Monday 22 August 2011

Ramadhan 1432H - 21

Di sepertiga malam ini terasa betapa kecil diri ini. Dalam suasana yang cukup sepi dan kudus, terasa diri begitu dekat dengan ilahi.

Ustaz Mat Isa dalam kuliah subuh pagisabtu yang lepas ada menyebut bahawa sekiranya 1 Ramadhan jatuh pada hari isnin maka Lailatur qadar akan jatuh pada malam 21 Ramadhan. Menurut beliau lagi, banyak kitab-kitab karangan para ulama yang menceritakan perkara yang sama. Ulama-ulama ini menulis mengikut pengalaman mereka sendiri. 
Surau Taman Tunku Sarina, Fasa 2, mengadakan qiamullail dan bersahur secara berjemaah. Walaupun tidak ramai yang datang, namun qiamullail tetap berlangsung dalam suasana yang cukup tenang dan penuh kekusyukan. Hati yang bersih sentiasa mengigati iman dan bagaimana mempertingkatkan iman.

Selepas subuh, saya mengambil senarai semak Ramadhan yang telah saya sediakan dalam bulan Syaaban yang lepas. Meneliti satu persatu yang perlu saya lakukan. Alhamdulillah, 80% dari apa yang saya sasarkan telah berjaya saya laksanakan. Semoga Allah menerima segala apa yang kita lakukan hanya keranaNya. 

Setiap kejayaan akan bermula dengan perancangan - mengatur strategi yang cemerlang dan lengkap akan menentukan hasil yang cemerlang dan terbaik. Itu adalah perkara asas yang perlu kita lakukan untuk berjaya dalam apa juga bidang kehidupan. Rancanglah dan terus bertindak! Dan biar Allah menentukan yang selebihnya.

Hari ini saya membuat satu panggilan yang penting dan menerima 3 panggilan yang juga penting.

Cik dan Arwah Ayah
Menelefon mak yang berada di Johor Bharu - rumah adik. Alhamdulillah mak yang saya panggil cik - sihat, masih mampu solat sunat terawih 20 rakaat di surau dan telahpun khatam Quran, dan memulakannya semula. Fenomena biasa - orang lama @ warga emas - begitu tekun mengerjakan solat terawih ini sedangkan orang-orang muda masih lagi dengan "kemalasan" cukup sekadar 8 rakaat.  Cik akan pulang ke kampung di Pasir Tumboh, Kelantan pada 27 Ogos - InsyaAllah. Rasa rindu kepada cik dan arwah ayah terasa begitu menebal. Sebak tetiba bersarang di kalbu - al Fatihah. Kalau belum telefon mak kita lagi, jom terus telefon - dia sedang menanti panggilan kita. 

Menerima panggilan telefon dari anakanda - Nik Ahmad Khalif yang berada di Maahad Tahfiz Sains Muhammadi - Bachok Kelantan. Alhamdulillah keputusan peperiksaan PMRnya ada peningkatan. 6A setakat ini. Saya mohon pada Allah agar dia dapat habiskan 30 Juzuk dalam tahun ini dan insyaAllah kami akan ke Mekah bersama-sama. Dia akan pulang bercuti sempena Aidilfitri bermula khamis 25 Ogos. Semoga Allah permudahkan beliau untuk terus menggali ilmu Allah untuk seterusnya menabur bakti kepada masyarakat.

Menerima perkhabaran dari pada "AWE" - setelah agak lama dia dan juga saya tidak berhubung. Mantan Exco JPP adalah antara pelajar yang rapat dengan saya. Banyak membantu saya ketika saya memerlukan pertolongan untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Seorang yang kuat berusaha dan sentiasa melihat ke depan. Hari ni sepatutnya dia cuti hujung minggu - beliau bertugas sebagai juruteknik di PutraJaya- namun beliau masih sudi untuk mengorbankan masa tidurnya demi tuntutan tugas. Semoga terus suksess Awe!!!

Menerima panggilan telefon dari Adam - Bangi. Terima kasih atas ingatan ya Adam. Alhamdulillah, seronok dengar mantan-mantan JPP terus berjaya. Dia mendapat peluang untuk sambung pelajaran di peringkat Ijazah di UIA. Namun ditawarkan kursus yang beliau tidak minati. Katanya dia masih sayang pada bidang perakaunan. Semoga adam dapat melakukan pilihan yang terbaik untuk masa depan dirinya sendiri. Dapatkan pandangan dari kedua orang tua. Buat sedikit "analisa masa depan" - kehidupan yang bagaimana yang ingin anda capai. Solat sunat dua rakaat - mohon petunjuk dari Allah swt. Adam, ada ketikanya perkara yang tidak kita sukai itulah yang terbaik kepada kita - hanya Allah yang maha mengentahui segalanya.

Adam akan berkonvokesyen pada 27 September - sidang ke lima. Syabas saya ucapkan kepada anda di atas kejayaan yang telah anda perolehi itu. Secara analitiknya dia menceritakan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang seangkatan dengannya - sidang lima. Raptai konvokesyen akan berlangsung pada petang 25 September, 26 September masa untuk mengambil jubah, 27 September majlis berlangsung dan masa untuk memulangkan jubah pada petang itu juga. Benar, Adam, ini menyusahkan pelajar - pelajar dan waris terpaksa menghabiskan masa selama 4 malam di sini - banyak kerja yang akan terganggu kerana itu dan banyak kos yang akan digunakan kerana itu. Terima kasih atas pandangan. Ketua Jabatan HEPP telah maklum mengenai hal ini. Semoga akan ada solusi yang terbaik yang mengambil kira kepentingan bersama.


2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Alhamdulillah, nasib baik Encik Tarmizi boleh cuba bincang dengan jawatankuasa mengenai ini,
    semoga keputusan nanti yang terbaik untuk semua pihak.
    Terima kasih juga kepada encik Nik sebab membantu memberikan pendapat semalam, serta memahami masalah pelajar dan memberi nombor encik tarmizi untuk dihubungi. TQ encik :)

    InsyaAllah kita jumpa nanti di Majlis Konvokesyen.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Terima kasih kembali Adam.

    ReplyDelete