Monday 3 October 2011

KBO 5 : Randy Pangalila - Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain

Saya promosikan dia tanpa sengaja
"Ni gambar siapa Na?" Tanya saya penuh gusar, sambil menunjukkan sekeping kad yang tertera gambar seorang lelaki. Saya jumpa kad ini terbiar di atas meja Nurin. Saya percaya ia adalah cetakan komputer dan dileminatekan.

"Randy Pangalila" Jawab Diyana ringkas.

"Siapa dia ni? Mana Na dapat?" Saya memang tidak kenal siapa Randy Pangalila ini dan kenapa gambarnya perlu ada di atas meja kakaknya - Nurin. 

"Na beli di kedai koperasi, sekolah." Jawabnya ringkas. Ada sedikit nada kekesalan bermain di suaranya.

"Kedai koperasi sekolahpun jual gambar-gambar macam ni? " Getus hati kecil saya. "Siapa dia lelaki ini? Erm, berapa harganya?" 

"Lapan Kupang (80 sen). Na tengok kat blog Kak Win (Nurin) ada gambar ni. Sebab tu Na beli. Nak bagi pada Kak Win. Dia pelakon drama Indonesia." Diyana mula merungkaikan setiap persoalan yang terbuku di dalam benak saya sejak tadi lagi.

Wah, hebat niat dan tindakan anak bongsu saya ini. Pandai dia menghargai kakaknya, atau mungkin untuk menarik perhatian kakaknya. Cuma caranya yang perlu diperbetulkan. Tidak salah memberi hadiah atau menghargai seseorang, terutama ahli keluarga sendiri. Di seawal usia 8 tahunnya itu, mungkin dia belum lagi dapat menilai buruk baik yang ada pada sekeping gambar artis sebegitu.

Saya menerangkan padanya, dia telah lakukan satu perkara yang mulia. Saya suka. Semua orang akan merasa dihargai apabila mendapat pemberian sesuatu yang disukai. Itu ciri-ciri yang baik yang ada pada dirinya. Cuma saya nasihatkan dia supaya tidak membazir. Barangkali duit saku yang saya berikan padanya untuk makan dan minum di kantin sekolah terpaksa dibelanjakan untuk membeli gambar itu. Ini satu pembaziran. Alangkah lebih baik kalau dia hadiahkan kakak-kakaknya dengan sesuatu yang lebih bermakna yang boleh digunakan sentiasa - walaupun sebatang pensil yang beharga lebih murah dari itu. 

Saya juga mula keliru dengan dasar kedai koperasi sekolah. Kenapa menjual benda-benda yang tidak bermanfaat langsung kepada pembangunan sahsiah pelajar? Banyak lagi barangan lain yang boleh dijual. Usahlah bermotifkan keuntungan semata-mata. Sebagai waris perkara ini amat perlu untuk diberi perhatian yang sewajarnya.

"Adik, kenapa biarkan gambar ni di sini?" saya menunjukkan gambar Randy Pangalila yang terbiar di sudut meja belajar Adik. " Adik tahu tak, Na beli gambar itu untuk Adik. Dia mahu lihat Adik suka. Dia sebenarnya perlu perhatian Adik. Belajarlah untuk menghargai pemberian orang lain, kalau kita tidak boleh memberi apa-apa pada orang lain."


1 comment:

  1. yeah,pemberian orang lain itu kadang2 sangat bermakna walaupon harganya tak seberapa. btw, randy itu pelakon indonesia :)

    ReplyDelete