih utamanya adalah adakah ia berguna atau tidak dalam sesuatu keadaan. Berikut adalah metaprogram / nilai intrinsik yang dimaksudkan.

i.        Program ‘terhadap’ dan ‘jauh dari’.
Jika anda tergolong dalam program terhadap, anda boleh dikenalpasti daripada penetapan matlamat anda. Anda mudah untuk menetapkan matlamat dan kerap menukar serta membentuk matlamat yang baru pula. Ada ketikanya anda mengabaikan risiko yang mungkin anda hadapi. Anda akan memulakan matlamat yang baru, walaupun matlamat yang terdahulu masih belum tercapai.
Kelebihan – selalu berfikiran jauh, berorientasikan matlamat, memiliki sikap dan tenaga yang positif.
Kekurangan – terlalu banyak inisiatif baru yang terhasil pada sesuatu masa. Berkemungkinan besar meninggalkan kerja-kerja yang telah dibuat tanpa penyelesaiannya.
Jika anda tergolong dalam program jauh dari,  anda fokus dan cuba untuk mengelakkan risiko. Anda juga sentiasa memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat sebelum anda melakukan sesuatu. Anda akan hilang nikmat hidup dan pengalaman kerja yang berharga akibat  sikap takut untuk mengambil risiko. Bila ditanyakan apakah kemahuan anda, anda akan menyenaraikan perkara-perkara yang anda tidak ingini. Anda menangguhkan untuk menyertai sesuatu perkara yang baru bagi diri anda. Anda lebih utamakan semua bentuk keselamatan dalam hidup anda.
Kelebihan – sangat baik untuk mengenalpasti risiko dan apa yang perlu dielakkan.
Kekurangan – Kelihatan negatif dan tidak mahu menerima pengalaman baru. Anda sedaya upaya cuba mengelakan untuk melakukan sesuatu yang baru.

ii.      Program ‘pilihan’ dan ‘peraturan’.
Jika anda tergolong dalam program pilihan, anda sebenarnya gemar untuk memilih di dalam hidup anda. Anda akan membanding-bandingkan pilihan yang ada. Contohnya sekiranya anda ingin membeli sebuah kereta, anda akan memilih model dan pengeluar yang berbeza-beza sebelum membuat keputusan. Begitu juga apabila anda membeli rumah, memilih makanan dan juga pakaian. Akibatnya, anda akan terlewat untuk membuat keputusan.
Kelebihan – anda dapat mengetahui banyak pilihan yang ada. Memberi pelbagai pilihan kepada orang lain, gemar untuk mencuba dan tidak mengikuti peraturan.
Kekurangan – Selalu lewat membuat keputusan, gagal membuat keputusan sehinggalah keadaan mendesak.
Program peraturan,anda akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah terbaik dan berkesan. Anda akan keliru, malah mungkin kecewa apabila berhadapan dengan banyak pilihan. Anda suka menyenaraikan perkara-perkara yang ingin dilakukan dan menandanya, setelah tugasan itu selesai. Anda cekap dalam mengendalikan kerja yang mempunyai urutan yang betul. Walaubagaimanapun agak sukar untuk anda untuk menerima peraturan yang baru. Untuk melaksanakan sebarang tugasan anda perlu kepada perincian tugasan terlebih dahulu, termasuklah struktur proses yang jelas.
Kelebihan – sangat cekap, baik dalam mentadbir hal-hal yang berasaskan peraturan dan akan kekal dengan peraturan yang telah dipersetujui.
Kekurangan – peraturan menjadi lebih utama daripada kerja yang perlu dilakukan, birokrasi.

iii.    Program ‘sekarang’ dan ‘kemudian’.
Anda berada dalam program sekarang, jika anda merasakan anda hidup untuk waktu sekarang, dan tidak risau terhadap apa yang akan berlaku selepas itu. Contohnya anda memberikan sepenuh perhatian kepada orang yang berada bersama dengan anda sekarang. Anda menghargai setiap detik bersama dengan mereka dan amat sibuk dengan apa yang sedang anda lakukan sekarang. Anda juga tidak kisah sekiranya lewat untuk menghadiri mesyuarat ataupun apa-apa jemputan yang lain.
Kelebihan – boleh memberi tumpuan yang baik kepada tugasan. Melibatkan diri secara aktif dalam apa sahaja perkara yang dilakukan pada setiap waktu.
Kekurangan – Selalu lewat dan membawa imej sebagai orang yang tidak menghargai masa. Akan terlibat dengan terlalu banyak aktiviti pada sesuatu masa.
Sekiranya anda memperuntukan masa bagi melakukan perancangan untuk menentukan supaya anda tidak lewat ke mesyuarat, majlis dan lain-lain urusan, anda sebenarnya berada dalam program kemudian. Pemikiran anda berpusat kepada masa lalu, sekarang dan masa depan. Anda kelihatan tidak menarik dimata orang lain.
Kelebihan – perancang dan pengurus masa yang baik.
Kekurangan – memberi gambaran tidak berminat untuk terlibat dengan aktiviti semasa. Jadual perancangan menjadi lebih utama daripada tugas yang perlu disempurnakan.

iv.     Program ‘dalaman’ dan ‘luaran’.
Bagaimana anda menilai diri dan situasi menentukan sama ada anda tergolong dalam program dalaman atau sebaliknya. Anda selalu merujuk kepada diri sendiri dan tidak mengendahkan nasihat atau pendapat orang lain. Sekiranya diberi penghargaan dengan ucapan terima kasih sekalipun, anda akan mempersoalkan keikhlasan individu itu. Anda tahu keupayaan anda untuk menyelesaikan kerja dangan baik. Anda sering keseorangan dan selalunya terlalu percaya kepada diri anda.
Kelebihan – sentiasa bermotivasi walaupun maklum balas yang diterima terlalu sedikit ataupun tiada dorongan yang diberikan kepada anda.
Kekurangan – tidak mengendahkan nasihat atau pandangan orang lain.
Jika anda termasuk dalam golongan program luaran, anda sentiasa menilai diri anda berasakan kepada maklum balas dan pandangan dari orang lain. Seboleh mungkin anda akan buktikan bahawa penilaian orang lain terhadap diri anda adalah benar. Bila berhadapan dengan cabaran tertentu, anda akan mencari fakta, bukti dan mendapatkan pandangan daripada orang lain.
Kelebihan – akan membuat keputusan berasakan fakta yang diperolehi. Gemar merujuk kepada sumber luar untuk menguguhkan hujah. Mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan. Suka menolong orang lain.
Kekurangan – tertekan bila bukti dan fakta tidak mencukupi dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Sentiasa memerlukan maklum balas terhadap prestasi kerja yang dilakukan. Sukar untuk membuat keputusan jika tidak cukup maklumat.

v.       Program ‘diri’ dan ‘orang lain’.
Siapa dan apa yang anda utamakan menjadi pengukur kepada program ini. Anda selalu mementingkan diri sendiri, sentiasa menggunakan ‘saya’ bila bercakap, selalu bertanyakan ‘ada apa untuk saya’ dalam segala urusan. Bila terlibat dengan membuat keputusan, anda adalah orang pertama yang akan melakukannya.
Kelebihan – terlalu mementingkan diri sendiri. Mengelak untuk terlibat dalam menyelesaikan masalah orang lain.
Kekurangan – Tiada semangat kerjasama dalam kumpulan. Kelihatan agak sombong atau berlagak.
Program corak orang lain pula adalah sebaliknya. Anda pentingkan keselesaan orang lain dan berusaha memenuhi keperluan orang lain terlebih dahulu. Sangat berhati-hati semasa memandu dan suka mengambil berat urusan orang lain. Hari-hari anda akan dipenuhi untuk mengutamakan keperluan orang lain.
Kelebihan – ahli pasukan yang baik. Mengutamakan keperluan orang lain.
Kekurangan – anda akan menderita akibat tidak mempedulikan keperluan diri sendiri. Sukar diramalkan, kerana keputusan anda berasaskan kepada keperluan orang lain. Mengutamakan kebajikan ahli daripada menyiapkan tugasan yang diberi.

vi.     Program ‘terperinci’ dan ‘menyeluruh’.
Sebagai seorang yang terperinci anda akan mengambil berat terhadap semua keadaan. Anda akan bercakap panjang lebar untuk memberi penjelasan terhadap apa yang perlu dilakukan atau menerangkan apa yang telah dilakukan.
Kelebihan – sangat selesa bekerja dengan sesuatu yang mempunyai perincian yang jelas. Dapat mengenal pasti kesilapan kecil dengan baik. Selesa dengan dokumen yang besar dan cetakan yang kecil.
Kekurangan – boleh menjadikan anda lemas dalam perincian yang keterlaluan dan menyebabkan kemurungan.
Sekiranya anda berada dalam corak yang menyeluruh, anda akan melihat sesuatu situasi secara umum atau gambaran kasar sahaja. Kurang bercakap terhadap sesuatu topik dan selalunya perlu diingatkan semula terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan.
Kelebihan – boleh menghasilakan idea yang baik, mengatur strategi yang sempurna dan membentuk konsep yang sesuai dengan tugasan.
Kekurangan – anda sukar untuk membuat keputusan. Tidak selesa bila berhadapan dengan sesuatu yang terperinci.

vii.   Program ‘perasaan’ dan ‘pemikiran’.
Anda akan bertindak mengikut emosi anda sekiranya anda tergolong dalam program corak perasaan. Terlalu bergantung kepada gerak hati.
Kelebihan – mengambil kira perasaan orang lain dalam membuat keputusan.
Kekeurangan – terlalu beremosi bila berhadapan dengan tugas yang mencabar.
Sebagai seorang yang berada dalam program corak pemikiran, anda kelihatan lebih pragmatik dan logik dalam melaksanakan setiap tugasan anda.
Kelebihan – keputusan dibuat berasakan kepada logik akal, fakta dan penilaian.
Kekurangan – anda kelihatan tidak mempunyai perasaan, tidak menghiraukan perasaan orang lain dalam melakukan tugasan dan bila bercakap.

viii. Program ‘sama’ dan ‘lain’.
Adakah anda sentiasa melawat tempat yang sama sahaja bagi setiap tahun? Jika jawapanya ya, anda mungkin tergolong dalam program corak sama. Anda akan memilih jalan yang sama untuk ke tempat kerja. Selalu memilih restoran, hidangan dan hari yang sama dalam setiap minggu. Bila diperkenalkan dengan perkara-perkara yang baru, anda akan mengaitkan dengan pengalaman lepas anda. Anda tidak bosan dengan sesuatu yang berlaku secara berulang. Anda akan kekal disetuatu pekerjaan untuk jangka masa yang lama.
Kelebihan – boleh melalukan tugasan yang berulang-ulang dengan jayanya.
Kekurangan – tidak mencabar, tidak sanggup melakukan perkara-perkara baru, walaupun ia boleh menguntungkan.
Manakala program corak lain pula, anda akan sentiasa melihat kepada perkara baru dan cara baru untuk melakukan sesuatu tugasan. Anda amat jarang untuk mengunjungi tempat yang sama secara berulang, selalu ingin mencuba makanan dan restoran yang berlainan dan memilih tempat yang berbeza untuk bercuti. Anda mudah bosan dan selalu bertukar pekerjaan kerana mengejar kelaianan.
Kelebihan – gembira untuk mencuba idea dan konsep yang baru. Memperolehi pelbagai pengalaman hidup yang berbeza.
Kekurangan – tidak stabil dalam membuat keputusan. Ada ketikanya melakukan perubahan yang tidak perlu.

Mismatching nilai intinsik ini boleh menyebabkan salah faham, tekanan dan konflik dalam kehidupan. Justeru, pemahaman yang jelas terhadap nilai intrinsik anda adalah penting kerana proses ini berlaku tanpa kita sedari. Jadi selongkarlah diri anda, mulakan dengan pertanyaan-pertayaan yang membantu anda untuk lebih mengenali diri anda.

No comments:

Post a Comment